Orang kata, "We will see the worse/good in people during their sickness". Sebagai seorang doktor, banyak pengajaran boleh diperolehi semasa merawat pesakit. Semoga, pengalaman yang dikongsikan, mengubah persepsi kita dan peribadi kita menjadi Hamba yang bertakwa.

Anda dibenarkan untuk mengkopi entri di blog ini, tetapi rujukan hendaklah dibuat kepada penulis dan URL blog diletakkan supaya pembaca mendapat manfaat daripada entri blog yg akan datang. Sebelum itu, niatkan apa yg dilakukan hanya kerana Allah, Tuhan semesta Alam.

Sudi-sudilah jadi followers, untuk mengutip ilmu dari entri akan datang:

Thursday, March 4, 2010

Cinta Kurniaan Ilahi Untukku......2

Bertemu Cinta Kurniaan Ilahi.

Hampir sebulan berlalu, aku sudah makin gelisah. Bila ditanya Naqibku,dia hanya kata sabar. Akan ada orang yang akan menghubungi.
Suatu hari, selepas selesai bermain bola di padang, Ustaz Zaid duduk sebelahku, sambil meminta aku datang kerumahnya malam itu. Katanya berkenaan calon isteriku. Hatiku semakin berdebar-debar. Debaran sebulan yang lepas kembali semula hari tu.

Kedatanganku ke rumahnya malam itu disambut ramah. Perbincangan kami bermula dengan sedikit tazkirah darinya tentang bait muslim. Bermula dengan calon isteri, pendidikan anak-anak, pembentukan masyarakat dan menghidupkan dakwah dalam rumahtangga.
Selepas itu, diapun mula menerangkan proses mencari calon yang sesuai. Bermula dengan berbincang dengan Naqib, konsultasi dengan ketua muslimah untuk mencari siapa yang sesuai, tahajud malamnya untuk memastikan calon yang dicadangkan diredhai Allah. Memang prosesnya teliti untuk memastikan calon yang dicadangkan sesuai.

Pada masa yang sama, diterangkan juga proses taaruf, melihat calon isteri, proses menyatakan pada calon isteri dan memberitahu keluarga. Semuanya memang proses yang panjang. Disamping itu, diterangkan juga persediaan hati jika lamaran ditolak. Mengeluh panjang juga rasanya. Selain itu, diberikan beberapa contoh sebelum ini, sebagai pengajaran tanpa memberitahu nama pihak yang terlibat.

“Anta dah sedia ke?”
“Sedia apa?” tanyaku kebingungan. Cetek betul pengalamanku.
“ Melihat gambar muka calon isteri Anta?”. Dup! Dap! Dup Dap!.jantungku berdegup. Kutelan air liurku sambil menganggukkan kepala. Diapun beredar ke bilik sebentar dan berbunyi sedikit perbualan antara dia dan isteri.

Dia kembali dengan sekeping foto saiz passport lalu menunjukkannya kepadaku. Aku melihatnya seminit dua dan kemudian memberikannya balik kepadanya.
“Takpe, gambar tu Anta boleh simpan. Kembalikan gambar tu, bila Anta dah tiada ikatan dengan dia lagi” berbunga rasanya hati, terus gambar tu kumasukkan ke dalam dompet. Gambar perempuan pertama yang dimasukkan ke dalam dompetku selain daripada gambar ibuku.

Selepas diterangkan serba sedikit maklumat tentangnya, barulah aku merasa tenang, Tapi, Ustaz Zaid tidak mahu aku memberikan keputusan lagi, kerana dia mahu aku melihat sendiri calonnya. Aku dijemput pergi ke Iskandariah 2 minggu lagi untuk membantu seorang Akh yang akan berpindah dan pada masa yang sama melihat calon isteriku.

“Anta kena melihatnya nanti dengan mata hati, bukannya mata nafsu. Ketika Anta melihatnya, hati Anta akan tenang dan seronok. Masa itu Anta takkan nampak dah Akhawat/wanita disekelilingnya kecuali dia. Itulah dia cinta kurniaan Ilahi untuk Anta” katanya memberikan nasihat akhir sebelum aku beredar dari rumahnya.     

Melihat bidadari dunia untukku..

Hari yang ditunggu-tunggupun tiba. Aku berangkat ke Iskandariah yang kira-kira 3 jam perjalanan keretapi dari Iskandariah bersama seorang sahabat yang lain. Kami ditugaskan untuk membantu Ustaz Ismail berpindah dari Iskandariah ke Kaherah dengan menaiki dua buah van. Malam itu, kami bermalam dirumahnya dan dijangka mengangkat barang keesokan paginya.

Malam itu, ustaz Ismail telah berpesan, calon isteriku akan duduk sebelah isterinya sepanjang perjalanan, kerana ditakuti aku akan salah orang, maklumlah belum pernah melihat wajahnya.

Pagi tu, memang memenatkan. Barang Ustaz Ismail memang banyak. Semasa mengangkat barang ke dalam Van, ternampak sekumpulah akhawat pergi ke rumahnya. Rasanya aku ternampak kelibatnya, tapi entahlah, mungkin aku tersilap orang.

