Orang kata, "We will see the worse/good in people during their sickness". Sebagai seorang doktor, banyak pengajaran boleh diperolehi semasa merawat pesakit. Semoga, pengalaman yang dikongsikan, mengubah persepsi kita dan peribadi kita menjadi Hamba yang bertakwa.

Anda dibenarkan untuk mengkopi entri di blog ini, tetapi rujukan hendaklah dibuat kepada penulis dan URL blog diletakkan supaya pembaca mendapat manfaat daripada entri blog yg akan datang. Sebelum itu, niatkan apa yg dilakukan hanya kerana Allah, Tuhan semesta Alam.

Sudi-sudilah jadi followers, untuk mengutip ilmu dari entri akan datang:

Monday, December 14, 2009

Aku benci rokok 6



Begitulah kuatnya pengaruh iklan didalam kehidupan kita. Mereka yang terpengaruh dengan iklan, akan memandang rokok sebagai perkara biasa. Tetapi, mereka yang memandang rokok sebagai HARAM, akan memandang rokok seperti BABI dan ANJING atau seumpamanya.


Mungkin kita ada kawan yang merokok.
Mungkin kita ada Abang yang merokok.
Mungkin kita ada Ayah yang merokok.
Mungkin kita ada suami yang merokok
Mungkin kita ada adik yang merokok?

APA PERASAAN KITA BILA MELIHAT MEREKA MEROKOK? JIJIK? MELUAT?

-Kalau itulah perasaannya, Alhamdulillah.
- Sepatutnya apabila kita melihat mereka menghisap rokok, samalah seperti mereka meminum arak yang telah diharamkan.
- Apabila mereka membawa rokok kedalam rumah, samalah seperti mereka membawa anjing dan babi ke dalam rumah.
- Kalau mereka membeli rokok, samalah seperti mereka membeli racun untuk diminum di rumah atau di tempat kerja.

APA TINDAKAN ANDA BILA MEREKA MEROKOK DIHADAPAN ANDA?

-Mungkin ada yang mengatakan mereka senyap je, asalkan asap rokok tak kena mereka.
- Mungkin yang menunjukkan wajah tak senang, dengan mengharapkan dia akan berhenti merokok dihadapan mereka.
- Mungkin ada yang menegur dan mengatakan rokok tak bagus, merekapun berhenti mereokok atas alasan menghormatinya.
- Mungkin ada yang terus merampas rokok, dan memberikan nasihat demi nasihat, mengatakan rokok haram dan ….mungkin lepas tu dia tak kontek anda dah.


JAWAPANNYA “Tepuk dada, tanya Iman”


APA TINDAKAN ANDA BILA ADA KAWAN ANDA BERKATA “ Kamu tak kisahkan saya merokok?”, sambil mengeluarkan sebatang rokok untuk dinyalakan.

A. Mengatakan tak kisah, dan membenarkan dia merokok.
B    Mengatakan tak kisah tapi dalam hati tak suka Cuma dibenarkan juga kerana ingin menjaga hati kawan yang merokok.
C   Mengatakan aku tak suka dia merokok dihadapannya dan mahu dia berhenti sekarang.

Saya rasa, ramai yang akan memilih A/B. Mungkin sedikit yang memilih C. Tapi, persoalannya kenapa kita perlu menjaga hati perokok, sedangkan kita tahu dia melakukan perkara yang haram? Kita tentu akan marah bila ada orang yang kata” Kamu tak kisahkan kalau saya minum arak?”, sambil membuka botol arak. Tetapi, kenapa apabila seorang membuka kotak rokok reaksi kita boleh menjadi berbeza sedangkan HUKUMnya sama?

Inilah dia The power of pengiklanan. Kalau semua industri pengiklanan berkempen mengatakan bahawa najis lembu boleh dimakan, rasanya selepas 1-2 generasi, orang pasti akan makan najis lembu. (perumpamaan sahaja)

Jadi, cubalah fikirkan, apa pendirian kita tentang isu rokok?. Adakah kita juga tepengaruh dengan kempen demi kempen yang dipaparkan oleh syarikat rokok.? Kenapakah orang boleh menyeludup rokok sampai satu kontena ke dalam negara? Mungkinkah syarikat rokok sendiri yang menggalakkan penyeludupan rokok supaya mereka tidak kekurangan bekalan perokok yang baru?




Thursday, December 10, 2009

Aku benci rokok 5

Pengalaman 6.



Pernah satu ketika saya terserempak dengan satu presentation yang menceritakan tentang komplot syarikat rokok nie. Rupa-rupanya daripada sejarah syarikat rokok telah lama mengetahui keburukan rokok tapi menyembunyikan kenyataan itu.

Mereka telah mengaut berjuta-juta dolar diatas nyawa-nyawa mereka yang tidak berdosa. Begitulah dia, betapa kuatnya pengaruh iklan. Sebab itulah, mana-mana syarikat sanggup membelanjakan berjuta-juta dolar untuk mengiklankan produk mereka.

Lihatlah cerita movies 2012. Kos pengiklanan sahaja mencecah 20-30% daripada kos yang dikeluarkan untuk pembikinan filem tersebut. Bayangkan, berapa yang telah dibelanjakan oleh syarikat-syarikat rokok. Memang busuk betul hati mereka.

Terdapat 1.5 billion perokok didunia(3 daripada 10 penduduk dunia ialah perokok), 5 juta di Malaysia( 1 daripada 4 rakyat Malaysia merokok),  Kematian akibat rokok (4 juta setahun didunia dan 10 ribu setahun di Malaysia). Trend merokok didunia stabil tapi trend merokok di Malaysia semakin meningkat.

Pada tahun 1988, di Minnesota, USA, satu saman telah dibicarakan disana dan hasilnya, industri rokok terpaksa mendedahkan kajian-kajian yang telah mereka jalankan semenjak dahulu berkenaan rokok. Pendedahan kajian itu begitu mengejutkan. Industri rokok telah tahu sejak 50 tahun yang lalu berkenaan ketagihan rokok dan kesannya yang boleh membawa kematian tetapi didiamkan sahaja. Target mereka bukannya mereka yang dah tua, tetapi golongan muda lelaki dan perempuan.

The problem is, how do you sell death (kematian)? How do you sell a poison that kills 350,000 people per year, 1000 people per day? You do it with great open spaces …. the mountains, the open spaces, the lakes coming up to the shore. They do it with healthy young people. They do it with athletes. How could a whiff of a cigarette be of any harm in a situation like that? It couldn’t be – there’s too much fresh air, too much health – too much absolute exuding of youth and vitality – that’s the way to do it.”
Fritz Gahagan, Marketing Consultant

Mungkin sebab itulah kotak rokok ada gambar pemandangan yang cantik, lelaki yang gagah, para atlit dan sebagainya. Menunjukkan lambang status yang tinggi dan lambang kemachoan seorang lelaki.(walaupun rokok boleh menyebabkan mati pucuk dan kemandulan he!!!)




Saturday, December 5, 2009

Aku benci rokok 4

Pengalaman 5.

Suatu hari seorang pelajar datang berjumpaku. Datangnya seorang je. Pelik juga, biasanya pelajar dihantar oleh orang tuanya.
"Saya batuk-batuk doktor", katanya memulakan kata.
" Dah hampir 2 minggu dah batuk-batuk. Ada beli ubat di farmasi, namun tak hilang juga"katanya.


Selepas membuat pemeriksaan, kudapati dia tidak mempunyai simptom lain, selain daripada batuk sahaja. Tu pun makin teruk pada waktu malam.
"Awak ada asma ke?
"Tak" jawabnya
" Awak merokok ke?",dia tersengih menganggukkan kepala.
" Berapa batang sehari", kataku cuba mencungkin rahsia.
" Adalah 3-4 batang sehari"
"3-4 batang ke atau sekotak?", kata saya bergurau.
" Setengah atau kadang-kadang sekotak doktor". Terkejut aku dibuatnya.
" Mana awak dapat duit?"
" Mak bapak bagi" katanya teragak-agak.
" Berapa sehari mak bapak bagi, sampai dapat beli sekotak rokok sehari".
" Oh!saya pintar doktor, mak bagi RM5, lepas tu saya mintak kat bapak RM5 lagi, kalau dah sepuluh ringgit, dapatlah beli rokok doktor". terkejut aku dibuatnya.
" Habis tu tak makan ke kat sekolah? "
" Kadang-kadang bekal, kadang-kadang kawan bagi".


Terkedu aku dibuatnya. Apa yang sanggup dikorbankan oleh seorang pelajar berumur 16 tahun untuk mendapatkan rokok.

Gejala merokok dikalangan pelajar sekolah memang susah untuk dibendung. Sedih rasanya bila melihat ada pelajar yang merokok dan merasakan dirinya betul apabila dia merokok. Ini mungkin kesan daripada pengiklanan merokok yang dipaparkan semasa kita kecil dahulu.

Rokok dikaitkan dengan prestij, kedudukan dan macho. Malah tindakan syarikat-syarikat rokok yang menaja sukan adalah untuk membolehkan fikiran kita secara tak sedar mengaitkan rokok dengan kesihatan yang baik padahal perkara yang sebenarnya adalah sebaiknya.

Teringat lagi iklan rokok Dunhill yang menaja Piala Malaysia semasa saya kecil. Sampai sekarang, kalau melihat bola, mesti saya teringat rokok Dunhill. Betapa kuatnya kesan iklan kepada minda bawah sedar kita.

Saya memuji tindakan kerajaan yang mengharamkan rokok diiklankan dimana-mana media. Malah penajaan Piala Malaysia telah dihentikan walaupun risikonya sukan bola sepak kehilangan separuh jumlah penajaan yang mencecah jutaan ringgit.

Tapi saya cukup sedih apabila pihak berkuasa agama tidak mengambil tindakan yang proaktif untuk membanteras gejala rokok nie. Malah fatwa bahawa rokok itu haram tidak diuar-uarkan walaupun ia adalah satu fatwa yang telah diwartakan.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya kenapa fatwa rokok sekejap makruh sekejap haram? Kenapa ada perbezaan dikalangan ulamak lama dan ulamak sekarang ini? Ini disebabkan oleh perkembangan teknologi yang mula dapat mengesan kesan rokok kepada kesihatan. Pada mulanya rokok dikaitkan dengan petai, durian dan makanan berbau lain yang dikira sebagai makruh. Inilah jawapan yang biasa kita dengar.

Tapi, bila difikirkan, takkan tak ada satu kajianpun yang dibuat semenjak perang dunia kedua sampai sekarang yang boleh mengesan kesan buruk rokok? Mestilah saintis atau pengkaji perubatan telah mempunyai teknologi untuk memastikan rokok itu selamat atau tidak kerana teknologi mengkaji kesan ubat telah lama dibangunkan semenjak 50an lagi?

Inilah kekeliruan yang kadang-kadang bermain difikiran saya sehinggalah saya terjumpa dengan satu powerpoint presentation oleh…..

-> -> -> -.> bersambung pada entri Aku benci Rokok 5.

Thursday, December 3, 2009

Aku benci rokok 3

Pengalaman 4

Pernah satu ketika seorang pesakit yang berumur dalam lingkungan 30an berjumpa denganku. Dia menghidap darah tinggi dan kencing manis. Memang bau rokok dari mulutnya agak kuat.

