Orang kata, "We will see the worse/good in people during their sickness". Sebagai seorang doktor, banyak pengajaran boleh diperolehi semasa merawat pesakit. Semoga, pengalaman yang dikongsikan, mengubah persepsi kita dan peribadi kita menjadi Hamba yang bertakwa.

Anda dibenarkan untuk mengkopi entri di blog ini, tetapi rujukan hendaklah dibuat kepada penulis dan URL blog diletakkan supaya pembaca mendapat manfaat daripada entri blog yg akan datang. Sebelum itu, niatkan apa yg dilakukan hanya kerana Allah, Tuhan semesta Alam.

Sudi-sudilah jadi followers, untuk mengutip ilmu dari entri akan datang:

Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Thursday, June 6, 2013

Ana ada impian.



Ana ada impian,
Yang satu hari nanti, dakwah ISMA akan terus membumi
Memugar dan menebar ke seluruh bumi kenyalang ini
Cawangan dibuka di Mukah, Bintulu, Sibu dan Miri,
Tarbiyah dan dakwah terkesan ke dalam masyarakat ini.
Ana ada impian,
Dimana sahaja disana ada penduduk pribumi,
Dayak, Iban, Bidayuh ataupun Cina
ISMA sampai untuk menyentuhi hati-hati,
Agar cahaya Islam, menyinari hati mereka.
Ana ada impian,
Apabila ada sahaja borang passing diterima,
Ana boleh jawab ikhwah ada disana, sambil tersenyum ria
Tidak seperti sekarang ini, ikhwah tidak semua pekan ada
Hanya doa mengiringi semoga yang dipasssing imannnya terjaga,
Perkhemahan ISMA Sarawak

Ana ada impian,
ISMA Sarawak menjadi organisasi yang menyebarkan kebaikanNya,
Menunjukkan semua tentang kebaikan Islam sebagai agama,
Berduyun-duyun non-muslim ingin mensucikan fitrahnya,
Dakwah ini sungguh, adalah rahmatan untuk alam semesta

Ana ada impian,
Yang Ana pasti usahakan untuk jadikan ia sesuatu yang nyata,
Kerananya, relaku korbankan harta, peluh dan segala dijiwa,,
Namun, ia memerlukan kerjasama kita seia sekata,
Dalam memacu dakwah dan tarbiyah dibumi tercinta

Ijtimak Ahli-ahli ISMA Sarawak 2013


Terdetik dihati kecil ini,
impian mungkin hanya khayalan semata-mata,
Yang akan layu dan longlai bersama penatnya jiwa,
Kerana jiwa ini hanya satu jiwa yang ada kekurangannya
Yang tak mampu untuk membawa bebanan yang ada.
Ayuh!! Ikhwah wa akhawat,
Pecahkan rantai kelesuan dan keluh kesah dihatimu,
Sudah lama kita hanya asyik membisu,
Memerhati dan melihat umat terus hanyut dan kaku,
Bersama ISMA dan dakwah ini kita terus memacu.


Kukuhkan langkah dan betulkan niatmu,
Jangan bertangguh dan jangan terus ragu,
Pedulikan tohmahan, halangan dan rintangan dihadapanmu,
Kerana hanya redha Allah yang kita mahu.
Dr Mohd Khairol
22 mei 2013 – 8.50am
DASAR 9 - 2013


Thursday, March 10, 2011

Da'ie dan Kikir.....


Pernah satu ketika semasa kursus , saya duduk sebilik dengan seorang doktor yg bukan sahaja doktor, tapi juga seorang ahli perniagaan.  Perniagaannya cukup maju sampai ke peringkat dia mampu berhenti menjadi doktor kalau dia mahu. Dia mempunyai sebuah syarikat, 2 rumah kedai, kereta entah berapa dan lain-lain lagi.
Kami berbual-bual sampai ke satu peringkat saya bertanya apakah rahsia kejayaannya berniaga dan konsep rezeki itu.
Dengan tersenyum dia menjawab “ Rahsinya ialah saya suka bersedekah”, terpinga-pinga juga dibuatnya. Rahsianya simple sahaja “ sedekah”.
 “Kamu yakin tak dengan konsep, bila kita memberi satu, Allah akan balas sepuluh?” Saya mengangguk-anggukkan kepala
“Kamu tak yakin lagi katanya” sambil menggeleng-gelengkan kepalanya “ sebab kamu belum kaya lagi”, katanya sedikit menyindir. Terasa juga hati ini.
“ Begini, kalau kamu bagi seringgit, Allah akan balas sepuluh ringgit, betul? “  saya mengganggukkan kepala”
“Tapi camna Allah nak balas  kalau kamu kerja makan gaji yang statik pendapatannya?”( betul juga), kata saya dalam hati.
“Jadi, cara terbaik, awak berniaga,dan balasan rezeki 10 kali ganda itu, Allah dapat  bagi melalui perniagaan. Kuncinya –
1.Yakin dengan janji  Allah (RM1 dibalas RM10), 
2.Banyakkan bersedekah/Infaq,
 3.Buka perniagaan sambilan/sepenuh masa.
Sebab tu ramai  ahli perniagaan banyak menderma, sebab mereka meyakini konsep ini” melopong juga saya dibuatnya. Tak pernah terfikirpun di kepala saya.
Mungkin apa yg diceritakan diatas menjadi satu perkara yang baru bagi kita, ataupun mungkin kita tahu, tapi masih belum yakin dengan janji Allah ini.



