Orang kata, "We will see the worse/good in people during their sickness". Sebagai seorang doktor, banyak pengajaran boleh diperolehi semasa merawat pesakit. Semoga, pengalaman yang dikongsikan, mengubah persepsi kita dan peribadi kita menjadi Hamba yang bertakwa.

Anda dibenarkan untuk mengkopi entri di blog ini, tetapi rujukan hendaklah dibuat kepada penulis dan URL blog diletakkan supaya pembaca mendapat manfaat daripada entri blog yg akan datang. Sebelum itu, niatkan apa yg dilakukan hanya kerana Allah, Tuhan semesta Alam.

Sudi-sudilah jadi followers, untuk mengutip ilmu dari entri akan datang:

Monday, January 18, 2010

CINTA KURNIAAN ILAHI, cinta yang sejati.



Pernah seorang makcik telah pergi berjumpa dengan saya mengadu berkenaan sakit kepalanya. Selepas diperiksa, tiada apa-apa yang serius, mungkin sakit kepala biasa sahaja. Tapi, walaupun begitu, tekanan/stress perlu diselidiki sebagai salah satu sebabnya juga.

Makcik tu pun menceritakan tentang suaminya yang baru meninggal dunia kira-kira sebulan yang lepas. Malah sekarang masih lagi mengadakan kenduri arwah. Perbualan yang ringkas menjadi panjang hampir setengah jam.

Satu demi satu makcik tu menceritakan pengalamannya bersama suami daripada mereka mula berkahwin, sehinggalah saat kematiannya. Saya rasakan macam mendengar flash back seluruh kehidupan mereka suami-isteri.

“ Pakcik seorang yang baik, tak pernah dia nak marah dengan anak-anak. Kalau dia marah sangatpun, dia akan pergi masuk ke bilik atau ke masjid. Tak pernah dia nak marah, apa lagi nak marah di depan orang lain.”

“ Kami kahwin dahulupun atas pilihan keluarga,cinta berputik selepas perkahwinan. Walaupun gajinya kecik, namun segala keperluan keluarga semuanya tertunai, mungkin rezeki berkat kot”

“Kalau makcik balik dari kerja, mesti dia tanya apa yang makcik bawa balik…macam budak kecil je dia walaupun hanya kuih 2-3 keping, mesti dimakannya sampai habis”

“Kalau ada jemputan kahwin atau kenduri, dia mesti akan cuba hadirkan diri. Kalau 2-3 jemputan pada hujung minggu tu, dia akan bahagi-bahagikan saya atau anak-anak untuk pergi setiap satu kenduri kerana menunaikan jemputan daripada orang”

“ Masa dia belum sakitpun, dia selalu minta, kalau dia dah nak meninggal, dia tak mahu menyusahkan keluarga. Dan memang benar, dia meninggal di ICU selepas 2 hari je diserang stroke. Tak sempat makcik nak menjaganya”

“Makcik rasa, sepanjang makcik berkahwin dengan dia, jiwa makcik tenang dan tak resah gelisah kerana makcik tahu dia akan menunaikan tanggungjawabnya dan mendidik keluarganya dengan baik”

Itulah dia cinta sejati, cinta yang dilindungi oleh institusi perkahwinan yang dihalalkan oleh Allah SWT.
Dalam cinta ini, tiada rasa resah gelisah, tiada rasa merajuk dan tiada rasa bersempit dada.

Cinta ini datang daripada Allah SWT. Yang dikurniakan oleh Allah SWT bersama ketenangan jiwa didalam perhubungan. Disana ada bertolak ansur, saling memahami dan sayang menyayangi. Disana ada tanggungjawab, ada kasih sayang, ada anak pengikat cinta ada dan syariah menjaga keharmonian.

“Entahlah doktor, pening saya fikirkan boyfriend saya nie. Sekejap-sekejap merajuk. Kuat cemburu dia nie. Tengok lelaki lain callpun, dia dah tarik muka merajuk. Kalau ajak keluarpun, saya juga yang kena keluar belanja. Lepas tu, asyik tak ada duit je. Entah mana gaji dia pergi tiap-tiap bulan” aduan seorang pesakit ketika dia menerangkan mengapa dia mengidap migraine yang teruk.