Selepas memeriksa tekanan darah dan memberikan sedikit pemeriksaan dan masalah yang dihadapinya,akupun cuba untuk merungkai masalah tabiat merokoknya. Dia sudah merokok agak lama, semenjak sekolah menengah lagi.Pernah cuba berhenti merokok beberapa kali,tetapi menghisap semula selepas sebulan dua.

Alasan yang diberikan kerana ajakan kawan-kawan. Susah untuk berhenti kerana bila berhenti je kawan-kawan ajak balik. Mungkin kerana perokok akan berkawan dengan perokok juga. Jika, mahu berhenti, kena cari kawan yang tidak merokok. Rasanya mereka yang tidak merokok lebih ramai dari yang merokok. 

“Selepas tu ada pernah cuba berhenti tak?”
“ Susahlah doktor, tak ada motivasi dah, berhenti je, kawan-kawan ejek” katanya mengadu nasib.
“ Keluarga camna?”, ada suruh berhenti tak? “,
Ada juga, tapi sikit-sikit je” terangnya.
“ Berapa lama dah kahwin?” kata saya cuba mengumpan.
“ Baru 5 tahun, anak 2, Yang paling kecilpun baru setahun setengah” Diapun terus menceritakan tentang keluarganya dengan panjang lebar. Isterinya tidak bekerja, dia cuba menyara keluarga dan menyayangi mereka sebaik yang mungkin. Dari situ saya mendapat idea.
“ Saya nak cerita sikitlah, pasal COAD”, kata saya sambil melukis graf kaitan Fungsi Paru-Paru dengan tabiat merokok dan pembentukan COAD (biasanya orang panggil asma orang tua). Kamipun sama-sama meneliti graf yang saya buat.
“ Cuba awak bayangkan awak terkena COAD, pada umur 50 tahun, anak yang paling kecil sekarang baru berumur 16 tahun dan tak dapat bekerja? Awak rasa apa akan berlaku pada anak awak? Masa itu awak perlu selalu ulang alik hospital, mengambil ubat dan susah untuk bekerja..”Dia nampak macam terkejut. Dia tak pernah terfikir sejauh itu.
Cuba awak bayangkan, bagaimana isteri awak nak menyara mereka?. Bagaimana pelajaran anak-anak terjejas, bagaimana mereka akan terjebak dalam perkara yang tidak baik?. Adakah isteri akan dapat menyara awak juga?” ternampak sedikit rasa kerisauan di mukanya.
“ Adakah kerana rokok, awak sanggup mengambil risiko perkara ini akan terjadi? Bagaimana nasib anak-anak jika benar ia berlaku pada awak? Mana nak perolehi wang untuk menyara mereka? “kata saya memulakan bicara.
“ Itupun jika ia berlaku umur awak 50 an, Tetapi bagi perokok, risiko terkena stroke menjadi double berbanding dengan orang yang tidak merokok. Bayangkan awak terkena stroke pada minggu ini, bagaimana nasib keluarga awak? Bagaimana isteri akan menerimanya. ? Siapa yang akan menjaga mereka?  Yang paling utama, sanggupkah awak membebankan lagi keluarga kerana mereka sekarang perlu menjaga awak” masa nie matannya sudah mula merah bergenangkan air.
“ Apabila awak merokok, sebenarnya awak adalah time bomb!!! Ditambah dengan darah tinggi, risikonya memang meningkat tinggi. Bila-bila masa sahaja awak boleh terkena stroke dan cuba fikirkan kesannya kepada orang yang awak sayangi. Cuba fikirkan beban yang terpaksa mereka tanggung menjaga awak jika ia berlaku” kata  saya menambah lagi.
“ Kalau awak kena stroke terus meninggal, mungkin ok lagi, tak menyusahkan keluarga, tapi kalau awak kena stroke dan tak boleh bergerak, bagaimana isteri awak nak menguruskan makan minum, berak kencing awak?” kata saya menambahkan ‘perisa’
“ Kalau awak nak merokok, nak memulakan menyalakan sebatang rokok tu, cuba awak fikirkan keluarga awak, anak-anak awak. Jadikan mereka sebagai motivasi. “
“ Apabila kawan-kawan mengajak merokok, tanya mereka adakah mereka sayangkan keluarga mereka? “ kata saya mengakhiri bicara saya.

Saya tengok, matanya sudah mula merah. Dia tidak terfikir sejauh itu dan seserius itu akan perbuatannya yang ‘kecil’. Sebelum keluar dari bilik konsultasi, dia mengucapkan terima kasih atas ‘leteran berapi’ saya itu. Saya berdoa, semoga dia berjaya berhenti merokok dan mengubah nasib hidupnya.

Apabila kita bercakap tentang perokok, sudut pandangan mereka berbeza. Ada yang mementingkan kesihatan, ada yang jenis ‘family man’ (mengutamakan keluarga), ada yang jenis beragama dan ada yang jenis suka disukai orang ramai

Mengenali pesakit dan melihat kepada apa yang mereka sayangi, kadang-kadang boleh menyentuh perasaan mereka dan mereka akan berterima kasih kepada kita kerana melihat isu rokok nie pada pandangan yang sama dengan mereka dan bukannya dari sudut kesihatan sahaja.. (seperti sudut agama dalam entri sebelum ini)

Begitu juga, apabila kita menasihati kawan-kawan kita, kita perlu menyentuh isu yang mereka sayangi samada keluarga, harta, agama dan sebagainya. Jarang perokok yang mengambil berat tentang kesihatan mereka sendiri, kerana mereka telah mengetahui rokok boleh merosakkan kesihatan.

Jadi kempen anti merokok yang memfokus kesan rokok kepada kesihatan semata-mata adalah satu kempen yang tidak lengkap dan tidak menyentuh peribadi perokok(seperti gambar kesan rokok di kotak rokok). Tetapi, kempen yang juga menyentuh kesan kepada orang disekitarnya(keluarga) dan agama adalah lebih efektif. (seperti iklan video pada entri aku benci rokok 1 dan yang ditonton dibawah entri ini, begitu menyentuh hati-betulkan?))

Tetapi, kebanyakan kempen anti merokok, tidak berani menyentuh isu rokok itu haram. Sayapun tak tahu kenapa. Kenapa tidak disentuh isu rokok dari sudut pandangan agama?  Malah mungkin ada ustaz-ustaz yang tidak tahu hukum merokok itu sudah haram. Maka, kita yang membaca inilah yang perlu menyebarkannya kepada orang-orang islam yang lain.    

Tetapi, apabila kita menyentuh isu merokok dikalangan pelajar sekolah ataupun remaja, maka cara untuk menyedarkan mereka menjadi sukar. Dari sudut kesihatan, mereka sihat sahaja, dari sudut keluarga, mereka belum ada keluarga yang perlu ditanggung, dari sudut kewangan, mereka belum memahami erti duit kerana diberikan duit oleh ibubapa, dari sudut masyarakat, masyarakat mereka kecil disekolah atau kampong sahaja, dari segi agama…entahlah no komen.

Pengalaman 5

Teringat aku satu ketika seorang pelajar datang berjumpaku. Datangnya seorang je. Pelik juga, biasanya pelajar dihantar oleh orang tuanya….

->->-> bersambung di entri aku benci rokok 4


Sunday, November 29, 2009

Aku benci rokok 2

Aku benci rokok 2 – Dosa dan pahala berantai.

Pengalaman 3
Teringat satu ketika aku tengah memberi konsultasi kepada seorang pakcik yang menghidap masalah darah tinggi. Pakcik nie nampak baik, memakai kopiah dan memakai kain sarung dan baju melayu. Mungkin pakcik tu baru balik dari masjid.

Selepas membuat pemeriksaan, darahnya masih tinggi. Aku boleh menghidu bau rokok daripada mulutnya. Mungkin lepas merokok atau memang dah lama merokok.

“ Pakcik merokok ye!” Pakcik tu menganggukkan kepala. Selepas memberikan sedikit penerangan tentang rokok kami sampai kepada hukum merokok.
“ Pakcik tahu hukum merokok apa?”
“ Makruh!” katanya dengan yakin.
“ Dah haram pakcik, masa dulu mungkin makruh, sekarang nie, dah haram” kata saya bersungguh-sungguh.
“ Kalau camtu. Pakcik ikut fatwa ulamak dahulu je lah yang kata makruh”. katanya menjawab. Terkejut juga dibuatnya.
“ Mana boleh camtu pakcik, kita kena ikut fatwa semasa, bukan mengambil fatwa lama” Pakcik tu mencebikkan mulutnya. Susah betullah, orang tua nie, memang payah nak ubah pendiriannya. Penerangan lebih lanjut aku berikan, namun dia nampak macam nak tak nak je menerima penerangan daripada orang yang lebih muda.

Aku berfikir, mesti ada sudut lain yang boleh aku sentuh yang mungkin boleh menyentuh hatinya. Akhirnya, Alhamdulillah, Allah memberikan aku idea baru. 
“Pakcik selalu tak ke masjid?
“ Selalu, hampir setiap malam”
“ Pakcik selalu tak merokok dianjung masjid/pondok ke?”
“ Adalah juga doktor” katanya sambil tersenyum.
“ Saya nak cerita satu pengalaman saya, boleh tak” Dia menganggukkan kepalanya. Saya terus menceritakan kisah pengalaman bersama pelajar universiti (boleh rujuk kedalam dalam entri Aku benci rokok 1, pengalaman 2 sebelum ini )
“Pakcik bagus, pakcik ke masjid, saya kagum dengan pakcik, tapi, cuba pakcik tengok hujah pemuda tadi, kerana melihat orang-orang surau merokok, dia terus menanggap tidak mengapa juga merokok. Pakcik dah dapat dosa FREE  je!” kata saya.
“ Itu  kalau seorang, kalau sepuluh orang pemuda seperti dia yang nampak pakcik merokok sambil sembahyang masjid, dan mereka menjadi perokok, berapa banyak dah dosa pakcik” Pakcik tu masih menundukkan kepalanya.
“ Dan kalau mereka memberitahu rakan-rakan mereka, berapa banyak lagi dosa Pakcik, tak terkira kan? Pakcik pergilah sembahyang masjid, tertungang-tunggit tapi jika masih ada perkara HARAM yang pakcik buat, semua pahala tu takkan sampai kepada Allah.” Kata saya cuba memberikan pukulan terakhir.
“ Dan kalaulah pakcik tak berhenti merokok dalam usia pakcik yang menghampiri kubur nie, apakah amalan pakcik selama ini dapat menyelamatkan pakcik nanti? Sedangkan amalan-amalan kebaikan itu disekat daripada dihitung?. Pada masa nie, saya nampak mata pakcik nie dah mula bergenang air matanya.
“ Dan kalaulah pakcik dah masuk ke dalam kubur, semua dosa nie  tetap dikira sehinggalah ke hari perhitungan. Pakcik rasa, banyak tak? “ Pakcik tu menganggukkan kepalanya. Barulah saya nampak sikit rasa keinsafan di dalam wajahnya.
“ Pakcik mesti berhenti, bukan kerana kesihatan, bukan kerana keluarga tapi kerana maut yang semakin hampir mengambil pakcik”. Kata saya memberikan pukulan terakhir. Mungkin terasa sedikit kasar, tapi saya sentiasa berharap, pakcik nie akan berhenti ataupun cuba untuk berhenti selepas mendengar apa yang saya katakan.