SIFAT KIKIR

Sifat Kikir/Kedekut dan seumpamanya adalah satu sifat atau tabiat yang ada pada manusia.
“……Dan manusia itu menurut tabiatnya kikir….” –An-Nisa’ : 128

Kekikiran adalah satu sifat jiwa yang tidak dapat dinafikan oleh setiap org. Ia selalu hadir dan berusaha untuk menghalangi infaq dan pengorbanan. Pengorbanan dimaksudkan, bukan semata-mata harta, tapi juga tenaga, jiwa, masa, buah fikiran dan lain-lain hak kita. Oleh sebab itu kita melihat, ayat-ayat infaq didahului atau disusuli nila-nilai yang mendukungnya.

“Dan sesiapa yang dihindarkan dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung” – Al-Hasyr : 9

ITSAR

Sifat dermawan yang paling tinggi ialah Itsar yakni mengutamakan orang lain sekalipun dia memerlukannya.  Setelah Itsar, tak ada tingkatan dermawan lain diatasnya.

“Dari Abu Hasssan Al-Anthaki, ada 30 org lebih berhimpun bersamanya disebuah kg bernama Ar-Ray – dan mereka memiliki beberapa potong roti yang tidak cukup untuk mengenyangkan mereka semua. Maka mereka membahagi roti itu kepada dua dan menutup lampu. Apabila lampu dibuka, ternyata roti masih dalam keadaan yg sama dan tidak ada seorangpun yang memakannya kerana mengutamakan rakannya yang lain”

Begitu mulianya sifat mereka. Cuba renungi sifat kita ketika dihidangkan makanan yang sedap dihadapan kita bersama akh yg lain? Adakah adanya Itsar, atau berebut-rebut mahukan bahagian yang paling banyak dan enak?



Mengubati penyakit kikir.

Sebab kikir ialah kerana dua perkara
1 .Cintakan syahwat
2. Mencintai harta.
Maka cara terbaik untuk mengubati sifat kikir ialah dengan mengubati kedua-dua perkara ini antaranya mengingati mati, Qanaah (rela dengan yg ada) dan lain-lain.

Selain dari itu, perlu juga selalu merenung akhiran mereka yang kikir, memikirkan tujuan harta diciptkan hanya sementara dan untuk kehidupan dunia sahaja.

Praktikal kepada mengubatinya ialah
a-      Ilmu – mengetahui keburukan sifat kikir, harta itu sementara dan lain-lain
b-      Amal – melatih diri untuk menginfaq harta dan segalanya.

Ya!, sifat dermawan perlu dilatih. Bukannya boleh datang begitu.

Seseorang yg tak pernah memberi dengan ikhlas RM10 takkan dapat member RM100 dengan senang
Seseorang yang tak pernah memberi RM100 dengan ikhlas, takkan dapat memberi RM1000 dengan mudah
Seseorang yg tak pernah memberi RM1000 dengan ikhlas, takkan dapat member RM10000 dengan senang.

Daie dan Kikir.

Ramai yang menganggap dirinya seorang Daie di jalan Allah. Kerana kedudukan seorang penerus dakwah nie cukup tinggi disisi Allah SWT. Namun perlu diingati, title ini mengkehendaki pengorbanan yang selalunya dihalang oleh sifat kikir.

Pengorbanan yang diminta bukan sahaja buah fikiran, harta, tenaga, masa, sahaja, malah semua yang dimiliki oleh seorang Daie.  Hatta perasaannya juga.

Namun, ramai Daie yang boleh menginfaq tenaga, masa, fikiran, namun tak ramai yang mampu menginfaq hartanya di Jalan Allah SWT. Ini kerana, harta ialah benda yang dimiliki yang akan nampak makin berkurang apabila diinfaqkan, tidak seperti tenaga yang tiada ukuran yang jelas dan boleh kembali segar bila berehat. 

Maka, disebabkan oleh sifat kikir inilah, berlakunya fenomena
-         -  Seorang Daie mampu memberikan tenaga, masa dan fikirannya untuk program, tetapi apabila diminta mengeluarkan hartanya, ia menjadi sesuatu yg amat berat baginya.
-          - Seorang Daie mampu mengutip ilmu dan memberikan pengisian dengan baik, namun apabila diminta menyumbangkan tenaganya diatas kerja –kerja yang dianggapnya remeh seperti menyapu, membasuh pinggan,mengangkat barang, dia menjadi org yg kikir untuk menyumbangkan tenaganya.
-          - Seorang Daie mampu memberikan segalanya, namun bila bertentangan dengan kepentingan jiwanya, maka  dia menolak walaupun bukan dengan lisan, mungkin dengan perasaannya.
- Seorang Daie berkorban jika diarahkan, tapi hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh, walaupun dia mengetahui kerja dihadapannya perlu diselesaikan.

