Orang kata, "We will see the worse/good in people during their sickness". Sebagai seorang doktor, banyak pengajaran boleh diperolehi semasa merawat pesakit. Semoga, pengalaman yang dikongsikan, mengubah persepsi kita dan peribadi kita menjadi Hamba yang bertakwa.

Anda dibenarkan untuk mengkopi entri di blog ini, tetapi rujukan hendaklah dibuat kepada penulis dan URL blog diletakkan supaya pembaca mendapat manfaat daripada entri blog yg akan datang. Sebelum itu, niatkan apa yg dilakukan hanya kerana Allah, Tuhan semesta Alam.

Sudi-sudilah jadi followers, untuk mengutip ilmu dari entri akan datang:

Saturday, June 26, 2010

Evolusi Perubahan Umat- dipihak manakah anda sebenarnya?


 Kenduri A

Terdengar suara hiruk-pikuk para jemputan yang datang. Bermacam ragam boleh dilihat. Ibu yang mengendong anaknya yang menangis sambil cuba memujuknya. AJK kenduri yang sibuk melayan tetamu yang datang sambil menerima ‘sampul surat’ yang diberikan tetamu. Setiap kali menerima ‘sampul surat’ pasti tersenyum lebar ayah pengantin perempuan.
            Pada masa yang sama, terlihat kelibat si gadis yang memakai baju yang ‘habis cantik’ sempena majlis berkenaan mengalahkan pengantin perempuan agaknya. Make-up sendiri agak tebal dan baju kebaya yang dipakai juga agak menjolok mata yang menampakkan susuk tubuh dan bahagian atas dada dan belakang yang hanya ditutupi kain yang nipis hampir menampakkan kulit si pemakainya. Sambil berjalan, sambil semua pemuda yang ditemui ditegurnya. Ada yang hanya melemparkan senyuman dan ada yang berani menegur dan bergurau senda. Maka, kumpulan gadis-gadis inilah yang menjadi tumpuan ramai.
            Ada gadis yang berjalan bersama orang tuanya, ada juga yang berjalan dengan rakan-rakannya. Rata-rata umurnya baru menjangkau belasan tahun ataupun awal 20 an. Pemuda yang berada disekelilingnya meneliti tubuh si gadis dari atas ke bawah tanpa segan silu sebab dah ramai yang memandangnya. Pemuda yang bekerja menghidangkan makanan pula semakin rajin bila berdekatan dan setiap kesempatan untuk bergurau senda digunakan sebaik mungkin walaupun dihadapan ibubapa si gadis. Bunyi muzik yang mengasyikkan mengalunkan lagu pengantin baru menjadi background drama ini.
            Tiba-tiba, terdengar bunyi paluan kompang menandakan pengantin dah sampai. Berkerumunlah orang ramai ingin melihat pengantin. Datanglah si pengantin lelaki dengan baju kotnya dan bertali leher kemas. Berpeluh juga si pengantin lelaki kerana ingin menggayakan pakaian barat yang memang tidak sesuai dengan cuaca tropika. Tidak lama kemudian turunlah pengantin perempuan.
            Pengantin perempuan memakai make-up yang cukup tebal seumpama pelakon opera cina sambil memakai pakaian pengantin perempuan barat ala puteri yang jelas menampakkan tubuh badan dan tidak ditutup dibahagian atas dadanya. Jadilah kedua-duanya tontonan orang ramai bersanding dihadapan rumah bersama khalayak ramai dalam cuaca tropika yang panas. Selepas satu set pakaian, kedua mempelai masuk ke dalam semula dan keluar dengan set pakaian yang lain pula. Mungkin terdapat 2-3 set pakaian yang perlu ditukar sepanjang acara persandingan berkenaan.
            Jelas kelihatan perhimpunan ini bukannya perhimpunan yang diberkati malah mungkin syaitan sedang datang dalam jumlah yang besar meraikan kejayaan mereka melekakan si gadis dan pemuda serta semua hadirin yang hadir. Pembaziran, pergaulan bebas, pakaian menjolok mata, hiburan muzik yang mengasyikkan dan penyembahan budaya barat jelas terpampang di hadapan mata.