 Itulah dia yang saya katakan sebagai dosa berantai. Maknanya daripada satu ke seorang dan kepada seorang yang lain. Dosanya akan berlipat kali ganda daripada seorang kepada seorang yang lain.

Mungkin kita biasa dengan surat berantai, tetapi kita tak familiar dengan dosa berantai.Seperti juga kita menulis didalam web, setiap apa yang kita tulis akan dibaca oleh ramai orang, sampaikan orang yang kita tak kenal sekalipun.

Seorang akan mengkopi entri kita dan dikopi oleh orang lain dan orang lain akan membacanya. Sebab itulah, kita perlu berhati-hati semasa menulis di web. Tulislah segala perkara kebaikan sahaja, sebab dengan menulis perkara kebaikan, ia boleh menjadi pahala berantai untuk kita.

Cuba kita bayangkan kita menulis tentang perkara- perkara lucah, menampalkan video lucah dsbnya, berapa banyak dah dosa yang kita  terima…..malah mungkin sehingga ke akhir hayat ataupun kubur kita.

Cuba bayangkan kita menulis tentang perkara kebaikan, menginsafkan orang lain, seorang membaca dan mengkopinya dan terus menerus sehingga ke akhir zaman….berapa banyak pahala yang telah kita terima.

Pengalaman 4
Setiap orang berbeza responnya bila diberikan kaunseling berhenti merokok. Dalam menggalakkan orang berhenti merokok,5 perkara kesan merokok yang biasa saya sentuh ialah kesan rokok pada kesihatan, kewangan, keluarga, masyarakat dan agama.

Ada orang yang lebih kepada agama, ada yang lebih kepada kesihatan dsbnya. Semuanya berbeza dan sebagai umat Islam, kita perlu tahu kenapa kita berhenti merokok. Disini, saya ingin berkongsi satu pengalaman saya..

------------> Bersambung di entri Aku benci Rokok 3






Thursday, November 26, 2009

Kepercayaan didalam rumah.....dimana hilangnya...


Satu hari tu, saya diminta untuk melakukan ujian UPT (pregnancy test). Sayapun menyuruhnya mengambil sampel kencing dan staf melakukan ujian pregnancy.
"Camna doktor, ok tak dia?, mengandung ke tak?". tak sabar je rupanya makcik nie.
Saya cuma tersenyum dan menyuruhnya bersabar.
"Sabar makcik, tunggu sekejap dulu, nanti adalah linenya positif/negatif", kata saya sambil menunjukkan strip pregnancy kit yang perlu menunggu seminit dua.
Selepas menunggu beberapa lama, "Negatif makcik, dia tak mengandung".


Lega nampaknya makcik tu sambil mengucapkan Alhamdulillah. Anaknyapun tersenyum lega. Sayapun merasa pelik. Biasanya org akan rasa sedih bila negatif, dia pulak rasa gembira. Selepas bertanya, akhirnya makcik tu pun memberitahu kisah yang sebenar.


"Dia nie, bukan anak makcik, dia pembantu rumah makcik" Saya menganggukkan kepala. " Makcik risau takut apa-apa berlaku kat dia, maklumlah kat rumah makcik banyak orang bujang" katanya lebih lanjut.


" Siapa ada kat rumah makcik" kata saya cuba mengorek lebih dalam.
" Ada anak-anak lelaki dan anak-anak saudara makcik, kira ramailah juga. Makcik nie berniaga. mereka semua tu membantu makcik, jadi tinggal dengan makcik", katanya lebih lanjut.
"Makcik biasanya keluar pagi dan balik petang/malam, jadi risau juga tinggalkan pembantu rumah nie tinggal sorang-sorang dengan ramai lelaki di rumah" saya cuma tersenyum.


"Tak boleh percaya ke diorang nie makcik?" kata saya memancing pendapatnya. Sepanjang masa tu, pembantu rumahnya hanya duduk tersenyum.
" Entahlah doktor, nak percaya 100% tak leh juga, berjaga-jaga kata orang" katanya berseloroh.


Selepas diterangkan tentang langkah-langkah berjaga-jaga, tanda-tanda mengandung, selalu bertanya tentang kitaran haid pembantunya, barulah konsultasi ini habis dengan sedikit nasihat supaya cuba asingkan sedikit antara lelaki dan perempuan. Saya tambahkan sedikit nasihat berkenaan ajaran Islam supaya seorang lelaki dan wanita tidak dibiarkan berseorangan dalam rumah, nanti "diusik syaitan" sebagai perencah tambahan kepada konsultasi ini.


"Berniaga-berniaga juga makcik, tapi syariat Islam masih perlu dijaga, kalau ada kelapangan kewangan, cubalah cari rumah/bilik sewa untuk pekerja/anak saudara tu, InsyaAllah ada keberkatan dan rezeki akan bertambah lagi", kata-kata akhir saya sebelum menamatkan konsultasi.

"Rumahku, syurgaku" atau Baiti Jannati, nampaknya tidak tercerna didalam keluarga makcik nie. Sebuah syurga, sepatutnya kita merasa tenang dan damai, tanpa ada rasa iri hati, tidak percaya, berhati-hati dan sebagainya. Disitulah kita mencari ketenangan dan berehat.

Tapi, pada masa skearang nie, rumah bukan lagi menjadi syurga kepada ramai orang. Mungkin bukan kepada ibu sahaja, mungkin bukan kepada bapa sahaja atau mungkin juga bukan kepada anak-anak. Rumahnya sahaja hebat, tapi dirasakan panas dan rimas.

Didalam satu unit masyarakat yang paling asas iaitu keluarga, sepatutnya ada rasa kepercayaan diantara sesama anggota. Apabila prinsip kepercayaan ini telah lemah/putus, tiada lagilah pengikat antara kasih sayang anggota keluarga.

Untuk mengasihi seseorang, kita perlu mempercayai mereka dahulu. Contohnya, untuk mengasihi rakan kita, perlu ada pergaulan, selepas itu terbentuknya kepercayaan dan kemudian kasih kepada rakan kita. Dari kepercayaan itu, terbentuknya kasih sayang.

Semakin kukuh kepercayaan itu, semakin kasih seseorang terhadap insan yang lain. Tetapi, kepercayaan boleh terurai, apabila konflik demi konflik berlaku. Maka semakin kepercayaan terurai, rasa kasihpun semakin terurai. Maka berlakulah pertengkaran. Inilah dia asas kepada hubungan sesama rakan.

Tapi, hubungan keluarga adalah satu hubungan yang cukup unik, kerana perasaan kasih ibu/bapa kepada anak adalah daripada Allah. Walaupun sejahat manapun anak, ibubapa tetap mengasihi mereka. Walaupun ibubapa tidak mempercayai anak-anak, tetapi mereka tetap mengasihi mereka. Ini kita boleh lihat ketika anak ditimpa kesusahan, ibubapalah yang datang membantu, sedangkan rakan-rakan melarikan diri/mendiamkan diri.

TETAPI, ADAKAH REMAJA HARI INI MENGETAHUINYA?

Mereka lebih mempercayai rakan-rakan daripada ibubapa. Bila ibu kata jangan, dia lakukan kerana mengikut rakan. Apabila bapa menyekat kebebasannya, dia kata bapa tak sporting, kerana hasutan rakan-rakannya.Tapi, apabila ditimpa kesusahan, ibubapalah orang yang pertama difikirkan, bukannya rakan-rakan.

"Rakan apa macam nie, setan kot!".

Sebab itulah rasa percaya kepada sesama keluarga amat penting, Konflik demi konflik mengundang hilangnya rasa percaya (walaupun tidak mengikis rasa kasih). Sebab itulah, jika kita diberi kepercayaan oleh anak/ibu/isteri/ayah, janganlah sesekali kepercayaan itu dikhianati. Mungkin kesan jangka panjangnya begitu mendalam dihati.

Sebab itulah, kasih sepatutnya berasaskan kepada Allah SWT, bukannya berasaskan kepada dunia, kerana dunia hanya sementara, tapi Allah kekal selamnya.

"Ya Allah, aku tahu kepercayaan seperti pokok bunga,  disemai setiap hari dan berkembang menjadi bunga kasih sayang yang cantik, tetapi seperti mana pohon bunga, ia juga boleh dicantas dengan satu pengkhianatan...maka kekalkanlah rasa kasih sayang didalam Rumahku, Wahai Yang Maha Pengasih." Ameen.

Monday, November 23, 2009

Aku benci rokok 1



Entri pada kali ini, adalah berkaitan dengan rokok. Disebabkan rokok sudah dihukumkan HARAM,  saya merasakan, sudah menjadi tanggungjawab kita semua(setiap muslim) untuk memberitahu semua orang dan setiap orang. Saya berharap, sesiapa yang membaca entri kali ini dapat mengkopinya, dan meletakkannya di blog/web masing-masing supaya semua orang tahu hukum merokok nie.

Di sebabkan entri kali ini terlalu panjang, dan pengalaman dengan perokok nie, terlalu banyak, saya akan pecah-pecahkan kepada beberapa bahagian supaya mudah untuk kita membacanya.

JANGANLAH MENJADI PEROKOK

Pengalaman 1

" Khairol! cubalah dulu!"
" Apa tu?" tanyaku.
" Rokok daun, sedap ooo, Datukpun hisap juga" kata rakanku.
Ku belek-belek rokok daun tu. "sedap ke?, tapi datuk hisap juga" kata hatiku
Ku cuba menghisapnya sambil rakan kampung masa kecilku menyalakan api.
Bila sekali hisap je, rasa pedih dadaku, berhangat rasa mulutku sampai ke mata. Berair mata dibuatnya, sambil aku terus terbatuk-batuk!!!"
"Tak sedap! Tak sedap!" kataku sambil membuang rokok daun tu. Aku terus tarik tangan
rakanku,
" Jom pergi main". Kami terus bermain tanpa berfikir tentang rokok lagi.

Itulah pemikiran budak berumur 9 tahun. Apa sahaja yang dibuat atau dilakukan oleh orang dewasa, maka ia pasti akan ditirunya. Pemikiran masa tu ialah, kalau atuk atau ayah yang buat, mestilah ok, atau memang bagus.

Jadi, rasa ingin mengikut ini, akan berubah menjadi rasa ingin mencuba-cuba dan akhirnya, terjebaklah mereka menjadi perokok pada usia yang terlalu muda. Sebab itulah, saya selalu menasihatkan pesakit saya, kalau rasa dah tak terdaya nak berhenti merokok, paling kurang, sembunyilah ketika nak merokok. Paling kurang, anak-anak takkan mengikut dia merokok.

Pengalaman 2

Teringat saya ketika saya tengah membuat konsultasi dengan seorang pelajar universiti.
Ketika itu saya tengah memberikan galakan kepadanya berhenti merokok. Dia duduk diam je 
mendengar 'ceramah' saya.