Maka, jadilah dia Dai’e yang bersyarat.
Masa boleh kukorbankan, asalkan kerjaku selesai,
Wang boleh kukorbankan, asalkan keperluanku langsai,
Tenaga boleh kukorbankan, asalkan disana ada imbalan,

Tersentaknya jiwa seorang Dai’e

 “Yahya bin Muadz berkata” Hati selalu mencintai orang-orang yang dermawan sekalipun mereka orang-orang yang fasik, dan selalu membenci orang-orang yang bakhil, sekalipun mereka orang-orang yang baik”

Kata-kata Yahya bin Muadz nie, sebenarnya satu tamparan yg hebat buat para Daie. Kerana masyarakat sebenarnya melihat kedermawanan/sifat suka membantu itu dahulu, sebelum melihat risalah yang dibawanya. Mereka yang banyak memberi kepada masyarakat, dialah yang akan disokong oleh masyarakat.

Jadi, kalau diantara seorang dermawan dengan seorg dai’e yang kikir, mana satu yang akan menarik hati masyarakat?



Alasan Dai’e untuk tidak menginfaq.

Sifat kikir adalah sifat semulajadi manusia, maka disitulah Syaitan akan cuba untuk mencucuk jarumnya dihati seorang Daie. Pelbagai alasan diminta/direka  untuk menjustifikasikan/ memandang betul  sikap tidak memberikan infaq. Bisikan-bisikan hati inilah yang perlu kita jaga.

“Aku dah berikan tenaga dan masaku semasa program ini, takkan nak bayar duit pendaftaran lagi?”
“ Aku tak ada duit, cukup-cukup untuk makan sahaja, takkan inipun nak diminta?”
“Tak apalah, ikhwah lain yang berduit dah bagi, cukuplah tu”.
“Kalau aku bagi RM10 nie, program tetap berjalan, kalau aku tak bagipun, program tetap berjalan, baik aku simpan”
“ Banyak dah pengorbanan yg aku berikan untuk dakwah nie, biarlah hartaku yang sedikit ini untukku pula.” 
“Aku dah bayar minyak kereta ke program, kira macam aku bayar dah lah isytirakat bulan nie”

Ketahuilah, wahai ikhwah dan akhawat sekalian,



Semua yang kita miliki daripada harta, tenaga, jasad hatta jiwa sekalipun adalah milik Allah, adakah kita boleh menyimpan benda yang bukan milik kita bila si empunya sebenarnya(Allah)  memintanya?

Atau adakah boleh kita melengah-lengah atau liat untuk memberi balik barang yang dipinjamkan kepada kita sehingga bendahari perlu mengemis untuk meminta isytirakat?

Ketahuilah dan yakinilah,

Infaq dan Isytirakat atau apa sahaja namanya, bukannya milik Persatuan/Jemaah, ia adalah milik Allah dan dipergunakan untuk jalan Dakwah Allah.

Infaq dan Isytirakat ini bukannya diminta oleh bendahari atau sesiapa sahaja yang bertangggungjawab, ia adalah diminta oleh Allah, pemilik sebenar segala yang kita miliki.


Infaq dan isyitrakat bukan sahaja untuk dakwah, tapi juga untuk mengubati penyakit kikir yang sebenarnya sentiasa ada didalam hati-hati ini. 

Infaq dan Isytirakat adalah jual beli kita dengan Allah, yang merupakan sebaik-baik jual beli yang dijanjikan syurga untuk kita, maka sanggupkah kita hanya memeluk tubuh dan menyepi?.

Tepuk dada, tanyalah Iman,
Janganlah menjadi Da’ie yang bersyarat

Ruj 
- al-Quran,
-  Tazkiyatun Nafs






Monday, August 23, 2010

Kesian Puasa, Difitnah sebegitu rupa.....

Konsultasi 1.

Beberapa hari lepas, seorang ibu membawa anaknya yang berumur lebih kurang 8 tahun berjumpa dengan saya. Ketika itu bulan Ramadhan. Ini kerana anaknya tengah demam dan batuk.
“Kenapa dia?” kataku sambil tersenyum
“Demam doktor, batuk dan selsema”. Kata ibunya.
“ Kelmarin kami suruh dia pecah puasa, tapi dia tak nak, sebab nak sambung berpuasa” sambungnya pula.
“Sebab puasalah doktor dia jadi teruk camni, semalam dia batuk je, hari nie dah demam pula”. Tercengang  saya dibuatnya.
Tanpa usul periksa puasa yang disalahkan kerana keadaan kesihatan anaknya semakin teruk.

Konsultasi 2
“Saya kena gastrik doktor” kata seorang pesakit yg dalam lingkungan 20 an. “Makin berpuasa makin sakit rasanya” , sambungnya lagi.
“Puasa lagi tak?’ Tanya saya.
“Pecah puasa dah doktor pagi tadi” katanya sambil tersengih
“O…awak ada merokok?, Makan tetap tak sebelum nie masa bukan bulan Ramadhan” kata saya sambil bertanya tentang risiko gastric.
“Aha …saya merokok, saya kerja tak tentu, sebab tu masa makan biasanya tak tentu ketika bukan bulan Ramadhan sebab saya kerja shif dan kadangkala kena shif malam”. Tersenyum saya dalam hati.
“Awak nie ada risiko untuk gastric, merokok dan makan tak tentu masa tu adalah antara penyebab utama gastric selain daripada kerja malam yg menyebabkan asid banyak dalam perut”, kata saya menyambung.
“Tak boleh awak menyalahkan puasa kerana sakit awak”, dia hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala.
Sekali lagi puasa disalahkan kerana kononnya tidak bagus untuk kesihatan.