Bila orang lain bercouple, diapun teringin nak bercouple-couple juga. Maka, cinta ini bukan dikurniakan oleh Allah.

Ini Bukan cinta yang menenangkan tetapi cinta yang menyesakkan hasil hasutan syaitan.

Mungkin ramai yang pernah mengalami perkara ini. Apabila sesak dengan cinta teman ini, PUTUS, pergi cari cinta dengan teman yang lain pula, dengan harapan cinta baru itu akan membawa ketenangan jiwa.

Tapi, lain yang berlaku, cinta baru rupanya sama dengan cinta yang lama, kedua-duanya sama-sama menyesakkan jiwa, Cuma mungkin tahapnya sahaja berbeza. Tapi, CINTA yang dilindungi oleh institusi perkahwinan, adalah cinta yang diredhai Allah, maka Allahlah yang akan menjaga rasa CINTA itu.

Dan siapalah sebaik-baiknya yang mampu menjaga cinta selain daripada Allah SWT, Yang Maha Penyayang?

Tapi, malang sekali….ramai yang mengejar cinta HASUTAN SYAITAN, bukannya mengejar cinta KURNIAAN TUHAN. Ramai yang bercouple sebelum berkahwin, kononnya ia satu kemestian dizaman sekarang. Namun, cinta hasil hasutan syaitan pasti ramai yang kecundang, sebelum sampai ke gerbang perkahwinan.

Maka lahirlah kes-kes seperti dirogol oleh teman lelaki, mengandung diluar nikah, gambar bogel disebarkan di internet, tekanan perasaan kerana teman merajuk etc. Maka, hasilnya nanti, jadilah generasi yang penuh dengan masalah jiwa dan akhlak yang membimbangkan.

Disini, saya ingin menyeru pembaca, terutamanya pembaca golongan remaja/muda, carilah CINTA KURNIAAN ILAHI, bukannya CINTA HASUTAN SYAITAN. Jika dirasakan sudah sampai seruan untuk mendirikan rumahtangga, rancanglah sebaik-baiknya, janganlah dilambat-lambatkan. InsyaAllah, CINTA KURNIAAN ILAHI  akan menjelma dalam hubungan yang dilindungi ikatan(perkahwinan) yang suci ini. Amin.

“ Ya Rahim, Engkau maha Penyayang, terima kasih kerana mengurniakan CINTA KURNIAAN ILAHI dalam perkahwinanku, kekalkanlah ia, lindungilah ia dalam menempuh dugaan dunia, dan kekalkanlah ia selama-lamanya. Semoga CINTA ini mendapat redha daripadaMu. Amin”

 P/S - Nasyid buat isteri tercinta - "Hasmida Hasan, Engkau melengkapkan hidupku"





Thursday, January 14, 2010

Pendidikan sekolah VS Pendidikan rumah


Seminggu dua nie, minggu persekolahan telah bermula. Saya sebagai seorang ayah, juga tercabar dengan perubahan suasana ini. Lagipun, tahun ini anak sulong saya sudah memasuki alam persekolahan baru iaitu alam persekolahan sekolah rendah.

Alam sekolah rendah, maknanya anak-anak sudah mula memasuki alam pembelajaran secara formal dimana guru akan mengajar mengikut silibus pelajaran dan undang-undang tertentu perlu dipatuhi.

Pelbagai ragam anak-anak dan ibubapa boleh dilihat. Anak saya disekolahkan di sebuah sekolah rendah agama dibandaraya Kuching. Agak jauh juga dari rumah. Tapi, bila memikirkan hanya masa inilah sahaja kita dapat mendisiplinkan anak-anak, maka pengorbanan perlu diberikan.