" Kalau awak nak tahu, merokok nie dah diharamkan didalam Islam". kata saya.
" Tapi, pakcik-pakcik kat surau merokok juga, seronok lagi tengok dia orang merokok" katanya
cuba membela hujahnya. Saya menggelengkan kepala.
" Kalau dia orang nak bunuh diri awak nak ikut ke?Kalau dia orang nak terjun dalam tong taik, awak nak ikut ke? (nie ayat yang selalu ayah saya guna masa kecil - terima kasih ayah).
Terkedu dia dibuatnya. Mungkin dia tak sangka seorang doktor boleh membentak begitu.
Akhirnya dia mengangguk-anggukkan kepalanya.

Begitulah resam dunia, si muda akan mengikut teladan dari si tua. Tapi, persoalannya, adakah
semua yang si tua buat, boleh diikuti?
Mungkin ada yang akan kata, mereka lebih banyak makan garam, tentulah kita kena ikut apa
yang mereka buat. Tapi, Allah juga mengurniakan kita akal fikiran, untuk berfikir, memikirkan apa yang baik dan apa yang buruk,maka kita juga boleh dipersalahkan jika kita menjadi perokok.

Perokok selalu menyalahkan orang lain jika mereka merokok. Ada yang menyalahkan Ayah, keluarga, iklan, rakan-rakan, dan lain-lain. Kalau kambing boleh disalahkan, mungkin nama kambingpun boleh masuk sekali.

Tapi, Allah telah mengurniakan kita akal fikiran untuk memikirkan apa yang baik dan apa yang buruk, maka terpulanglah kepada kita untuk membuat keputusan. Tepuk kepala, tanya Iman.

Pengalaman 3

Teringat satu ketika saya tengah memberi konsultasi kepada seorang pakcik yang menghidap masalah darah tinggi. Pakcik nie nampak baik, memakai kopiah dan memakai kain sarung dan baju melayu. Mungkin pakcik tu baru balik dari masjid.

----->>>> bersambung pada entri yang akan datang.


       

Friday, November 20, 2009

Dua Kemalangan, Natijah Berbeza....

Senario 1



Satu hari, ketika aku bertugas di A&E, seorang pemuda dibawa dengan tergesa-gesa oleh rakan-rakannya. Ada lebih kurang 5-7 orang rakan-rakanya. Rupa-rupanya dia terlibat didalam satu kemalangan. Keadaannya parah juga, mungkin kakinya patah mengikut bentuk kakinya yang tak lurus.

Kami yang bertugas di A&E terus meletakkan pesakit diatas stretcher dan membawanya ke bilik rawatan.Disana, pesakit itu disambung dengan air (IV line), lukanya di bersihkan dan rawatan-rawatan yang lain. Disebabkan pesakit tidak sedarkan diri, saya terpaksa bercakap dengan rakan-rakannya untuk mengetahui lebih lanjut keadaannya dan cara menghubungi keluarganya.

Selepas pesakit sudah stabil, saya bertanya pada MA yang bertugas.
“ Mana kawan-kawan dia?, Saya nak tahu camna ia berlaku”,kata saya.
“ Dah lari Doktor!”, terkejut saya
“ Dah lari?, kata saya memastikannya lagi sambil mengerutkan dahi.
“ Mungkin mat rempit doctor, mereka tak nak terlibat dan takut ada masalah dengan polis nanti, sebab tu terus lari “, kata MA berkenaan.
“ Mungkin juga kemalangan semasa ’racing’”tambahnya lagi.

“Mungkin juga”, kata saya dalam hati mengingatkan mereka membawa topi keledar masuk ke A&E. sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Senario 2

Satu hari, aku dikejutkan dengan riuh rendah di bahagian menunggu klinik. Rupa-rupanya ada kemalangan telah berlaku. Seorang budah berumur 3 tahun tercampak ke hadapan kerana kereta diberhentikan mengejut.

Riuh rendahlah mereka membawa budak tu yang merengek-rengek menangis kerana kesakitan. Selepas, budak tu diletakkan di atas katil, sambil menangis, saya meminta mereka bertenang sementara saya membuat pemeriksaan.

Rupa-rupanya kemalangan ini disebabkan motorsikal yang dipandu laju tiba-tiba membuat belokan mengejut tanpa isyarat, menyebabkan kereta yang dinaiki budak tu terpaksa membuat brek mengejut. Ini menyebabkan budak tu tersembam ke hadapan dan luka dibahagian dahinya.

“ Jagalah budak tu, kalau dapat aku cincang-cincang badan dia”, kata salah seorang yang hadir. “ Nanti aku ambik parang dalam kereta”, katanya lagi. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Aku lihat dia dah tak sedap duduk, sambil berjalan mundar-mandir didalam bilik rawatan.

“ Orang tengah marah, tentulah kata yang macam-macam. Mungkin tak lama lagi sejuklah tu”, kata aku memujuk hati, nanti ada kes berbunuh pula dalam klinik nie. Satu lagi masalah.

Semasa sedang membuat pemeriksaan, ku cuba menenangkan si kecil, ku pujuk dia, ajak bercakap “ sakit tak? Dia menggelengkan kepalanya Aku tersenyum si kecil telah mula tenang.

Tiba-tiba seorang kakak masuk ke bilik rawatan sambil menangis dan terus memeluk si kecil. Si kecil nampak terpinga-pinga. Menangislah kakak tu sampai dah tak tertahan-tahan lagi.

Rupa-rupanya kakak tu adalah mak kepada si kecil. Dia dibawa berjalan oleh bapa saudara dan isterinya. Aku hanya tersenyum dan terus keluar dari bilik rawatan sambil memberikan peluang si Ibu terus menangis. Mungkin lepas dia bertenang barulah konsultasi dapat diteruskan.

Kasih Ibu dan Kasih Rakan

Begitulah kaih ibu, kasih yang tiada syarat. Ibu menangis dan Ibu ketawa kerana anaknya. Tiada orang yang dapat membuatkan si Ibu menangis dan pada masa yang sama menyebabkannya ketawa.

Ini kerana kasih Ibu, dikurniakan oleh Allah. Siapa yang mencampakkan kasih itu, kalau bukannya Allah. Kasih Ibu adalah kasih yang suci, yang tidak datang daripada syaitan dan keturunannya, tak dicemari oleh nafsu dan kepentingan.

Tapi, kasih kawan adalah kasih yang bersyarat. ‘Apabila ada duit, Abang kusayang, Apabila Abang pokai, abang ku tinggal.’ Kasih rakan adalah kasih yang berkepentingan. Jika rakan itu dapat memberikan sesuatu, maka ramailah yang mengelilingi. Apabila kawan ditimpa musibah, kawanlah orang yang pertama melarikan diri atau buat-buat tak tahu.

Kasih kawan (malah mungkin cinta kekasih) datangnya daripada syaitan dan keturunannya, dicemari dengan kepentingan dan nafsu. Bukannya untuk berkekalan, tapi hanya sementara.

Bukan sedikit mereka yang putus kawan kerana bertegang urat, tapi seorang Ibu yang ‘bertegang urat’ dengan anaknya, tetap menerima anaknya walaupun anaknya seorang penagih dadah atau sampah masyarakat. Ibu marah kerana kasih dan sayang, rakan marah kerana hasutan syaitan.

Tidak dinafikan, ada juga rakan yang setia. ‘ Sama-sama susah, sama-sama senang’. Kata orang.Tapi, berapa kerat je yang ada. Nak cari satu dalam sejutapun susah. Dan adakah kita pasti rakan kita sekarang nie, adalah ‘rakan sejati’?

Tapi! Aku pelik?

Pelik dengan remaja sekarang. Rakan dijunjung, Ibu ditendang.
Tidakkah mereka tahu kasih Ibu kasih yang berpanjangan? Si Ibu sanggup berlapar kerana anaknya, adakah rakan sanggup berlapar kerana kamu? Ibu sanggup mengelap najis anaknya, adakah rakan sanggup membersihkan pinggan selepas kamu makan?

Hairan! Hairan!

Apabila kehabisan wang, Ibu juga tempat meminta. Dimana rakan-rakanmu ketika engkau kesusahan? Adakah rakan untuk bersenang-lenang, dan Ibu apabila engkau menghadapi kesusahan?

Adakah seorang Ibu itu seumpama seorang Hamba? Yang perlu memenuhi permintaan anaknya sepanjang masa tanpa banyak soal? Adakah kasih sayangnya tiada nilai, yang bernilai cuma apa yang mampu diberikannya?

Ibu itu Hamba.

Melihat kepada keadaan sekarang, rasanya, ibu sudahpun menjadi Hamba. Samada Ibu yang kaya ataupun yang miskin.Yang kaya, mampu memberika kereta, handphone dan sebagainya kepada anak-anak. Ibu yang miskin, hanya memberikan sekadar kemampuan dirinya.

Ketika kecil, anak minta keropok dan aiskrim kita memberikan mereka segalanya “kesian anak, nanti kempunan” kata kita memujuk hati.
Ketika sekolah rendah, anak minta mainan PS2, PS3 dan PS4? Kita berikan, kononnya takut anak tak up to date, nanti susah nak bergaul dengan rakan-rakannya.
Ketika sekolah menengah, anak mahukan handphone dan motorsikal, kita berikan, kononnya takut anak diculik orang, kalau ada handphone kan mudah nak hubungi…

Adakah anda…. Ibubapa yang menjadi hamba kepada anaknya?

Mungkin dunia sudah nak kiamat. Anak menjadi Tuan dan Ibu menjadi Hamba.


“Ya Allah Yang Maha Kekal, amaran RasulMu semakin menjadi kenyataan. Dunia semakin mendekati hujung hayatnya. Tanda-tanda datangnya kiamat telah terbentang didepan mata. Maka, bukakanlah mata-mata hati kami, untuk melihat kenyataan ini Ya Allah, kerana sesungguhnya Hari Kiamat itu pasti berlaku dan semakin mendekati kami” Ameen.

Sunday, November 15, 2009

Gig Palsu..oh! Gigi Palsu.

Tugas sebagai seorang pengamal perubatan, tak selalunya stres, malah kadang-kadang ada juga peristiwa yang melucukan..

Senario 1


Satu hari, datanglah seorang makcik berjumpa saya, dibawa oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Meriah betul rasanya didalam bilik konsultasi.

"Makcik sakit apa makcik", kata saya memulakan konsultasi.
"Makcik nie batuk-batuk, sakit tekak, demam ada juga cikgu".tersenyum saya dipanggil cikgu.
" Bukan cikgu nek, doktorrrrr", tegur cucunya yang disebelah. Tersenyum nenek tu.
" Tak apalah makcik", kata saya " Cikgupun cikgulah!!". sambil disambut senyum semua.

" Cuba makcik buka mulut kejap, saya nak cek tekak nie". kata saya sambil menghulurkan tongue depressor (yang macam batang aiskrim tu) ke mulutnya.
" Tak boleh doktor", kata makcik tu.
" Tak boleh kenapa nek?, bukaklah mulut tu, doktor nak cek" kata cucunya.