Ramai orang yang mengaitkan, puasa penyebab kepada keadaan kesihatan yang teruk. Semakin berpuasa makin teruk kesihatan kita. Malah, kalau mereka yang sakit sedikit, disuruh berbuka puasa. Mungkin ini yang bermain difikiran setiap org walaupun tanpa disedari. 



Dohm dan rakan-rakan (2008), dalam kajiannya membuktikan bahawa kandungan glukos dalam darah dapat dikekalkan walaupun kita bergerak aktif semasa berpuasa. 

Namun, kajian sains perubatan telah membuktikan sebaliknya. Penemuan demi penemuan menyatakan puasa bagus utk kesihatan dalam proses detoksifikasi racun didalam badan, menguatkan tenaga dsbnya. Malah konvesyen tentang puasa dan kesihatan membuktikan puasa yang terbaik ialah puasa umat Islam dari segi kesihatan. Malah, dibuktikan puasa tidak akan menyebabkan keletihan dan kekurangan system antibodi badan malah sebaliknya menguatkannya.



  Puasa tiada sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia” - 1994 - Kongres Antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan’(Casablanca) -

Namun realiti adalah sebaliknya. Ramai yang masih berpendapat puasa adalah punca kepada segala penyakit yang mereka hadapi di bulan Ramadhan, sedangkan penyakit yang sama juga berlaku semasa bukan di bulan Ramadhan. Kadang-kadang simptom yg tak logikpun dikaitkan denga puasa antaranya batuk, selsema, sakit mata(conjunctivitis), cirit birit  dll. Sedangkan punca penyakait-penyakit ini bukannya disebabkan puasa malah mungkin jangkitan virus/bacteria dan faktor pemakanan yang tak dijaga semasa bulan Ramadhan.  Semuanya tidak ada sedikitpun kaitan dengan ibadah puasa.

Puasa disangka punca segala-galanya,
Demam, batuk selsema dan sakit mata,
Tanpa bukti dan kajian sebenarnya,
Hanya sangkaan dan dakyah belaka.



Sewaktu berpuasa, organ badan membersih dan berehat.Ia juga dapat mempercepatkan proses perkumuhan dan pembentukan semula sel-sel badan - Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) - Adventures in Therapeutic Fasting

Malah, bagusnya puasa untuk kesihatan menyebabkan ada pusat kesihatan di Eropah menggunakan puasa sebagai salah satu cara untuk mengubati pesakit mereka. Malah, digunakan secara saintifik dan pemeriksaan yang berkala. Semuanya telah terbukti dengan kajian sains perubatan.

TAPI KITA MASIH MENYALAHKAN PUASA PUNCA SEGALA PENYAKIT DI BULAN RAMADHAN.

Betapa dangkalnya sangkaan kita. Adakah ia dipandu oleh fikiran atau nafsu semata-mata. Mahu pecah puasa dituduhnya puasa sebagai punca sakitnya. Malah bukan setakat itu, sangkaan-sangkaan ini diturunkan kepada anak dan rakan sekitarnya.

Atau adakah kita menjadi mangsa, menjauhkan kita dari ibadah puasa, semata-mata kerana menjaga kesihatan? Ghazwatul Fikr dan yang seumpama dengannya?. Malah, ada yang menggunakan masalah kesihatan sebab tidak mahu berpuasa, sedangkan mungkin ibadah puasa itulah penyembuh kepada penyakitnya. 



Satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan -  kolesterol (turun 7.9%), TG (30%, HDL(meningkat 14.3%), serum LDL (turun 11.7%) , Berat badan (menurun 2.6%) - Rujukan: Annals of Nutrition and Metabolism, 41: 242-249, 1997) 

KESIAN IBADAH PUASA, DI FITNAH SEDEMIKIAN RUPA.

Anak sakit sedikit, disuruh berbuka,
Perut terkena gastric, puasalah puncanya,
Kesan puasa hanya dilihat, dari aspek kesihatannya,
Sedangkan puasa  melangkau, batasan pandangan mata fikiran kita,


Dan sabda Nabi :
"
Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. "  (Hadits Muttafaq 'Alaih). 


Puasa diwajibkan bukannya untuk semata-mata kesan kesihatan. Puasa di wajibkan untuk kesan ‘tarbiyah’. Itulah tujuan utama diwajibkan berpuasa. Kesan kebaikan pada kesihatan ialah sampingan sahaja. Namun, jika pandangan kita puasa adalah penyebab segala penyakit di bulan Ramadhan, bagaimana kesan tarbiyah yang dikehendaki oleh agama dapat direalisasikan?

Tepuk dada, tanyalah Iman.



Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa.” al-Baqarah : 183 

“Ya Allah, tarbiyah ramadhanmu ini sungguh indah, merangkum segala aspek kehidupan, merangkum segala aspek kebaikan. Maka jadikanlah Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lepas dan panjangkan umur kami untuk mengecapi Ramadhan tahun akan datang”


Thursday, July 8, 2010

Fokus dan Istiqamah. – pesanan buat ikhwahku.