Selepas selesai mengangkat barang, akupun duduk dikerusi hadapan bersama pemandu dan Ustaz Ismail duduk disebelahku. Isterinya duduk dibelakang bersama calon isteriku. Ustaz Ismail ada berbisik padaku, dah nampak ke? Aku hanya menggelengkan kepala.

“Ana duduk dihadapan dan dia dibelakang, bagaiman mungkin Ana nampak?” bisikku pula.
Dia hanya tersenyum sambil berkata,
“Kita akan berhenti makan sebentar dalam perjalanan, cuba-cubalah tengok”, Aku hanya mengangguk sambil tersenyum malu.

Sejam kemudian kami berhenti di tepi jalan untuk menjamu selera sedikit. Kulihat Ustaz Ismail bercakap-cakap dengan isterinya dan kemudian duduk bersama bersebelahan mejaku bersama sahabatku. Tak lama selepas itu, isterinya memanggil Akhawat seorang untuk duduk bersama. Mereka berbual dimeja bersebelahanku. Aku hanya menundukkan kepalaku.

Apabila aku mengangkat kepalaku, aku lihat Ustaz Ismail tersenyum kepadaku sambil menunjuk kepada Ukthi yang duduk semeja dengannya. Aku memandang kepadanya, namun dia memalingkan kepalanya ke arah lain.

Selepas beberapa ketika, Ustaz Ismailpun duduk disebelahku. Sambil berbisik dia bertanya sudah melihat ke belum. Aku mengaku belum lagi, sebab dia selalu berpaling ke arah lain.

“Da, tolong hulurkan ta’miyah(sejenis makanan Arab) tu” kata Ustaz Ismail.
Akhirnya ukhti tu memalingkan kepalanya ke arahku Ketika itulah, mata kami bertemu. Ketika itu, aku hanya terdiam. Dunia terasakan sepi seketika. Pandanganku hanya nampak dia, dan bukannya akhawat yang lain. Hati terasa tenang dan bukannya gelisah. Jantung terasakan terhenti seketika dan bukannya berdegup kencang. Pandangan yang seketika, terasakan sudah lama kenal.

Dia tersenyum, sambil memberikan ta’miyah  tersebut kepadaku sebab aku yang paling hampir dengannya. Aku mengambilnya dan masing-masing terus memalingkan pandangan. Kupejamkan mata, kuselami hati ini. Aku beristighfar berterusan didalam hati. Kuperiksa adakah ia bisikan hati daripada Allah atau bisikan syaitan.  Istighfar terusku panjatkan sambil meminta Allah melindungi hati ini daripada hasutan syaitan.

“ Kalau hati Anta terhenti seketika tadi, itulah tandanya dia jodoh Anta” kata Ustaz Ismail berbisik. Aku hanya tersenyum dan mengiyakan katanya. Hatiku terus berbunga. Jiwaku tenang.
“Dialah bidadari duniaku, Dialah cinta kurniaan Allah untukku” bisikku didalam hati menguatkan azamku.

Sepanjang perjalanan seterusnya, aku asyik cuba melihat-lihat wajah bidadariku melalui cermin. Perjalanan yang berbaki lagi 2 jam, terasakan terlalu cepat berlalu dan akhirnya kami sampai ke Kaherah. Ketika mengangkat barang-barang, aku cuba mencuri pandang kepada bidadariku, namun dia dengan cepat menghilangkan diri bersama rakan-rakannya ke dalam apartment.

Ketika habis semua barang diangkat ke dalam rumah, kakiku terasa lemah untuk berangkat pergi. Bilakah lagi aku akan bertemu dengan bidadariku. Ustaz Ismail hanya tersenyum semasa membenarkan aku dan sahabatku pergi, sambil berpesan, lakukan solat Istikharah. Kalau hati masih tenang, itulah jodohku.

Malam itu, aku melakukan solat Istikharah sepanjang malam. Fotonya ku tatapi berkali-kali, malah beratus-ratus kali. Quran kubaca memohon petunjuk Ilahi. Akhirnya, kutetapkan azam untuk melamarnya, kerana ku yakin, dialah cinta kurniaan Allah buatku. Aku tidur dengan tenang malam tu dan keesokannya menyatakan hasratku untuk melamarnya kepada Ustaz Zaid sebagai wakilku.

Kini, dia sudah menjadi isteriku. Apatah lagi kini ia diserikan lagi dengan kehadiran 3 orang penyeri bait muslim kami. Walaupun sudah 9 tahun kami berkahwin, namun dia tetap bidadariku. Cinta kurniaan Allah dahulu, semakin berkembang mekar dan kukuh, tak luak dimamah usia, tak lekang dihempas dugaan dunia. Semoga ia berkekalan selamanya.        

"Ya Allah, hati-hati kami adalah milikMu, Cinta-cinta kami adalah milikMu. Kami bersama kerana kehendakMu, maka kekalkanlah nikmat cinta yang Engkau kurniakan kami. Amin"



No comments: