Orang kata, "We will see the worse/good in people during their sickness". Sebagai seorang doktor, banyak pengajaran boleh diperolehi semasa merawat pesakit. Semoga, pengalaman yang dikongsikan, mengubah persepsi kita dan peribadi kita menjadi Hamba yang bertakwa.

Anda dibenarkan untuk mengkopi entri di blog ini, tetapi rujukan hendaklah dibuat kepada penulis dan URL blog diletakkan supaya pembaca mendapat manfaat daripada entri blog yg akan datang. Sebelum itu, niatkan apa yg dilakukan hanya kerana Allah, Tuhan semesta Alam.

Sudi-sudilah jadi followers, untuk mengutip ilmu dari entri akan datang:

Friday, November 20, 2009

Dua Kemalangan, Natijah Berbeza....

Senario 1



Satu hari, ketika aku bertugas di A&E, seorang pemuda dibawa dengan tergesa-gesa oleh rakan-rakannya. Ada lebih kurang 5-7 orang rakan-rakanya. Rupa-rupanya dia terlibat didalam satu kemalangan. Keadaannya parah juga, mungkin kakinya patah mengikut bentuk kakinya yang tak lurus.

Kami yang bertugas di A&E terus meletakkan pesakit diatas stretcher dan membawanya ke bilik rawatan.Disana, pesakit itu disambung dengan air (IV line), lukanya di bersihkan dan rawatan-rawatan yang lain. Disebabkan pesakit tidak sedarkan diri, saya terpaksa bercakap dengan rakan-rakannya untuk mengetahui lebih lanjut keadaannya dan cara menghubungi keluarganya.

Selepas pesakit sudah stabil, saya bertanya pada MA yang bertugas.
“ Mana kawan-kawan dia?, Saya nak tahu camna ia berlaku”,kata saya.
“ Dah lari Doktor!”, terkejut saya
“ Dah lari?, kata saya memastikannya lagi sambil mengerutkan dahi.
“ Mungkin mat rempit doctor, mereka tak nak terlibat dan takut ada masalah dengan polis nanti, sebab tu terus lari “, kata MA berkenaan.
“ Mungkin juga kemalangan semasa ’racing’”tambahnya lagi.

“Mungkin juga”, kata saya dalam hati mengingatkan mereka membawa topi keledar masuk ke A&E. sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Senario 2

Satu hari, aku dikejutkan dengan riuh rendah di bahagian menunggu klinik. Rupa-rupanya ada kemalangan telah berlaku. Seorang budah berumur 3 tahun tercampak ke hadapan kerana kereta diberhentikan mengejut.

Riuh rendahlah mereka membawa budak tu yang merengek-rengek menangis kerana kesakitan. Selepas, budak tu diletakkan di atas katil, sambil menangis, saya meminta mereka bertenang sementara saya membuat pemeriksaan.

Rupa-rupanya kemalangan ini disebabkan motorsikal yang dipandu laju tiba-tiba membuat belokan mengejut tanpa isyarat, menyebabkan kereta yang dinaiki budak tu terpaksa membuat brek mengejut. Ini menyebabkan budak tu tersembam ke hadapan dan luka dibahagian dahinya.

“ Jagalah budak tu, kalau dapat aku cincang-cincang badan dia”, kata salah seorang yang hadir. “ Nanti aku ambik parang dalam kereta”, katanya lagi. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Aku lihat dia dah tak sedap duduk, sambil berjalan mundar-mandir didalam bilik rawatan.

“ Orang tengah marah, tentulah kata yang macam-macam. Mungkin tak lama lagi sejuklah tu”, kata aku memujuk hati, nanti ada kes berbunuh pula dalam klinik nie. Satu lagi masalah.

Semasa sedang membuat pemeriksaan, ku cuba menenangkan si kecil, ku pujuk dia, ajak bercakap “ sakit tak? Dia menggelengkan kepalanya Aku tersenyum si kecil telah mula tenang.

Tiba-tiba seorang kakak masuk ke bilik rawatan sambil menangis dan terus memeluk si kecil. Si kecil nampak terpinga-pinga. Menangislah kakak tu sampai dah tak tertahan-tahan lagi.

Rupa-rupanya kakak tu adalah mak kepada si kecil. Dia dibawa berjalan oleh bapa saudara dan isterinya. Aku hanya tersenyum dan terus keluar dari bilik rawatan sambil memberikan peluang si Ibu terus menangis. Mungkin lepas dia bertenang barulah konsultasi dapat diteruskan.