Semasa keletihan balik dari tempat kerja, aku kadang-kadang membeli coklat untuk anak-anak. Melihat telatah mereka makan coklat yang dibeli semasa dalam perjalanan balik dari tempat kerja, itulah menjadi pengubat penat dan letih di tempat kerja.
            Biasanya mesti yang si kecil yang pertama kali menyambutku di muka pintu diikuti oleh kakak dan abangnya. Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, mesti kakiku yang dulu dipeluknya sambil melihat beg plastik yang dibawaku.
“Ammar mauk coklat banyak-banyakkkkkk….” Katanya sambil mendepangkan tangan.(mauk : mahu)
“ Abangpun mauk juak” kata abangnya tak mahu mengalah. Akhirnya berlakulah adegan berebut-rebut bungkusan coklat yang kubeli. Suasana yang aman pada mulanya menjadi riuh dan rendah dengan tangisan.
            Bungkusan coklat yang ditarik oleh keduanya akhirnya terkoyak dan berteraburlah coklat diatas lantai. Aku hanya mendiamkan diri. Kemarahan ditambah dengan keletihan cuba dibendung daripada terus meletup menjadi gunung berapi.
            Akhirnya, ketiga-tiganya mengutip coklat yang jatuh dan sama-sama makan sambil masing-masing duduk terdiam selepas dimarahi.

Fatamorgana angka

Sudah menjadi tabiat manusia sukakakan kepada yang banyak. Semua orang mahukan yang banyak. Banyak duit, banyak handphone, banyak makan, banyak rumah dan banyak segala-galanya. Ada juga yang berebut perkara yang baik seperti banyak ilmu, banyak ijazah, banyak masa dan segala-galanya.

ãNä39ygø9r& ãÃ¨O%s3­G9$# ÇÊÈ  
1. kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat Dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -

Kebanyakan manusia memang mahukan yang banyak. Sebab itulah manusia berlumba-lumba mendapatkan yang banyak. Dengan mendapat yang banyak daripada orang lain, maka disana lahir rasa kepuasan.  Dengan adanya kepuasan, ia mendatangkan rasa seronok dan gembira.

Namun begitu, rasa kepuasan juga melahirkan kesan negatif kepada akal. Kerana kepuasan menjadikan akal lemah dan tidak berhati-hati. Ini menyebabkan manusia melakukan tindakan tanpa berfikir panjang dan usul periksa. Contohnya, seorang yang mempunyai wang yang banyak, pasti membelanjakannya tanpa usul periksa dan tanpa berfikir panjang. Maka jadilah mereka mangsa kespontanan, iaitu melakukan sesuatu secara spontan dan automatik tanpa berfikir panjang. Apabila rakan minta belanja je, terus dibelanjanya kerana ditakuti dituduh kedekut, kalau anak-anak mahukan mainan yang mahal, terus dibelinya dalam usaha untuk ‘membeli’ kasih sayang anak. Akhirnya, mereka bukannya menjadi bebas, tetapi dibelenggu untuk memenuhi  kehendak orang disekelilingnya.

Lawan kepada sifat banyak ini ialah rasa kekurangan. Rasa kekurangan ini disulami oleh merasakan diri tidak cukup. Contohnya, mereka yang tidak cukup wang, pasti berhati-hati membelanjakan wangnya, membuat perancangan yang teliti siap dengan belanjawan harian, membeli hanya barang yang perlu sahaja dan sebagainya.  Mereka akan menjadi orang yang teliti dan berhati-hati dalam setiap langkah kehidupannya.

Saudara seperjuanganku, pendukung dakwah, dimana sahaja kamu berada, 

Sebagaimana orang biasa, terpesona dengan banyak, daie juga tak terkecuali. Ini memberikan peluang kepada syaitan untuk menyelinap ke dalam hati pendakwah yang ikhlas dijalan dakwah

Kita berbangga dengan jumlah mad’u yang banyak,
Kita berbangga dengan jumlah pengikut yang banyak,
Kita berbangga dengan jumlah ahli yang banyak,

Setiap yang baru datang di ajaki,
Setiap yang tak kenal dengan cepat dikenali,
Setiap yang menyendiri, dengan cepat dirapati, 

Terpinar dengan jumlah dan mahukan yang banyak, kekadang kita lupa kepada dua prinsip asas tarbiyah kita, iaitu pemilihan yang teliti dan proses pentarbiyahan yang berterusan sesuai dengan kekuatan tenaga untuk mentarbiyah.

Akhirnya, proses pemilihan menjadi porak peranda,
Proses pentarbiyahan tidak mampu mengisi kekosongan jiwa,
Daie menjadi letih, walaupun bangga dengan jumlah yang melata, 
Halaqah menjadi hambar, seumpama mengetuk tong kosong sahaja,
Jiwa-jiwa yang ingin ditarbiyah, tidak dapat diisi dengan sebaiknya……

Pertarungan sebenar :
“Oleh itu.. pertarungan kita sebenarnya adalah pertarungan tarbiyyah. Ia akan kuat dan mantap bila tarbiyyah dimantapkan dan murabbi menjalankan kerjanya dengan ‘smart’. Ia akan malap bila tarbiyyah lumpuh atau hanya dibuat secara melepas batuk di tangga” – petikan dari Al-Munthalaq, bab akhir.