Kadang-kadang apabila memikirkan sikap atau apa yang ibubapa buat, jika dibandingkan dengan apa yang diajar didalam sekolah, agak berbeza sekali malah kadang-kadang bertentangan.

Sekolah mengajar pelajar supaya menutup aurat dan memakai tudung, tapi ada ibu yang dating tidak memakai tudung malah memakai baju yang ketat menampakkan susuk badan.

Sekolah mengajar pelajar supaya mematuhi peraturan, tapi ada juga si bapa yang semasa menghantar anaknya melanggar lampu merah dan melanggar peraturan lalulintas.

Sekolah mengajar anak-anak supaya  bersabar dan beratur menunggu giliran semasa makan di kantin atau di dewan, tapi ada juga si bapa yang memotong barisan kenderaan untuk memasuki pintu sekolah tanpa segan silu lagi

Sekolah mengajar anak-anak supaya bersopan santun dan tidak meninggikan suara, tapi ada juga pemandu/si bapa yang menjerit kepada pemandu lain dan membunyikan hon kereta menandakan kemarahan semasa kesesakan dihadapan sekolah.


Mungkin apa yang diajar di sekolah dengan apa yang diajar di rumah sungguh berbeza dan bertentangan. Mangsanya ialah anak-anak itu sendiri. Mereka akan terkeliru dan tidak tahu apa yang  patut diikuti. Biasanya, mereka akan mengikut pendidikan di rumah kerana mereka lebih lama berada di rumah daripada di sekolah.

Bagaimana seorang anak akan memakai tudung/menjaga auratnya jika si Ibu tidak memakai tudung dan menutup aurat.Maka jadilah mereka pelajar yang bila keluar dari sekolah je, terus membuka tudungnya tanpa segan silu.

Ibubapa adalah contoh bagi anak-anak. Mereka mengenal ibubapa dahulu sebelum mengenal guru.

Apabila anak-anak memasuki pendidikan sekolah rendah, mereka juga memasuki 7 tahun seterusnya didalam pendidikan Islam iaitu fasa dimana disiplin perlu diperkenalkan. Pada masa inilah solat perlu diajar, puasa perlu diajar dsbnya. Semua ini adalah bentuk-bentuk disiplin yang akan membantu pembentukan peribadi mereka.

TAPI, BERAPA RAMAI IBUBAPA YANG MENYEDARI PERKARA INI?

Ibubapa sanggup menghabiskan duit menghantar anak ke tuisyen, memarahi anak-anak yang lemah pelajarannya, memujuk anaknya supaya belajar dengan pelbagai cara.

Tapi, berapa ramai ibubapa yang sanggup memukul anaknya jika dia belum sembahyang semasa berumur 10 tahun? Mengajar anaknya sembahyang semenjak mereka berumur 7 tahun?Memastikan mereka sudah mampu membaca Al-Quran sejak kecil dan semua ajaran-ajaran Islam yang lain.

Tapi, ramai ibubapa yang sanggup memukul anak jika mereka mendapat kedudukan tercorot, mengherdik anak jika mereka malas dan sebagainya. Semua itu adalah uikuran duniawi tapi ukuran akhirat diabaikan.

INILAH UKURAN KECEMERLANGAN ANAK-ANAK SEKARANG

Kecemerlangan dikira jika pelajarannya bagus, mendapat nombor teratas saban tahun. Siapa lagi yang meletakkannya selain daripada ibubapa itu sendiri. Anak dipuji jika pandai, anak dijanjikan hadiah, jika mendapat tempat pertama.

Tapi, berapa orang yang menjanjikan hadiah jika anak khatan Al-Quran, memuji anak jika anak sudah sembahyang 5 waktu, memberi hadiah jika cukup puasa sebulan Ramadhan.

Tepuk dada, tanyalah Iman

“ Ya Rahman, aku sedar anak-anak adalah saham untukku jika menghadapMu nanti, doa-doa mereka akan menjadi penyejuk jasadku di alam kubur. Maka jadikanlah mereka Qurratu Ain (penyejuk mataku) didunia ini. Amin”