Kasih Ibu dan Kasih Rakan

Begitulah kaih ibu, kasih yang tiada syarat. Ibu menangis dan Ibu ketawa kerana anaknya. Tiada orang yang dapat membuatkan si Ibu menangis dan pada masa yang sama menyebabkannya ketawa.

Ini kerana kasih Ibu, dikurniakan oleh Allah. Siapa yang mencampakkan kasih itu, kalau bukannya Allah. Kasih Ibu adalah kasih yang suci, yang tidak datang daripada syaitan dan keturunannya, tak dicemari oleh nafsu dan kepentingan.

Tapi, kasih kawan adalah kasih yang bersyarat. ‘Apabila ada duit, Abang kusayang, Apabila Abang pokai, abang ku tinggal.’ Kasih rakan adalah kasih yang berkepentingan. Jika rakan itu dapat memberikan sesuatu, maka ramailah yang mengelilingi. Apabila kawan ditimpa musibah, kawanlah orang yang pertama melarikan diri atau buat-buat tak tahu.

Kasih kawan (malah mungkin cinta kekasih) datangnya daripada syaitan dan keturunannya, dicemari dengan kepentingan dan nafsu. Bukannya untuk berkekalan, tapi hanya sementara.

Bukan sedikit mereka yang putus kawan kerana bertegang urat, tapi seorang Ibu yang ‘bertegang urat’ dengan anaknya, tetap menerima anaknya walaupun anaknya seorang penagih dadah atau sampah masyarakat. Ibu marah kerana kasih dan sayang, rakan marah kerana hasutan syaitan.

Tidak dinafikan, ada juga rakan yang setia. ‘ Sama-sama susah, sama-sama senang’. Kata orang.Tapi, berapa kerat je yang ada. Nak cari satu dalam sejutapun susah. Dan adakah kita pasti rakan kita sekarang nie, adalah ‘rakan sejati’?

Tapi! Aku pelik?

Pelik dengan remaja sekarang. Rakan dijunjung, Ibu ditendang.
Tidakkah mereka tahu kasih Ibu kasih yang berpanjangan? Si Ibu sanggup berlapar kerana anaknya, adakah rakan sanggup berlapar kerana kamu? Ibu sanggup mengelap najis anaknya, adakah rakan sanggup membersihkan pinggan selepas kamu makan?

Hairan! Hairan!

Apabila kehabisan wang, Ibu juga tempat meminta. Dimana rakan-rakanmu ketika engkau kesusahan? Adakah rakan untuk bersenang-lenang, dan Ibu apabila engkau menghadapi kesusahan?

Adakah seorang Ibu itu seumpama seorang Hamba? Yang perlu memenuhi permintaan anaknya sepanjang masa tanpa banyak soal? Adakah kasih sayangnya tiada nilai, yang bernilai cuma apa yang mampu diberikannya?

Ibu itu Hamba.

Melihat kepada keadaan sekarang, rasanya, ibu sudahpun menjadi Hamba. Samada Ibu yang kaya ataupun yang miskin.Yang kaya, mampu memberika kereta, handphone dan sebagainya kepada anak-anak. Ibu yang miskin, hanya memberikan sekadar kemampuan dirinya.

Ketika kecil, anak minta keropok dan aiskrim kita memberikan mereka segalanya “kesian anak, nanti kempunan” kata kita memujuk hati.
Ketika sekolah rendah, anak minta mainan PS2, PS3 dan PS4? Kita berikan, kononnya takut anak tak up to date, nanti susah nak bergaul dengan rakan-rakannya.
Ketika sekolah menengah, anak mahukan handphone dan motorsikal, kita berikan, kononnya takut anak diculik orang, kalau ada handphone kan mudah nak hubungi…

Adakah anda…. Ibubapa yang menjadi hamba kepada anaknya?

Mungkin dunia sudah nak kiamat. Anak menjadi Tuan dan Ibu menjadi Hamba.


“Ya Allah Yang Maha Kekal, amaran RasulMu semakin menjadi kenyataan. Dunia semakin mendekati hujung hayatnya. Tanda-tanda datangnya kiamat telah terbentang didepan mata. Maka, bukakanlah mata-mata hati kami, untuk melihat kenyataan ini Ya Allah, kerana sesungguhnya Hari Kiamat itu pasti berlaku dan semakin mendekati kami” Ameen.

1 comment:

alisaip said...

kasih ibu tiada sempadan....