Berebutkan mad’u, menjadi matlamat utama,
Ikut Ana!, ikut Ana!, mereka itu tak betul belaka,
Kebaikan mereka disembunyikan, kelemahan mereka dicanang merata,
Motto Ukhuwah-Asas dakwah kita, dibuang ke tepi tanpa rasa terseksa,

Maka jadilah kita mangsa ‘kespontanan’.

Kebimbangan :
Syed Qutb pernah berkata kepada ikhwah Sudan ketika umat Islam yang melakukan demonstrasi memenuhi jalan-jalan di bandarnya :
“Janganlah sambutan orang ramai itu menyibukkan kamu dari menyusun barisan dalaman dan menyediakan para pejuang yang mampu menghadapi segala kesukaran dan akan dapat bertahan lama.” - petikan dari Al-Munthalaq, bab akhir.

Kekuatan dilihat dengan jumlah halaqah yang ada,
Kekuatan dilihat dengan betapa ‘famousnya’ kita di media,
Kita berbangga dengan angka, yang hanya fatamorgana,
Kita lupa dengan janji kita, pada Yang Maha Esa,
Betapa palsunya pandangan kita, terhadap kekuatan sebenar,
Betapa seronoknya syaitan dan iblis melihat kita.

Kegagalan dan Kekuatan Dakwah :
Penilaian terhadap kegagalan dan kejayaan dakwah pada waktu-waktu tertentu tidak
bergantung kepada kiraan berapa ramai yang mampu dipindahkan dari lembah tanpa ikatan kepada menyertai barisan dakwah. Ini kerana dakwah Islam apabila telah menjadi sebab terhidayahnya ribuan pemuda dan terpeliharanya mereka dari kejahatan dan kesesatan -meskipun mereka tidak menyertai barisan dakwah kerana apa alasan pun- maka ini adalah suatu yang sangat besar bagi Islam.- petikan dari Al-Munthalaq, bab akhir.

Ikhwahku!
Sinsingkan lenganmu,mantapkan pandanganmu, kukuhkan kakimu,
Perjuangan ini bukannya perjuangan angka, tapi perjuangan mendidik jiwa,
Janganlah ragu, janganlah terlalai, janganlah menyimpang dalam langkahmu,
Kerana ini jalan PesuruhNya, Ini jalan Sahabiah, ini jugalah jalan KITA,

“FOKUS DAN ISTIQAMAHLAH Hingga ke hembusan nafas terakhir kita.”
Tiada Usaha Yang Sia-sia, Cuma Kejayaan Yang Lewat tiba.
Yakinlah janji dan syurga Allah, kerana ia pasti menanti di hujung perjalanan kita.

"Ya Allah, tetapkanlah langkah-langkah kami, mantapkanlah hati-hati kami, 
Janganlah engkau simpangkan hati kami dari jalan yang dilalui RasulMu ini, 
Kerana kami telah merasai nikmat kesusahan, mehnah dan ukhuwah ini, 
Kurniakan kami kejayaan  Islam atau kami syahid meniti jalanMu ini"

Rujukan : Al- Munthalaq, Bab akhir. - bacalah bab ini, untuk menambahkan kefahaman kita.

Nasyid in hanya untuk pejuang, mengalir air mataku mendengarnya....

Friday, May 21, 2010

Selemah-lemah Iman.......

Pernah satu ketika, saya membuat pemeriksaan kesihatan. Pada borang yang diberi, diletakkan sejarah kesihatan pesakit. Antara perkara yang ditanya ialah amalan berisiko tinggi seperti merokok dan meminum arak.

Awak ada merokok tak?”
Ada doktor, dalam satu kotak sehari”, katanya dengan jujur. Saya hanya menganggukkan kepala sahaja.
Ada minum arak tak?” tanya saya sambil mula mahu meletakkan tanda pangkah pada kotak yang menyatakan peminum arak atau tidak, sebab mengetahui dia beragama Islam, manakan mungkin akan meminum arak atau mengaku meminum arak.
Ada”, katanya bersahaja sambil tersenyum, Saya hanya tercengang sahaja dan agak terkejut. Berulang kali saya membelek namanya yang memang jelas ada ‘bin’ dan diletakkan beragama Islam.
Ada juga doktor, malah hampir setiap hari”, katanya. Beristighfar saya sebentar didalam hati. Niat yang pada asalnya mahu memberikan kaunseling tentang berhenti merokok akhirnya terbantut. Pemeriksaan dibuat dan tanpa diakhiri dengan kaunseling berhenti merokok seperti kebiasaan saya.

Setiap orang dikurniakan Allah Roh yang memang sifatnya mahukan dan suka kepada kebaikan,  Disebabkan oleh sifat inilah, maka setiap orang mahu melakukan kebaikan dan tenang apabila melakukan kebaikan.

Namun, apabila kemaksiatan sudah begitu pekat, sehingga menghitamkan dan menggelapkan hati dengan begitu gelap, bagaimanakah cahaya Iman dapat tembus ke dalam hati-hati ini. Maka, roh yang dikurniakan tuhan akan lemas dan tidak mampu menyinarkan cahayanya.