Kenduri B

Suasana sama seperti kenduri A, hiruk-pikuknya, gurau sendanya, dan bermacam perkara yang memang lazim didalam masyarakat pada ketika ini. Pakaian si gadis tetap menjolok mata dan mata si pemuda terus memandang tubuh badan si gadis tanpa rasa segan silu lagi.
            Kedengaran dikejauhan, bunyi kompang dipalu dan datanglah si pengantin lelaki. Pengantin lelaki, memakai pakaian melayu lengkap bersongkok dan membawa keris kecil. Tak lama kemudian datanglah pengantin perempuan memakai jubah dan bertudung labuh menutupi dadanya. Make upnya cukup ringan dan tidak tebal masih menampakkan wajah aslinya. Perhiasan jubahnya yang longgar juga hanya meletakkan sedikit perhiasan ringan.  Kedua-duanya kemudian masuk kedalam rumah dan hanya bersanding dialam rumah tanpa bersanding di luar rumah jauh daripada pandangan mereka yang bukan muhrim lepada keduanya, terutama pengantin perempuannya.
            Daripada perbualan dengan saudara mara pengantin, mereka mengatakan kedua mempelai tidak mahu bersanding. Namun terpaksa mengalah dengan kehendak orang tua yang tetap bertegas untuk mengadakan upacara persandingan. Namun, mereka diberikan kebebasan untuk memakai baju apa dan hanya sekejap sahaja semata-mata untuk meraikan kedatangan tetamu yang hadir.

Kenduri C (mungkin disatu ketika nanti atau sudah ada dikawasan anda?)

Suasananya cukup tenang. Kehadiran saya ke majlis itu disajikan dengan lagu-lagu nasyid dan bacaan Al-Quran. Tempat lelaki dan perempuan diasingkan. Pekerja yang menghidangkan makanan juga tidaklah ramai. Makanan dihidangkan ala bufet dimana tetamu bebas mengambil makanan dengan pinggan masing-masing dan duduk bersama rakan-rakan sambil bertanyakan khabar. Ada juga tetamu yang memilih untuk makan didalam talam secara berkumpulan untuk mendapat berkat lebih. Cara ini lebih praktikal untuk mengelakkan pembaziran dan supaya semua dapat makan secukupnya
Kedatangan saya bukannya disambut oleh bapa pengantin, tetapi disambut oleh pengantin lelaki sendiri dengan berpakaian melayu lengkap menyambut dan menjabat tangan setiap tetamu. Disebelahnya terdapat tabung yang tertulis ‘Tabung Palestin’. Setiap tetamu yang menghulur ‘sampul surat’ atau wang disuruh memasukkannya ke dalam tabung palestin. Ucapan tahniah dan doa untuk mempelai diulang-ulang oleh setiap hadirin yang hadir. Kelihatan tabung tersebut semakin penuh, setiap kali rakan-rakan bertanya, “takkan tak mahu duit ‘sumbangan’ mereka?”, Pengantin lelaki hanya menjawab sambil tersenyum,“ Saudaraku di Palestin lebih memerlukan sumbangan ini daripadaku, dan hidangan ini adalah peluang untukku mendapat saham yang lebih baik bagiku, iaitu saham akhirat”.
Dikejauhan disebelah sudut tetamu wanita yang agak tersembunyi, kelihatan pengantin perempuan dengan berjubah longgar dan bertudung labuh menutupi bahagian dada, sibuk menyambut kedatangan tetamu wanita yang hadir. Pakaian yang dipakai para hadirin tidak menjolok mata dan para gadis memakai baju yang sebaiknya untuk muslimah dan pemudanya menundukkan kepala menjaga pandangan masing-masing.
Tiba-tiba kedengaran pengumuman dibuat untuk memulakan majlis ceramah sempena majlis tersebut. Ustaz yang memberi ceramah duduk dengan tenang menyampaikan ceramah dan peringatan terutamanya untuk kedua mempelai sambil para hadirin makan dan mendengar dengan baik ceramah yang diberikan. Ceramah diakhri dengan doa supaya kedua mempelai diberkati perkahwinannya dan diaminkan oleh semua hadirin yang hadir.          

Evolusi perubahan Umat

Inilah dia gambaran perubahan didalam masyarakat kita. Kalau kita lihat, generasi muda sudah mula mahu menolak adat bersanding kerana pemahaman mereka tentang perkahwinan didalam Islam yang sebenarnya. Namun, disebabkan oleh gesaan ibubapa, maka mereka terpaksa akur dengan kehendak ibubapa. Namun, tidak mustahil, dengan kefahaman yang ada, perkahwinan anak-anak mereka pasti lebih baik daripada itu dan menunjukkan ciri-ciri Islam yang sebenar. Dan mungkin, kenduri perkahwinan seperti kenduri C, akan menjadi budaya masyarakat kita satu ketika lagi. ( Denga izin Allah, di zaman generasi anak-anak kita)

Itulah dia konsep perubahan didalam mana-mana tamadun. Prosesnya adalah lambat dan berterusan dan mungkin melangkau beberapa generasi baru sesuatu adat itu dapat dihapuskan terus. Mungkin zaman ibubapa kita, kebaya ketat dan kain yang membelah ke paha adalah satu fenomena. Namun, kini ia sudah lama berlalu dan digantikan dengan budaya lain pula.       