Akhirnya nenek tu membuka mulutnya.
" Buka mulut besar-besar nek, sebut AAAAAAA!!!!" bila saja saya meletakkan tongue depressor di lidahnya,
TUPP!!!!!! gigi palsunya jatuh atas tongue depressor saya. Nasib baik tak jatuh ke bawah lantai. Cucunya dah tak dapat menahan gelak, terus ketawa dengan kuatnya diiringi anak-anaknya dan semua yang berada di bilik tu.

" Maaf Cikgu!!!"Tersengih-sengih malu makcik tu, sambil membetulkan gigi palsunya. Saya dah tak dapat menahan ketawa sambil ketawa juga (tapi taklah sekuat cucunya)

Akhirnya, pemeriksaan tekak dibuat selepas makcik tu mencabut terus gigi palsunya...:)


Senario 2.

Sedang seronok saya membuat kerja di notebook, tiba-tiba ada seorang nenek dibawa secara tergesa-gesa. Nenek nie muntah2 dan tak berhenti sejak 2 jam yang lalu.

"Mungkin terkena food poisoning kot" kata saya dalam hati.
Keadaannya juga agak teruk, sebab masih lagi muntah-muntah. Sayapun bertanya sedikit sejarah daripada anak lelaki dan menantunya. Rupa-rupanya nenek nie salah makan rupanya, makanan semalam, patutlah muntah-muntah.

Tengah-tengah bertanya tu dan selepas membuat pemeriksaan, nenek tu tak tahan dah, rasa nak muntah, sayapun menghulurkan tong sampah kepada untuknya muntah sambil meminta anak mengurut-ngurut belakang. Banyak juga rupanya nenek nie muntah.

Akhirnya saya suruh mereka ke tandas di luar untuk mencuci mulut dan memberikan sedikit air kepada nenek tu, sebelum ubat diberi di ruang menunggu. Tengah-tengah saya mengisi ruang ubat untuk nenek tu tiba-tiba...saya terdengar nenek tu terjeri-jerit diluar berdekatan pintu tandas.

Saya dah rasa cemas takut nenek nie collapse atau rebah sebab terlalu banyak kehilangan air. Sayapun keluar dan bertanya kepada anaknya.
"Tak ada apa-apa doktor" kata anaknya. Tapi nenek tu tetap terjerit-jerit.
" Gigi aku! Gigi aku!", sambil anaknya dan menantunya tercari-cari di sekitar dalam tandas.
" Nak cek bakul sampah dalam bilik doktor boleh tak?" katanya. Sayapun menganggukkan kepala.

Akhirnya, benda yang dicari ditemui, iaitu gigi palsu nenek tu yang terjatuh semasa dia muntah tadi. Tersengih sendirian saya bila mengingatkan peristiwa itu.


Jangan buat lawak macam nie...nanti Allah marah

Thursday, November 12, 2009

Remaja dan Keinginan Mereka

-Objektif hidup saya adalah untuk menggembirkan kedua ibubapa saya dan menjadi anak yg saleh"
-Objektif hidup saya adalah untuk menjadi polis yg garang dan menembak penjahat"
-Saya ingin menjadi muslimah yg baik dan semoga Mr X dapat mengahwini saya dan membimbing saya menjadi muslimah yg baik"
- Saya mahukan perhatian dan supaya semua org menghargai saya.
- Saya ingin berjaya dunia dan akhirat dan menggembirakan kedua ibubapa saya.
- Saya mahu berjaya didalam SPM dan menjadi anak yang berguna dan menjadi kebanggan ibubapa.

Pernah satu ketika saya diminta untuk memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar yg bakal menduduki peperiksaan SPM. Mulanya segan juga, maklumlah saya nie bukannya pandai memberi motivasi terutamanya kepada pelajar-pelajar. Feedback dari guru mengatakan mereka nie pelajar dari sekolah yg mencorot juga prestasinya. Kebanyakan pelajarnya nakal dan semangat untuk belajar tu, agak kurang.

Apabila saya sampai, Masya Allah, dengan bisingnya, bercakapnya. entah ler...cikgunya pun menggelengkan kepala sahaja. Lepas cikgunya menjerit sikit, barulah diam. Susunan merekapun pelik sikit. Sebelah kiri lelaki sebelah kanan perempuan, tetapi tiba-tiba ada beberapa org pelajar perempuan berseorangan dikelilingi lelaki di sebelah lelaki. Dan ada satu kumpulan lelaki yg duduk nun jauh dibelakang sebelah perempuan. Saya kata dalam hati" mungkin susah dah nak kawal nie"

Jadi, saya memulakan sesi motivasi dengan meminta mereka menulis apa yg mereka mahu didalam hidup mereka didalam sekeping kertas seberapa banyak ayat dalam masa 5 minit. Ada yg termenung, ada yg garu-garu kepala, ada yg tulis terus, ada yg tekun betul menulis macam karangan pula. Ada juga yg siap tanya kawan lagi sebab nak tiru...:). Tersenyum saya.

Apabila balik dari ceramah, saya meneliti setiap helai kertas yg bermacam bentuk dan saiz (kertas yg dah dikoyak sebenar tapak tanganpun ada). Catitan seperti diataslah sebahagian daripada tujuan hidup mereka. Saya ingin berkongsi kesimpulan daripada apa yg saya fahami daripada tulisan mereka. Ini penting, kerana inilah jiwa dan apa yg diinginkan oleh remaja kita pada masa ini.

Dahagakan perhatian atau kasih sayang.

Kebanyakan apa yg hati mereka inginkan adalah perhatian terutamanya ibubapa. Mungkin mereka merasakan ibubapa tidak memahami mereka dan tidak memberikan perhatian yg secukupnya. Perkataan PERHATIAN adalah antara perkataan yg banyak saya lihat didalam catatan-catatan mereka.

Mungkin ibubapa tidak memberikan perhatian yg secukupnya kepada mereka, menyebabkan apa yg mereka mahukan adalah perhatian ibubapa. Mungkin juga guru-guru hanya pandai memarahi tapi tidak mengasihi menyebabkan mereka merasa tersisih dan tidak mempunyai sesiapa didunia ini.

Pernyataan seperti "menjadi anak berguna" dan " ingin menggembirakan ibubapa" merupakan satu kenyataan atau pernyataan tersembunyi bahawa mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang ibubapa. Apa yg mereka mahu didunia ini adalah apa yg ibubapa mahu, bukannya apa yg mereka mahu.

Ini akan menyebabkan mereka belajar didalam keadaan tertekan, kerana mereka belajar kerana org lain seperti ibubapa, guru-guru dan masyarakat, Keinginan mereka bukannya milik mereka, tapi milik ibubapa mereka.

Kesan Dahaga kasih sayang

Sepertimana org yg dahaga, pasti mereka mahukan minuman untuk menghilangkan dahaga mereka. Remaja yg dahagakan kasih sayang, akan mencarinya diluar daripada rumah. Maka, keluarlah peranan kawan, kenalan dsbnya. Masalahnya, kenalan/rakan-rakan adalah sama seperti mereka dan belum matang untuk menjadi pembimbing.

Sebab itulah , kadang-kadang kita lihat, pelajar sekolah mempunyai teman lelaki yg jauh lebih tua dan bekerja Mereka mampu memberikan duit dan mempermainkan perasaan mereka. Natijahnya, mereka mudah terjebak ke dalam kancah zina. Mungkin kita sudah biasa, melihat pelajar sekolah masih memakai baju sekolah membonceng motorsikal bersama teman yg dewasa.

Inilah sebenarnya apa yg remaja mahu. Tapi kita masih gagal mengesan dan menanganinya. Apa yg kita berikan hanya teguran, marah dan sebagainya. Tapi, sebelum kita memarahi mereka, cuba kita selami apa yg menyebabkan ia berlaku, mungkin ada masalah di rumah dsbnya.

Keinginan seorang muslim

Tetapi, sebenarnya yg paling mengecewakan, ialah tiada seorangpun keinginannya sepertimana yg digariskan Allah didalam Al-Quran iaitu mendapat keredhaan Allah SWT. Semuanya menginginkan utk diri mereka ataupun keinginan ibubapa...namun tak ada seorangpun yg ingin menunaikan keinginan Rasulullah.

"Sesungguhnya aku ciptakan jin dan manusia untuk beribadat kepadaKU"

Inilah sebenarnya tujuan dan keinginan kita yang teragung. Yang tak ada batasan duniawi ,tetapi melangit terus menjulang ke Arasy Allah. inilah tujuan kenapa kita dihidupkan dan inilah tujuan kenapa kita berada didunia ini. Kita telah diciptakan untuk menjadi khalifah dimuka bumi, tetapi kenapa cita-cita kita hanya menjadi seorg doktor, seorg anak yg berjaya dsbnya. Cita-cita ini tidak salah, tapi kita membataskannya hanya setakat perkara-perkara duniawi.

Kenapa itu sahaja yg kita inginkan?

Saya pasti ramai yg ada cita-cita, ramai yg ada keinginan, ramai yg ada perancangan dan mungkin sekarang sedang menuju cita-cita mereka. Saya merayu, gabungkan sedikit keinginan Rasulullah dalam tujuan hidup kita.

Sesiapa yg ingin menjadi guru, janganlah sekadar menjadi guru,tetapi jadilah guru yg tunduk kepada Allah dan menjadi Daie yg menyeru anak muridnya kepada Islam. Kalau sesiapa yg ingin mengumpul sejuta ringgit, maka niatkanlah sebahagiannya akan disedekahkan ke jalan Allah. Sesiapa yg ingin membina empayar perniaagaan, maka niatkanlah agar ia bersih dari unsur haram dan dapat membimbing pekerjanya ke arah Iman.

Itulah cita-cita yg sebenar. Umat Islam terdahulu memahami perkara ini dan meletakkan tujuannya hanya untuk Allah dan bukan untuk duniawi...maka sebab itulah dunia datang kepada mereka. Maka, jadilah mereka generasi yg hebat yg pernah menguasai 1/3 dunia.

MARILAH SAMA-SAMA KITA BETULKAN TUJUAN HIDUP KITA.

"Kalau kamu mengejar dunia, dunia akan hilang apabila datangnya kematian, tapi kejarlah akhirat, nescaya kebahagiaan dunia akan kamu temui dan kebahagiaan akhirat pasti akan menanti ".
"Wahai manusia, kamu telah bekerja bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka kamu pasti menemuiNya " Al-Insyiqaq- 6

LIHATLAH PENCIPTAAN KITA...DAN INGATLAH JANJI KITA KETIKA ROH DITIUPKAN.....

Monday, November 9, 2009

Chicken Little dan Perjuangan Rasulullah

Hari tu, tertengok cerita chicken little. Seronok jugak tengok bersama anak2. Mungkin ramai yg dah tengok cerita chicken little. Tapi, saya summarisekan part 1 dia. Chicken little nie, pada satu ketika ternampak langit jatuh (tapi sebenarnya badan kapal terbang alien yg canggi dan boleh hilang yang terjatuh).

Maka tergopoh-gapahlah chicken little memberikan amaran kepada penduduk bandarnya tetapi akhirnya mereka tak nampakpun langit jatuh. Akhirnya chicken little dituduh penipu dan pembohong sampaikan ke peringkat movie dibuat kerana kejadian itu. Ayah chicken littlepun sedih dan merasa malu dengan anaknya itu. ( part nie saya dah terbahak-bahak ketawa)

Cuba bayangkan bagaimana perasaan chicken little?