Manusia apabila melakukan kemaksiatan, ia adalah bertentangan dengan fitrahnya, menyebabkan mereka yang melakukan kesalahan pasti merasa tidak tenang, gelisah dan resah. Tentu kita biasa melihat, apabila seorang kanak-kanak memukul saudaranya, pasti ia akan cuba menafikannya kerana ia tahu, itu adalah satu perbuatan yang salah disisi agama, bahkan melanggar norma-norma masyarakat dan menyalahi fitrahnya.

Apabila meningkat dewasa, kita masih mengekalkan sifat yang sama. Mana ada orang yang sanggup mengaku dia melakukan kemaksiatan dihadapan sesiapa. Malah ada yang sanggup menipu untuk menyembunyikan kesalahan yang dilakukan. Didalam Islam, walaupun lepas bertaubat, kita tidak diwajibkan menceritkan kesalahan yang telah dilakukan. Cukuplah Allah dan diri individu yang mengetahuinya.

Namun, melalui pengalaman diatas, bukan sahaja individu ini mengaku kesalahannya, malah mengaku dengan penuh rasa BANGGA dengan kemaksiatan yang dilakukan. Bukannya dihadapan rakan-rakan atau bukan Islam, tetapi di depan seorang Muslim lain yang baru dikenalinya.

Andaian ini dibuat, dengan mengganggap dia tahu tentang hukum meminum arak dan kesalahannya. Jika, dia tidak mengetahuinya, maka kewajipan setiap orang untuk memberitahu dan menegurnya.

- Ada mereka yang apabila melakukan kesalahan, mereka merasa takut dan terus bertaubat.
- Ada mereka yang apabila melakukan kesalahan, merasa takut tapi lambat untuk bertaubat.
- Ada mereka yang melakukan kesalahan, namun tidak mengetahui ia melakukan kesalahan, maka dia terus lemas dalam kemaksiatan selagi tidak diberitahu.
- Ada orang yang melakukan kesalahan, dan tahu dia bersalah, namun tidak sedikitpun takut dan terfikir untuk bertaubat
- Ada orang yang melakukan kesalahan, dan tahu dia bersalah, namun tidak sedikitpun terfikir untuk bertaubat, namun masih cuba menyembunyikannya daripada manusia walaupun Allah mengetahuinya.
- Ada orang yang melakukan kemaksiatan, tahu dia bersalah, namun tidak sedikitpun terfikir untuk bertaubat, tidak berusaha untuk menyembunyikan kesalahannya, malah bangga dengan apa yang dilakukannya,

Dimanakah Roh yang suci yang dikurniakan oleh ilahi kepada mereka ini?

Kalau sudah sampai ke peringkat,seseorang melakukan kemaksiatan dan tanpa segan silu mengakuinya, malah berbangga dengan kemaksiatannya, sedangkan mereka yang mendengar merasa terkilan dan malu kepada Allah kerana mendengarnya…adakah mungkin kita sudah sampai ke peringkat Jahiliyah yang paling dalam dan gelap sekali. Mungkin sedikit hadis dibawah boleh memberi gambaran kepada kita teruk dan dalamnya Jahiliah di ketika Rasulullah diutuskan. (dipetik dari buku Petunjuk Sepanjang Jalan – Syed Qutb)

Manakala pelacuran pula dalam pelbagai bentuknya adalah merupakan tradisi kebanggaan masyarakat jahiliyah itu, bagaimana yang tergambar di dalam hadis riwayat Sayyidatina Aisyah RA:

"Perkahwinan di zaman jahiliyah ada empat jenis:

Pertama:
Perkahwinan seperti yang berlaku di zaman kita, iaitu seorang telaki meminang seorang anak perempuan orang lain yang halal dinikahinya, atau seorang perempuan yang di bawah jagaan orang lain yang menjadi walinya; manakala pihak kedua itu menerima pinangan itu, maka berlangsunglah perkahwinan.

Kedua:
Bahawa si suami berkata kepada isterinya, bila si isteri itu suci dari haidnya: pergilah kau mendapatkan si anu itu dan ambillah keturunannya, lalu si suami itu tidak mensetubuhi isterinya itu sehingga didapatinya bahawa si isteri itu telah mengandung hasil perhubungan jenis dengan orang yang disuruh ambil keturunannya itu. Dan bila nyata bahawa si isteri telah benar-benar mengandung barulah si suami itu mensetubuhi isterinya itu semula kalau dia mahu. Dia suruh isterinya berbuat demikian kerana dia mahukan seorang anak yang pintar, perkahwinan jenis ini dinamakan “kahwin mencari anak pintar.”