Perjuangan ‘Nafas Panjang’.

Begitu juga dengan dakwah Islam ini. Apa yang kita mahukan ialah satu masyarakat Islam yang sebenar. Proses perubahannnya lambat tapi pasti.  Daripada individu muslim, kepada keluarga muslim, masyarakat muslim, daulah Islam, Khilafat Islamiyah dan kemudiannya memimpin alam ini.
Dakwah ialah nadi / jantung kepada agama Islam. Tanpanya, Islam takkan sampai kepada kita pada hari ini. Cuba bayangkan, Islam sampai ke tanah Melayu selepas berapa ratus tahun ia dibawa oleh Rasulullah. Malah melangkau beberapa generasi. Mungkin generasi awal penganut Islam di Tanah Melayu tak sempatpun bersua dengan para sahabat.  
Sebab itulah kita perlu memakai strategi ‘nafas panjang’ iaitu teruskan bekerja dan jangan mengharapkan hasil dapat dipetik semasa kita masih bernyawa. Tapi, jika kita merenung masyarakat kita, pasti kita memahami bahawa perubahan sudah mula tersebar dikalangan masyarakat kita. Konsep Islam adalah satu cara hidup sudah diterima pakai oleh masyarakat.

Pertembungan dua agenda.

Namun, perlu kita renungi, jahiliyah juga semakin meluas dikalangan masyarakat kita. Dulu, orang bersembunyi ketika melakukan kemaksiatan, tetapi kini ada yang berani melakukannya terang-terangan atas dasar kemodenan.
            Ini menunjukkan bahawa Jahiliah juga bekerja siang dan malam untuk melakukan dakwah kepada kemaksiatan. Dengan peruntukan yang cukup besar, bantuan yang datang mencurah-curah, mereka memegang maklumat, penyiaran dan kuasa ketenteraan. Mereka juga memahami perjuangan ’nafas panjang’. Maka, pertembungan pasti berlaku dan tetap berlaku.

Siapakah yang akan menang?

            Siapakah yang akan menang?. Mereka yang suci hatinya yang akan menang kerana mereka yang akan mendapat bantuan Allah SWT.

” Jika kamu menolong Allah, Allah pasti akan menolongmu”

Di pihak manakah anda sekarang?

Jadi persoalannya sekarang, Di pihak manakah anda berada sekarang? Adakah anda dipihak mereka yang menyeru ke jalan Allah atau mereka yang menuju ke jalan jahiliyah?

Mesti ramai yang mengatakan mereka mengikut pihak yang menyeru ke jalan Allah. Ini kerana, memang sudah fitrahnya manusia mahu kepada kebaikan dan menolak kejahatan. Namun, ternyata ia hanyalah tempelan di mulut sahaja dan bukannnya dibuktikan dengan perbuatan.

Bagaimana mungkin kamu berada jalan Allah jika kamu masih tidak menutup auratmu  dihadapan muhrim dan masih memakai seluar pendek ketika bersukan?. (Bukankah ini akan diikuti oleh adik-adik yang masih muda?)


Bagaimana mungkin kamu berada dijalan Allah jika filem-filem lucah masih menjadi tontonanmu dan engkau masih membawa keluar si anak gadis?

Bagaimana mungkin kamu berada diijalan Allah, jika solatmu, puasamu, zina matamu, perbuatanmu dan hidupmu tidak menggambarkan mereka yang menuju ke jalan Allah?

Bagaimana mungkin kamu berada di jalan Allah jika  kamu lebih banyak mengajak kepada kemaksiatan berbanding dengan sedikitnya kamu mengajak kepada kebaikan?

Bagaimana muingkin kamu menyeru ke jalan Allah jika keluargamu tidak mencerminkan keluarga muslim yang sebenarny?. Anak-anakmu mendedahkan aurat, meninggalkan solat? Isterimu berhias ketika keluar dari rumah dan meninggalkan solatnya?

Mungkin ramai yang tercengang!. Mungkin ramai yang kehairanan!