Tentu dia sedih, rendah diri, kecewa dengan ayahnya, malu dengan kawan-kawannya, kalau boleh ingin je dia masukkan kepalanya ke dalam tanah dan bersembunyi daripada dunia luar. he!!!he!!! Seperti mana yg anda lihat tadi.

Sekarang ,cuba bayangkan anda adalah chicken little?.

Bayangkan ibu dan bapa anda menutup muka mereka "Malu mak dengan org kampung" sambil menangis. Ayah pula mendiamkan diri dan tak mahu melihat anda.
Bayangkan rakan-rakan menjauhi anda malah melarikan diri jika anda tegur.
Bayangkan anda lalu di kedai, org-org kampung berbisik-bisik sambil menuding-nuding jari ke arah anda. Anda melarikan diri kerana malu.
Byangkan guru-guru anda memanggil anda dan berkata " hentikan perbuatan kamu ini!!, kalau tidak kamu akan saya berhentikan sekolah!!", Anda merenung sayu sekolah anda sambil berlalu pergi.
Bayangkan ketika anda berjalan, budak-budak mengejek-ngejek anda "Org Gila! Org Gila!", sambil mencemikkan muka ke arah anda. Selepas tu, mereka pun membaling batu kearah anda.
Saudara-mara, adik beradik hanya melihat sambil menyembunyikan muka mereka" Saya tak ada hubungan apa-apa dengan dia" dan dengan pantas melangkah melarikan diri kerana malu.

Mungkin anda merasa sedih, pilu dsbnya. Tapi, ini hanya cerita/movie, tak adalah sampai begitu kalau didunia realiti.
" Dunia kartun bolehlah", bukan? betul tak? SALAH!!!

Perkara yg sama telah berlaku 1400 tahun dahulu bermula semenjak Rasululllah menghimpun semua penduduk Quraisy dan berdakwah secara terang-terangan.
Rasulullah dicaci,dihina, dibaling batu, di pulaukan, dilempar dengan najis, diugut bunuh, difitnah, dituduh gila, di tuduh ahli sihir dsbnya. Malah ada rancangan untuk membunuhnya. Apa perasaan Rasulullah?. Bolehkah anda merasai sedikit perasaan tu?

Bayangkan kita adalah penduduk Quraisy masa tu.
- Adakah anda akan mempercayai jika ada org yg mengaku dia boleh mengembara dari mekah ke Syam dan kemudian menemui Allah dalam masa satu malam?
- Adakah anda akan mempercayai org yg mengatakan bumi ini bergerak seperti yg termaktub didalam Al-quran? (dan telah dibuktikan dengan teknologi moden skrg- tectonic drift)

Tentu kita juga akan mengatakan Rasulullah Gila!!!!

BEGITU BERAT SEKALI APA(wahyu) YANG RASULULLAH BAWA!

Sebab itulah Allah bersabda didalam Al-Quran (lebih kurang)

"Kalaulah kami turunkan al-Quran diatas Bukit-bukau, maka kamu akan melihat ia hancur dan musnah kerana takutkan Allah" - Al-Furqan.

TETAPI RASULULLAH, SEORANG MANUSIA YG FIZIKALNYA SAMA SEPERTI KITA, MEMIKULNYA SELAMA 23 TAHUN KERANA UMATNYA(KITA)!!!- "BETAPA BERATNYA APA YANG ENGKAU BAWA YA RASULULLAH.!!"(masa menaip nie, air mata dah mengalir)

TAPI, kita pada hari ini, mengambil ringan apa yg Rasulullah bawa. Kita meletakkan Al-Quran di tepi, tetapi mengambil ideologi lain sebagai cara hidup kita. Hidup dan peribadi kita tidak mencerminkan al-Quran, tetapi mencerminkan ideologi barat dan akhlak yg rosak.

Apabila Rasulullah menyuruh kita menutup aurat, kita mendedahkan aurat kita kepada bukan muhrim, apabila Rasulullah menyuruh kita solat, solat adalah perkara yang paling kita ringan-ringankan, apabila Rasulullah menyuruh kita menjaga mata, matalah yang kita jamu setiap hari dengan melihat perkara yang tak sepatutnya.

MAKA, ADAKAH KITA MASIH LAYAK MENDAKWA KITA UMAT NABI MUHAMAD?
- tepuk kepala, tanya fikiran.

"Ya RAsulullah, Aku menyayangimu walaupun rupamu tidak dapat kubayangkan. Aku merindukan pimpinanmu. Ampunkan daku jika aku meninggalkan segala ajaranmu. Janganlah engkau sekat aku daripada mendapat syafaatmu. Selawat dan salamku untukmu Ya Rasulullah".

Friday, November 6, 2009

ANAK-ANAKKU BUKAN ANAK-ANAKKU......ehem! macam tajuk drama Indonesia pulak!

Satu hari tu, aku membuat kepututsan untuk mengambil cuti, sebab minggu-minggu sebelumnnya sibuk memanjang. Pada pagi itu, isteri bekerja dan anak-anak yang dah bersekolah perlu ke sekolah. Cuma tinggal Ammar, anak yg bungsu yg berumur 2 tahun yg tinggal di rumah.

Pagi tu, sunyilah sikit, sebab tak ada anak-anak2 yg lain. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk membuat kerja sedikit yang masih tertunggak sekian lama. Setengah jam kemudian, kedengaran bunyi Ammar naik ke atas dan dia terus ke bilik studiku. Dia terus berdiri di sisi kakiku sambil meletakkan mukanya di pahaku.

Aku merasa sedikit terganggu, maklumlah tengah membuat kerja komputer yg memerlukan konsentrasi yg tinggi.
"Ammar, pergilah bawah dengan bibik! ok?"
"Tak nak!. Tak nak!". jeritnya.
"Ammar pergilah bawah, Abi nak buat kerja nie!!"
"Tak nak! tak nak!", katanya sambil meraung
" Ammar pergilah bawah, Abi nak buat kerja nie!!! " jeritku sedikit marah.
"Tak nak! Tak nak!" katanya sambil memeluk erat kakiku, aku cuba melepaskan tangannya yg kecil tu.

Akhirnya, kupanggil bibik untuk mengambilnya. Menangis-nangis dia sambil tetap memegang kakiku ketika ditarik oleh bibik. Membentak aku dalam hati " mengganggu je nak membuat kerja".

Ketika aku membuat kerja, terdengar bunyi bibik memujuknya yg terjerit-jerit. Dibuatkan susu, ajak bermainpun tak nak. Akhirnya terdengar bunyi dia dimandikan, dan dipakaikan pakaian sambil terjerit-jerit melawan bibik yg cuba memujuknya terus. Sepanjang masa tu, aku cuma membuat kerja sambil sekali sekala terdengar bunyi dibawah.

Akhirnya terdengar bunyi kaki kecilnya naik ke atas menangis teresak-esak sambil diekori oleh bibik. Dia mengetuk-ngetuk bilik studiku dengan tangannya yg kecil. Dengan rasa sedikit menyampah, aku menyuruh bibik membuka pintu.

Terpacullah mukanya yg merah mengalirkan air mata sambil teresak-esak memegang botol susu dan bantal kecilnya. Tanpa berkata apa- apa, diapun terus meletakkan bantal kecilnya dan terus baring menghisap botol susunya dihujung kakiku. Bunyi teresak-esaknya masih kedengaran namun semakin berkurang.

Sambil menghisap susunya, tangannya memegang hujung jari kakiku. Aku biarkan sahaja sambil terus mengadap monitor komputer. Tak lama selepas itu, sesuatu terdetik di hatiku, Kulihat wajah Ammar, "tertidur rupanya". Sebelah tangannya memegang botol susu dan sebelah lagi memegang hujung kakiku. 'Rupa-rupanya dia nak aku baring dan memeluknya semasa dia menghisap susu botol' bisik hati kecilku.

Akhirnya, kututup monitor notebook, dan mengangkatnya. Dia tersedar sekejap tapi bila nampak Abinya yang mengangkat dia, terus meletakkan kepalanya di bahuku. Lepas tu, kubawa dia ke bilik dan terus baring disisinya sambil mengusap-ngusap rambutnya. Damai nampak mukanya sambil terus tertidur didalam pelukanku.

Sambil mengusap-ngusap rambutnya, aku berkata dalamhati "Maafkan Abi Ammar, Abi tak faham Ammar dahagakan kasih sayang Abi". bergenang rasanya mata. Akhirnya,akupun tertidur di sebelahnya.

Teringat saya kisah Raja Melaka yang mahu mengahwini puteri gunung ledang. Diberikan syarat jambatan emas, tujuh dulang hati nyamuk, dsbnya. Semuanya mampu diberikan kecuali satu, iaitu semangkuk darah puteranya. Ini kerana Sultan Melaka tidak mampu untuk melukakan puteranya untuk mengambil darahnya.

Tetapi, bayangkan kita sekarang. Sudah ramai ibubapa yg sanggup melukakan anaknya kerana sebuah cita-cita ataupun karier mereka. Bukannya melukakan kulit mereka seperti Sultan Melaka, tetapi melukakan hati-hati mereka. Bukannya disengajakan, tetapi tidak disengajakan kerana tekanan tempat kerja, deadline yg perlu dikejar dsbnya pelbagai alasan yg tidak berasas.

Mungkin ada yg memberikan alasan untuk memberikan kehidupan yg terbaik untuk anak2, tetapi adakah dengan melukakan hati mereka?. Anak-anak yg tidak berdosa, cuma menyepi dan terus terbiar. Maka ibubapa sebenar mereka bukannya mereka yg dipanggil ibu/bapa/mama/abi/ummi, tetapi insan-insan yang dinamakan bibik/org gaji.

Anak-anak yg berumur terutamanya dibawah 7 tahun memerlukan kasih sayang, yg berumur sekolah rendah perlu diberikan bimbingan dan disiplin, yg berumur remaja baru memerlukan belanja yg banyak dan sahabat, apabila mereka masuk ke universiti baru mereka memerlukan belanja yg cukup besar. Tetapi kenapa kita sanggup mengorbankan 18 tahun pertama mereka semata-mata untuk memberikan mereka kesenangan?.

anak-anak kecil tidak memerlukan kereta besar dan selesa, mainan PSP/PS2, Pakaian yg mahal-mahal dan selesa, mainan yg mahal dan canggih....dia hanya perlukan pelukan lembut ibubapanya yang penuh mesra dan perhatian sewajarnya dari insan bernama ibu/bapa.

PERMINTAAN YG MUDAH INIPUN KITA TIDAK BERIKAN KEPADA MEREKA!

Mungkin kita pernah mendengar org mencemuh, ibu guru, tapi anak pelesit. Bapa ustaz tapi anak duduk merempat. Mungkin inilah puncanya. Kita terlalu sibuk dengan kerjaya, sampai melupakan pendidikan anak-anak dirumah. Natijahnya, anak membesar dahagakan kasih sayang ibubapa dan apabila remaja, mereka berubah bukannya menjadi anak-anak kita, tetapi anak-anak terbiar yg membesar dibimbing oleh rakan-rakan.