Ketiga:
Sekumpulan orang lelaki kira-kira tak sampai sepuluh orang berpakat menyetubuhi seorang perempuan tertentu. Semua mereka melakukan persetubuhan itu (mengikut giliran masing-masing) lalu bila perempuan itu mengandung dan melahirkan anak, dan berlalu beberapa ketika selepas kelahiran anak itu, maka perempuan tadi pun menjemput setiap orang yang terlibat dalam pakatan menyetubuhinya itu dahulu, dan dalam hal ini tiada seorang pun yang dapat mengelak dan melepaskan diri. Setelah ahli-ahli pakatan itu berkumpul semuanya maka perempuan itu pun berkata: “wahai orang lelaki sekalian, kamu semua tentunya telah maklum tentang apa yang kalian lakukan. Nah ini dia aku telah melahirkan anak kalian. Ini anakmu wahai si fulan .... beri namalah anakmu ini
sesuka hatimu,” lalu diserahkannya anak itu kepada orang yang dipilihnya itu, dan orang itu tidak boleh menolak.

Keempat:
Orang ramai berkumpul untuk menyetubuhi seorang perempuan secara bergilir-gilir (tanpa apa-apa pakatan) dan perempuan itu tidak boleh menolak sesiapa sahaja yang ingin menyetubuhinya. Perempuan itu akan meletakkan secebis kain sebagai tanda di muka pintu rumahnya kalau ada seseorang yang sedang menyetubuhinya (siapa sahaja yang suka boleh menyetubuhinya). Bila perempuan lacur itu mengandung dan melahirkan anak, kumpulan lelaki tadi akan berkumpul dan membuat pakatan serta persetujuan sesama mereka tentang siapakah di antara mereka yang patut menjadi bapa kepada anak itu; dan orang yang dipilih itu- tidak boleh menolak keputusan ramai itu dan mesti sanggup menerima tanggungjawab sebagai ayah si anak itu.

(Hadis riwayat Bukhari di dalam Bab Al-Nikah)

Kalau kita lihat didada surat khabar, sudah ada mereka yang melakukan persetubuhan beramai-ramai seperti dikalangan mat rempit, mereka yang dijajakan tubuh badannya ini sebagai hadiah kemenangan berlumba haram, kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi seperti dizaman jahiliah dsbnya. Inilah tanda, bahawa Jahiliah telah begitu menebal dan gelap didalam hati sebahagian masyarakat kita. Mungkin lebih gelap dan pekat berbanding dengan zaman Rasulullah.

Begitu juga, ramai yang sudah tidak segan silu apabila melanggar perintah Allah. Mungkin ramai diantara kita yang pernah balik dari sembahyang Jumaat melihat anak-anak muda masih lagi melepak di tepi jalan (dimana hilangnya solat jumaat mereka), atau lelaki yang tengah berjalan-jalan di pusat membeli belah sedangkan azan solat Jumaat sedang berkumandang. Malah ada yang tidak mengendahkan langsung solat Maghrib walaupun sudah hampir luput waktunya. Mungkin juga anda pernah bercakap dengan rakan-rakan dan mereka mengaku tanpa segan silu yang mereka sudah lama tidak bersolat.  

Inilah dia, begitu ramai yang tanpa segan silu mengumumkan keengkaran mereka dengan perintah Allah di hadapan umum. Ini belum lagi ibadat fardhu Ain yang tersembunyi seperti puasa, zakat dan lain-lain.

Yang ironinya, golongan yang menyeru kepada Islam menyeru dengan malu-malu malah tersembunyi dari tatapan umum. Siapa yang berani menegur mereka atau berceramah mengingatkan manusia di kedai-kedai kopi (seperti As-syahid Hasan al-Banna). Usaha dakwah dijalankan secara sembunyi-sembunyi sedangkan Jahiliah menerjah minda kita dari segenap penjuru melalui televisyen, iklan, ikon artis, internet, fesyen masyarakat dsbnya dari kita bangun tidur sehingga kita melelapkan mata.

Kalau ikut logiknya, siapakah yang akan menang?

Jika kita menyedarinya, adakah kita hanya mahu berpeluk tubuh sambil menuding jari? Atau sekadar syok sendiri sesama kita (golongan yang baik) sambil menafikan adanya golongan yang sesat dan bergelumang maksiat serta dosa?

Atau kita mahu menjadi segolongan mereka yang sedikit, yang menerobos kejahilan ini dengan dua kaedah, memisahkan diri dari Jahiliah, dan membuat hubungan dengan  Jahiliah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah( Dakwah kepada manusia) dengan hanya mengharapkan balasan keredhaan dan syurgaNya?

Tepuk dada, Tanyalah Iman.

“ Ya Allah, umat ini semakin jauh daripadaMu, mereka menginjak-injak ajaran RasulMu, mereka berbangga apabila melanggar perintahMu, Mereka bersorak apabila melakukan laranganMu. Mereka lemas dalam tsunami Jahiliah yang melanda umat ini.

Kiniku mengerti kenapa Rasulmu menyendiri di Gua Hira’ memikirkan nasib masyarakat sekelilingnya. Membawa diri jauh dari kemaksiatan dan kejahilan. Kemudian apabila Engkau menyerunya, baginda bangkit dengan satu semangat jitu menerobos Jahiliah yang berada disekelilingnya.

Maka berikanlah kami semangat seperti RasulMu ketika pertama kali Engkau menyerunya untuk berdakwah. Kekalkanlah ia (semangat) sepanjang hidup kami hingga ke hembusan nafas terakhir kam. dan, jadikanlah akhiran hidup kami sepertimana yang engkau kurniakan kepada Sumayyah” Amin