Tanpa disangkan, mereka sebenarnya ’agen tanpa sedar’ yang berdakwah kepada jalan syaitan, di ’brain wash’ otaknya untuk menerima dengan mudah Jahiliah dan menolak kebaikan. Cuba kita teliti dalam satu hari, berapa kali kita mengajak orang mengerjakan solat dan berapa kali kita mengajak orang kepada perkara yang sia-sia seperti merokok, membazirkan masa dan sebagainya? 

Pendakwah manakah anda?

Pendakwah ke Jalan Tuhan, atau pendakwah ke jalan Syaitan?

Tepuk dada, tanyalah Iman.

Wednesday, June 2, 2010

Ummah Ini.....


Ya Rasulullah,
Ketika dirimu menyendiri di gua,
Mengenang segala maksiat melata,
Aku kehairanan, aku tertanya-tanya,
Apakah perasaanmu masa itu yang sebenarnya?,

Bagaimanakah bentuk Jahiliah ketika itu?
Bagaimanakah bentuk maksiat ketika itu?
Bagaimanakah bentuk masyarakat ketika itu?
Bagaimanakah kebingunganmu ketika itu? (melihat masyarakatmu)

Aku tidak faham, aku tak mengerti,
Atau, adakah aku yang tiada hati?
Bagaimana mungkin kita perlu menyendiri,
Ketika Jahiliah menguasai ummah ini,

Kulihat sekelilingku, kuamati umat ini,
Kubaca sirahmu, ku teliti hadismu,
Kini, barulah aku memahami dan mengerti,
Akan perasaanmu ketika itu,

Zamanmu, orang menanam anak perempuan kerana malu,
Kini, org menanam anak lelaki dan perempuan kerana tak mahu,
Zamanmu, mereka yang melacur dan melahirkan anak, ada yang menjaga anaknya,
Kini, mereka yang berzina dan melahirkan anak, tiada siapa mahukan anaknya,

Dulu masyarakatmu menyembah patung yang tidak bernyawa,
Kini, mereka menyembah wang dan harta yang juga tidak bernyawa,
Dulu, ahli kabilah mesti dibela dengan pedang, walaupun dia bersalah,
Kini, kroni dan kuncu mesti dibela dengan wang, walaupun dia bersalah,

Dulu, mereka yang lemah akan menjadi mangsa,
Kini, mereka yang lemah juga menjadi mangsa,
Dulu, akal menjadi hamba, nafsu menjadi raja,
Kini, akal juga menjadi hamba, nafsu terus bermaharajalela.

Dulu, kaum yang lemah dibunuh diperkosa, tanpa ada pembela.
Kini, Palestin dibunuh, diperkosa, dunia hanya melihat sahaja,
Dulu, hamba yang ramai didisiplinkan dengan rotan dan seksaan,
Kini, hamba yang mengangguk kepala, didisiplinkan dengan duit dan ancaman 


PENING!!!  PENING!!!  PENING!!!
Kini kufaham kesedihanmu wahai pesuruh Allah,
Engkau melihat umatmu semakin rendah nilai diri,
Kini kufaham kebimbanganmu Ya Rasulullah,
Sehingga ke akhir lafazmu hanyalah ummati, Ummati

Adakah mungkin jahiliyah ini, seperti zamanMu?
Adakah mungkin Jahiliyah ini lebih dahsyat lagi?
Atau Adakah umat ini akan tetap seperti ini?

Mengalir air mataku mengenangkan apa yang berlaku,
Ku menjadi sebak ketika melihat alam sekelilingku
Ku menjadi bingung melihat umat yang hilang hala tuju,

Oh Allah!
Sebagaimana Rasulullah bangkit mengubah umatnya,
Kini kuingin bangkit meneruskan tugas Rasulullah,
Bantulah diriku sebagaimana engkau membantunya, (Muhamad)
Dalam menghadapi  segala tribulasi dan mehnah dakwah

Nukilan jiwa – apabila memikirkan nasib umat ini. 

"Ya Allah, setiap kali mengenangkan umat ini, mengalir air mataku, setiap kali melihat masyarakat ku, bergenang air mataku, 
Ya Allah, umat Islam dicabik-cabik, diratah-ratah oleh musuhmu, apakah kami tiada kekuatan Ya Allah, Adakah penyakit hati-hati kami begitu menebal Ya Allah, 
Ya Allah, bangkitkanlah dikalangan kami, mereka yang mampu membangkitkan umat ini dan jadikanlah aku salah seorang daripada mereka  dan juga salah seorang yang syahid kerana memperjuangkan agamaMu"