Maka ketika itu jangan menyesal, anak-anak kita, tidak menjadi seperti anak-anak kita, tetapi menyerupai anak-anak orang lain. Masa itulah baru kita berkata didalam hati "ANAK-ANAKKU, BUKAN ANAK-ANAKKU."

Anak...kaulah permata ayah bonda
Anak...kaulah harapan ayah bonda
Anak...kaulah cahayamata ayah bonda
Anak...kaulah buah hati ayah bonda

Anak...jadilah orang yang berguna
Anak...berbaktilah kepada agama
Anak...carilah ilmu yang berguna
Anak...berbaktilah kepada kedua orangtuamu

Anak...kaulah harapan ayah bonda
Anak...kaulah harapan bangsa, agama dan watan
Anak...jadilah anak yang soleh/solehah
Anak...harumkanlah namamu dengan menjadi orang yang taat kepada Allah

Itulah...harapan ayah bonda.

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku cuba membimbing anak-anakku sedaya upayaku, tetapi jika aku gagal/tidak mampu mendidik mereka sebaiknya, maka hadirkanlah seorang mualim/murabbi dalam hidup mereka yang mampu menampung kekurangan didalam pendidikanku dan kasih sayangku Ya Rahman, Amin "

Tuesday, November 3, 2009

Pengajaran dari kisah pakcik yang sakit sembelit.....

Hari nie, saya ditemui oleh seorang pakcik awal-awal pagi lagi. Semasa saya nak bersiap bekerja, staf call saya dan beritahu ada kes yg memerlukan perhatian segera. Tergopoh-gapah saya memandu ke klinik.

Semasa saya masuk, pakcik tu dah menunggu, selepas dipanggil, rupa-rupanya pakcik nie sembelit dan terlallu sakit perut. Lepas diberikan ubat, perutnya kembali lega dan sakitnya berkurangan.

Selepas itulah, kamipun berbual panjang. Dia menceritakan serba sedikit tentang dirinya, sudahpun pencen dan kini tinggal bersama dengan isterinya sahaja. Rumahnya memang berdekatan sahaja.

Sayapun tanya, siapa yg hantar ke klinik, pakcik tu diam je dan beritahu dia memandu sendiri dalam keadaan kesakitan. Anak-anaknya tak ada di rumah, semuanya bekerja jauh di KL. Ternampak wajah kesayuan di mukanya.

Maknanya makcik dan pakcik hidup sendiri je lah. Diapun tersenyum sambil berseloroh, “Aha! jadi rasa macam baru-baru kahwin dulu pula”. Sambil tersenyum. Selepas berbual beberapa minit, akhirnya sampai ke topik anak-anaknya. Anak-anaknya memang berjaya, tapi pakcik nie rasa sedih juga sebab tak dapat bersama mereka dan berjumpa cucu-cucu.

Aktivitinya biasanya hanya ke surau, rumah etc…sambil menunggu ajal menjemput diri. Kesihatan mereka berduapun dah mula merosot. Nampak kesayuan di wajahnya….

Terfikir saya tentang anak-anak saya. Apalah takdir mereka nanti. Adakah saya akan seperti pakcik tu, atau mungkin dikelilingi oleh keluarga dan cucu-cucu? Entahlah. Tapi, saya teringat kata-kata mak saya dulu. “Kalau kita menjaga ibubapa kita, maka anak-anak kita akan menjaga kita juga nanti ketika tua”. Mungkin ada betulnya jua (tapi saya lupa nak tanya pakcik tu tadi)

Ibubapa saya menjaga kedua-dua org tuanya ketika kami kecil. Malah segala keperluan mereka dipenuhi dan ketika datuk dan nenek saya sakitpun, mereka berada di rumah kami semasa kami kecil malah meninggal di rumah kami ….teringat saya betapa beratnya tubuh datuk saya ketika nenek minta saya dan adik(yg ketika itu berumur 9 tahun) mengangkat datuk untuk dimandikan. .

Mungkin sebab itulah, ibu dan bapa saya dikelilingi anak-anak dan cucu-cucu kini. Kami paling kurangpun setiap seminggu mesti melawat mereka dikampung. Begitu juga dengan adik beradik saya yg lain. Mungkin disebabkan mereka menjaga ibubapa mereka juga dulu.

Sejak itu, saya azamkan untuk menjaga ibu dan bapa ketika mereka sakit….bukannya untuk mereka, tapi untuk saya sendiri, supaya anak-anak mengambil pengajaran, dan menjaga saya juga nanti ketika tua….Amin.

Jagalah ibubapamu sebelum terlambat...masa itu penyesalan dah tak berguna lagi

Thursday, October 29, 2009

Alasan yang tidak logik......!!!!

Hari ini saya nak share satu cerita.....

Ketika saya sedang memeriksa seorang nenek, nenek nie dibawa oleh dua org anaknya, ataupun mungkin anak dan menantunya (sayapun tak bertanya lanjut). Dia nie, mengidap asma yang agak serius sehingga ke peringkat dia tidakdapat bercakap. Ketika itu dalam pukul 1 pagi.

Selepas pemeriksaan, saya dapati dia mempunyai risiko yang terlalu tinggi disebabkan faktor usia dan asma yang teruk dan memerlukan rawatan segera di hospital berdekatan. Ini untuk mengelakkan pesakit collapse dan memerlukan rawatan segera yang hanya terdapat di hospital. Selepas menerangkan tentang pesakit.....
(A: anak, D: doktor)

A: Tak dapat dirawat disini sahaja ke doktor?
D: Tak dapat, risikonya terlalu tinggi, kalau pesakit tiba-tiba collapse, kami tidak mempunyai kelengkapan untuk menangani kes-kes seperti ini yang memerlukan rawatan kritikal.
A: Doktor buat je lah, nanti kita tengok hasilnya?
D: Terlalu bahaya, kalau berlaku kemungkinan besar boleh membawa kepada maut.
A: Nie ok je Doktor, Dr cuba le dulu, mana tahu dia ok lepas neb atau injection ke?
D: berdasarkan pengalaman, kes-kes seperti ini perlu dirawat di bilik kecemasan dan bukannya di klinik. risikonya terlalu tinggi (saya dah mula rasa tak senang dengan alasan2 ini)
A: Nanti kalau bawa ke emergency, kena tunggu lama...kami kena kerja esok pagi doktor.
D: Tak, kes-kes seperti ini akan dirawat dengan segera, kalau perlu, saya akan buat surat rujukan.
A: Susahlah doktor, doktor cubalah dulu,letih nanti kami tunggu lama.
D: Kalau rasa tak nak tunggu lama, bolehlah pergi ke hospital swasta, mereka masih buka lagi (masa nie, saya dah mula geram dengan sikap anak2-anaknya)
A: Mahal sangat hospital swasta. Tak per lah doktor, doktor bagilah neb ke, injeksen ke,berapa cas nya kami akan bayar.....
D: Tak dapat (sambil menggeleng-gelengkan kepala, rasa marah sudah mula naik melihat alasan demi alasan yang diberi, rasa kesian pula kat nenek tu yang tercungap-cungap macam ikan dilepmparkan ke darat menarik nafas)
A: Doktor try dulu, kalau emergency sangat kita hantar ke hospital, camna doktor?
D: (saya hanya mendiamkan diri sambil menggeleng kepala),
Selepas itu mereka berbincang sesama mereka akan kepututsan yang perlu dibuat. Masa nie, saya dah kesian betul tengok nenek yang semakin lemah dan mula susah hendak sedar. Kesabaran saya dah sampai ke kemuncaknya.
D: Awak mahu tengok mak awak meninggal ke?!!! (kata saya membentak)
D: Kalau awak mahu tengok dia meninggal, pergilah berbincang lagi, setiap masa awak berbincang, mungkin masa tu dah terlambat untuk menyelamatkan dia!!!! (tersentak kedua-dua mereka)

Akhirnya mereka tergopoh-gapah membawa ibunya yang semakin lemah ke hospital. Sambil salah seorang mereka berkata " Buang masa je lah kita datang ke sini"!!!! sambil mencebikkan mukanya yang memang didengar oleh saya dan staf yang ada berdekatan.

Beristighfar saya mendengar kata-kata itu....... Cuba kita fikirkan, kalau anak kita yang sesak nafas begitu, apa yang sanggup kita buat?. Kita sanggup menunggu sampai pagipun untuk menerima rawatan yang bagus untuk anak-anak kita. Bukan itu sahaja, mungkin kita sanggup mengeluarkan berapa ribu atau puluhan ribu untuk merawat mereka.

Tapi KENAPA? apabila ibu yang sudah tua sakit, separuh nyawa, kita masih memberikan alasan-demi alasan? Kenapa kita masih mencari-cari dan berbincang-bincang, apakah cara yang terbaik, sambil memikirkan alternatif yang menyenangkan kita?  Sedangkan dengan anak kita, kita mahu memberikan yang terbaik untuk mereka?

CUBA BAYANGKAN? Ketika kita kecil, apa yang ibu tua itu sanggup lakukan untuk kita? Membasuh najis kita, menyuap kita, menenangkan kita ketika kita bermimpi dimalam hari, sanggup berjalan menempuh hujan lebat agar anaknya tidak kebasahan sedangkan dia kebasahan, memberikan anaknya selimut, sedangkan dia kesejukan dimalam hari?

ADAKAH BEGITU MUDAH UNTUK KITA MEMINGGIRKAN IBU DARIPADA KEHIDUPAN KITA

p/s petua kalau merasakan begitu berat untuk mengutamakan ibu ketika ibu meminta sesuatu dari kita - cuba tengok wajah anak kita, apa yang kita sanggup lakukan untuk dia-dan kemudian cuba bayangkan, apa yang ibu yang tua sanggup lakukan untuk kita ketika kita kecil. InysaAllah, keinsafan akan menyelinap masuk ke hati. Amin

Akhir sekali, lihatlah video ini, semoga keinsafan meresap di hati..

Friday, October 23, 2009

Kasiih Ibu versus kasih anak?- Pengajaran dari 2 peristiwa.

Salam,ingin berkongsi dua kejadian yang memang benar2 berlaku......

Peristiwa 1


Hari tu, seorang pesakit datang, makcik yang agak tua bersama dengan anak lelakinya.Makcik nie, tengah sakit dan tengah muntah2. Ketika sampaipun dia tengah menahan muntahnya. Baru je masuk, masa nak register, makcik tupun muntah. Mungkin kena food poisoning kot.

Bergegaslah staf datang untuk memberi tisu dan air kepadanya sambil mengontrol muntahnya. Lepas tu, diapun dipimpin masuk ke bilik berjumpa saya. Semasa pemeriksaanpun, makcik tu muntah sekali lagi (mungkin isi perutnya tak habis lagi kot). Saya tunggu je, sambil memberi tuala, air dan meletakkan tong sampah untuk dia muntah.

Selepas diberikan suntikan, diapun nak keluar. Sayapun suruh panggil anaknya. Anaknya rupa-rupanya sepanjang masa itu duduk  diluar (bukan luar bilik, tapi diluar klinik), mungkin tak tahan bau muntah kot. Terkocoh-kocohnya anaknya bawa ibunya sambil menampakkan wajah geli dengan muntah ibunya.

Peristiwa 2


Satu hari anak saya yang berummur 2 tahun lebih, demam sikit tapi still mahu jalan2 naik kereta. Kamipun bawaklah dia bersama abang dan kakaknya. Semasa perjalanan pergi, ok je, tapi semasa perjalanan balik,dia lembik je.

Tiba-tiba, diapun muntah dengan banyaknya.Baunya bukan main lagi. Apa yang isteri saya buat, ialah tadah muntahnya dengan tangan (2 kali dia muntah). Tak cukup dengan tangan, terpaksa ditadah dengan bajunya pula. Habis baju isteri saya.

Kami terpaksa memberhentikan kereta untuk membuang muntah yang ditangan dan memberishkan mulut anak dan memberinya minum air kosong sedikit

Persoalannya : mana satu yang anda pilih?. Peristiwa yang sama, tapi reaksi yang berbeza. Adakah si anak dah kurang kasihnya kepada si ibu?. Atau si ibu memang mengasihi anak? So, skrg nie, Kasih anak kepada ibu versus kasih Ibu kepada anak? Siapa yang menang.

"Ya Allah! Jadikanlah anak-anakku, mereka yang taat dan mengasihi kedua ibubapanya"

Tuesday, October 13, 2009

Mendidik anak biarlah dari rumah...bukannya dari sekolah...

Hari ini, satu pengalaman yang cukup menginsafkan didalam mendidik anak-anak nie. Ada seorang kakak (umur 40an). Pakaiannya memang islamik, memakai baju kurung dan bertudung yang agak labuh menutup dada. Selepas konsultasi, kami terlekat topik yang dia menghantar anaknya ke sekolah agama. Bukannya di Kuching, tetapi sanggup menghantar mereka ke sekolah swasta iaitu sekolah tahfiz di KL. Bukan seorang, tapi 3 org anak-anaknya. Yang kecil sekali baru je berumur 9 tahun dan sdg bercuti di rumah.

Kagum rasanya. Sanggup menghabiskan duit kerana ingin melihat anak-anak berjaya terutamanya di dunia. Harapannya cukup besar, supaya anak membesar menjadi hafiz dan hafizah dan mampu membela nasib ibubapa di akhirat kelak. Masa itulah, sayapun terdetik untuk mengikut jejak yg sama dalam mendidik anak2. Sorangpun jadilah, kata saya dalam hati. Selepas konsultasi, sayapun ke luar bilik ke kaunter hadapan. Kebetulan kakak tu masih ada dihadapan dan anaknya yang sekolah di sekolah tahfiz itupun ada sama.

Tapi,apabila melihat anaknya, sayapun termenung sekejap. Anaknya memakai baju t-shirt dan skirt pendek, sehingga ke paras atas lutut. Inikah bakal hafizah yang diharap-harapkan itu? Walaupun dia baru berumur 9 tahun, tapi, inikah didikan yang diberikan di rumah?. Adakah masalah aurat perempuan tidak ditekankan di sekolah? Termenung saya sekejap selepas itu. Sedangkan mendedahkan aurat itu adalah perkara yang haram, tentulah sekolah ada mengajar perkara berkenaan, tetapi kenapa ketika di luar sekolah, aurat boleh didedahkan begitu sahaja.? Dan yang pelik lagi, ibu yang tahu hukumnya (mungkin tak memahaminya) boleh membiarkan sahaja?

Adakah didikan sekolah dan rumah berlainan?

Kekadang ada ibubapa yang terlalu mengharapkan sekolah untuk mengajar tentang agama/islam kepada anak2. Sekolah sudah menyediakan guru agama. Ttak cukup dengan itu, sistem pengajara JQAF telah diterapkan untuk mengajar anak-anak supaya agamanya kukuh semenjak sekolah rendah lagi. Tak cukup dengan itu, pelbagai cara dan aktiviti di ajar di sekolahyang berkaitan dengan agama. Peruntukan diberikan untuk menyambut hari-hari kebesaran Islam, hampir setiap sekolah mempunyai surau sekolah dan bermacam-macam lagi. Tapi adakah itu mencukupi untuk mengisi hati anak-anak dengan iman?

Iman itu tidak dapat diwarisi? tapi dapat dididik kepada hati.

Bayangkan, kalau anak kita sudah habis sekolah menengah bermakna dia sudah berumur 17 tahun, bermakna sudah 6 tahun sekolah rendah, 5 tahun sekolah menengah. maknanya hanya 6 tahun dia bersama kita dan selepas itu masanya banyak disekolah.Logiknya, pendidikan sekolahlah yang utama betul tak? SALAH.! Mereka berada di sekolah dari 7 am hingga 5pm (nie kes ekstrem nie) tapi selebihnya 5pm-7am (lebih 14 jam) mereka bersama kita dirumah. Mungkin ini campur dengan tidur, mungkin kurang lagi. So, kalau kira-kira dan congak-congak, tentulah lebih banyak/ataupun sama masanya. Tapi, tahukah anda, anak2 lebih mengikut ibubapa berbanding guru. Cuba tanya, siapa yang sanggup kamu ikut, rata-rata akan mengikut sikap dan perangai ibubapanya.

6 tahun pertama adalah masa yang cukup genting. Mengikut ahli psikologi kanak-kanak, usia bawah 6 tahun adalah usia dimana pendidikan masa itu, akan membentuk peribadi anak-anak (sebab itulah anak-anak banyak mengikut peribadi ibubapa - kalau ibubapa suka marah-marah, anak-anak pasti mengikut juga.). Gagalnya didikan semasa bawah usia 6 tahun, maka akan nampak pada peribadi umur selepas itu.

Selepas umur 7 tahun ke atas, anak-anak sudah pandai berfikir (sebab itulah Islam menyuruh mengajar anak sembahyang masa berumur 7 tahun), dan rakan-rakan akan banyak membentuk peribadi mereka. Masa inilah, anak-anak membentuk peribadi tersendiri yang unik, hasil gabungan pengaruh ibubapa dan rakan. Jadi, sebab itulah pembentukan di rumah cukup penting, sebab ia menjadi asas kepada pembentukan peribadi mereka di sekolah dan bukan sebaliknya (pengaruh sekolah akan membentuk peribadi mereka di rumah)

Mengharapkan sekolah mendidik anak-anak.

Jadi pendapat mengharapkan sekolah mendidik anak-anak adalah SALAH. Rumah sebenarnya mendidik dan membentuk peribadi anak-anak dari awal sehinggalah dewasa. Gagalnya anak-anak dari segi akhlak, adalah gagalnya pendidikan di rumah (tapi bukannya 100%).

Ketegasan dirumah seperti apa yang diajar oleh Islam seperti menutup aurat, mengerjakan solat dsbnya adalah cukup penting dan tidak boleh dipandang ringan. Islam telah mengajar bila perlu auratnya ditutup, bila anak-anak perlu diajar sembahyang, bila anak perlu diajar berpuasa, bila anak boleh dipukul jika tidak solat dll. Semuanya telah diajar oleh Rasulullah dan Al-Quran.Tapi, sebagai ibubapa kita mengambil mudah perkara aurat dan solat. Kita meringan-ringankan hukumnya dengan alasan yang dangkal seperti masih kecil lagi, kesian dia, nanti dia belajarlah di sekolah dll. Tapi, tahukah kita, itulah cara tarbiyah yang diajar oleh ALLAH, yang menciptakan anak-anak kita, dan sudah tentulah dia yang Maha Mengetahui apa yang mampu dilakukan dan difikirkan oleh minda dan jiwa anak-anak yang kecil ini.  

Maafkan Ayah anakku !

Seandainya ayah tidak mampu bertegas pada perkara yang sepatutnya dan berlembut pada perkara yang sepatutnya seperti yang diajar oleh Rasulullah dan Islam

Maafkan Ayah Anakku,

Jika, Ayah tidak dapat menjadi contoh yang terbaik buatmu. Janganlah ambil ayah sebagai contoh dan idolamu, tapi ambillah Rasulullah sebagai idolamu.

AMIN

Saturday, October 10, 2009

Membuat keputusan harian berasaskan Islam

Ramai yang mengatakan bahawa Islam adalah satu cara kehidupan....betul ke?. Atau cuma dimulut tetapi tidak dihati. Semua meyakininya, semua mengatakan bahawa daripada bangun subuh sampai ke malam/tidur, Islam pasti ada panduan.

Bangun tidur baca doa, lepas baca doa, bangun dan bersedia untuk subuh etc.etc....Rasanya semua tahu perkara ini. Tapi, kita juga perlu ingat, setiap hari kita membuat keputusan. Samada keputusan besar ataupun kecil. Hari ini saya nak bercakap tentang keputusan yang kecil.

Contohnya kita bangun tidur, malas betul rasanya bila azan berkumandang, rasa malas nak ke surau....tapi bila teringat "solat berjemaah lebih baik dari solat seorang 7 kali ganda"...gagahkan diri untuk solat di masjid. Inikan juga panduan daripada Allah/Rasul. Tapi, kadang-kadang, walaupun panduan telah ada, kita memalingkan diri daripada panduan itu.

Contohnya..katakan anak perempuan kita minta izin keluar dengan kawan lelakinya....kita selalu berfikir secara logik....." bagus anak aku nie, minta izin,,,baik dia"...bila tengok si lelakinya..."bagus budak lelaki nie, aku kenal keluarganya, keluarga org yg baik2" ......kita tanya ke mana " dia cakap ke library utk study...kitapun berfikir" takperlah diorang nak study...biarkanlah"........kemudian kita fikir..."Alah biasalah bebudak zaman sekarang nie, belajar sesama lelaki dan perempuan, tak apalah"...ha! ok, pergilah nak....? TAPI! adakah ini yang Islam anjurkan?.....apabila Allah berfirman dalam Al-Quran " Janganlah kamu mendekati zina".. bermakna perbuatan yang mendekati zina seperti keluar berdua-duaan, berpegangan tangan juga turut di haramkan...Atau adakah pernah kita denganr ayat yang kata, "Jangan kamu mendekati zina...tapi dibolehkan jika budak lelakinya boleh dipercayai?....adakah hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram itu boleh dipermainkan dengan sebarangan sahaja?

Beginilah contohnya yang perlu kita fikirkan. Setiap masa kita perlu membuat keputusan dalam kehidupan berkaitan diri dan org disekeliling kita. Tapi, adakah kita mendahulukan hukum Islam ataupun logik akal kita?
Teringat kisah As-syahid Hasan Al-Banna, pernah ditanya apabila dua golongan di satu kampung berbalah berkenaan berapa rakaat solat terawih yang akan dikerjakan di masjid mereka ...21 atau 8 rakaat?. Jawabnya, solat terawih itu hukumnya sunat sedangkan perpaduan itu hukumnya wajib. mana lebih afdhal?. akhirnya dia menggesa semua lebih baik sembahyang di rumah masing2 sahaja untuk mengekalkan perpaduan jika jumlah rakaat masih tidak dapat dipersetujui....

Beginilah kita membuat keputusan dalam kehidupan seharian kita.Sebelum melakukan sesuatu, fikirkan hukumnya didalam Islam, selepas itu jika dah tahu, buatlah pilihan yang terbaik.wallahualam.