Pernah satu ketika, saya membuat pemeriksaan kesihatan. Pada borang yang diberi, diletakkan sejarah kesihatan pesakit. Antara perkara yang ditanya ialah amalan berisiko tinggi seperti merokok dan meminum arak.
“Awak ada merokok tak?”
“Ada doktor, dalam satu kotak sehari”, katanya dengan jujur. Saya hanya menganggukkan kepala sahaja.
“ Ada minum arak tak?” tanya saya sambil mula mahu meletakkan tanda pangkah pada kotak yang menyatakan peminum arak atau tidak, sebab mengetahui dia beragama Islam, manakan mungkin akan meminum arak atau mengaku meminum arak.
“ Ada ”, katanya bersahaja sambil tersenyum, Saya hanya tercengang sahaja dan agak terkejut. Berulang kali saya membelek namanya yang memang jelas ada ‘bin’ dan diletakkan beragama Islam.
“ Ada juga doktor, malah hampir setiap hari”, katanya. Beristighfar saya sebentar didalam hati. Niat yang pada asalnya mahu memberikan kaunseling tentang berhenti merokok akhirnya terbantut. Pemeriksaan dibuat dan tanpa diakhiri dengan kaunseling berhenti merokok seperti kebiasaan saya.
Setiap orang dikurniakan Allah Roh yang memang sifatnya mahukan dan suka kepada kebaikan, Disebabkan oleh sifat inilah, maka setiap orang mahu melakukan kebaikan dan tenang apabila melakukan kebaikan.
Namun, apabila kemaksiatan sudah begitu pekat, sehingga menghitamkan dan menggelapkan hati dengan begitu gelap, bagaimanakah cahaya Iman dapat tembus ke dalam hati-hati ini. Maka, roh yang dikurniakan tuhan akan lemas dan tidak mampu menyinarkan cahayanya.
Manusia apabila melakukan kemaksiatan, ia adalah bertentangan dengan fitrahnya, menyebabkan mereka yang melakukan kesalahan pasti merasa tidak tenang, gelisah dan resah. Tentu kita biasa melihat, apabila seorang kanak-kanak memukul saudaranya, pasti ia akan cuba menafikannya kerana ia tahu, itu adalah satu perbuatan yang salah disisi agama, bahkan melanggar norma-norma masyarakat dan menyalahi fitrahnya.
Apabila meningkat dewasa, kita masih mengekalkan sifat yang sama. Mana ada orang yang sanggup mengaku dia melakukan kemaksiatan dihadapan sesiapa. Malah ada yang sanggup menipu untuk menyembunyikan kesalahan yang dilakukan. Didalam Islam, walaupun lepas bertaubat, kita tidak diwajibkan menceritkan kesalahan yang telah dilakukan. Cukuplah Allah dan diri individu yang mengetahuinya.
Namun, melalui pengalaman diatas, bukan sahaja individu ini mengaku kesalahannya, malah mengaku dengan penuh rasa BANGGA dengan kemaksiatan yang dilakukan. Bukannya dihadapan rakan-rakan atau bukan Islam, tetapi di depan seorang Muslim lain yang baru dikenalinya.
Andaian ini dibuat, dengan mengganggap dia tahu tentang hukum meminum arak dan kesalahannya. Jika, dia tidak mengetahuinya, maka kewajipan setiap orang untuk memberitahu dan menegurnya.
- Ada mereka yang apabila melakukan kesalahan, mereka merasa takut dan terus bertaubat.
- Ada mereka yang apabila melakukan kesalahan, merasa takut tapi lambat untuk bertaubat.
- Ada mereka yang melakukan kesalahan, namun tidak mengetahui ia melakukan kesalahan, maka dia terus lemas dalam kemaksiatan selagi tidak diberitahu.
- Ada orang yang melakukan kesalahan, dan tahu dia bersalah, namun tidak sedikitpun takut dan terfikir untuk bertaubat
- Ada orang yang melakukan kesalahan, dan tahu dia bersalah, namun tidak sedikitpun terfikir untuk bertaubat, namun masih cuba menyembunyikannya daripada manusia walaupun Allah mengetahuinya.
- Ada orang yang melakukan kemaksiatan, tahu dia bersalah, namun tidak sedikitpun terfikir untuk bertaubat, tidak berusaha untuk menyembunyikan kesalahannya, malah bangga dengan apa yang dilakukannya,
Dimanakah Roh yang suci yang dikurniakan oleh ilahi kepada mereka ini?
Kalau sudah sampai ke peringkat,seseorang melakukan kemaksiatan dan tanpa segan silu mengakuinya, malah berbangga dengan kemaksiatannya, sedangkan mereka yang mendengar merasa terkilan dan malu kepada Allah kerana mendengarnya…adakah mungkin kita sudah sampai ke peringkat Jahiliyah yang paling dalam dan gelap sekali. Mungkin sedikit hadis dibawah boleh memberi gambaran kepada kita teruk dan dalamnya Jahiliah di ketika Rasulullah diutuskan. (dipetik dari buku Petunjuk Sepanjang Jalan – Syed Qutb)
Manakala pelacuran pula dalam pelbagai bentuknya adalah merupakan tradisi kebanggaan masyarakat jahiliyah itu, bagaimana yang tergambar di dalam hadis riwayat Sayyidatina Aisyah RA:
"Perkahwinan di zaman jahiliyah ada empat jenis:
Pertama:
Perkahwinan seperti yang berlaku di zaman kita, iaitu seorang telaki meminang seorang anak perempuan orang lain yang halal dinikahinya, atau seorang perempuan yang di bawah jagaan orang lain yang menjadi walinya; manakala pihak kedua itu menerima pinangan itu, maka berlangsunglah perkahwinan.
Kedua:
Bahawa si suami berkata kepada isterinya, bila si isteri itu suci dari haidnya: pergilah kau mendapatkan si anu itu dan ambillah keturunannya, lalu si suami itu tidak mensetubuhi isterinya itu sehingga didapatinya bahawa si isteri itu telah mengandung hasil perhubungan jenis dengan orang yang disuruh ambil keturunannya itu. Dan bila nyata bahawa si isteri telah benar-benar mengandung barulah si suami itu mensetubuhi isterinya itu semula kalau dia mahu. Dia suruh isterinya berbuat demikian kerana dia mahukan seorang anak yang pintar, perkahwinan jenis ini dinamakan “kahwin mencari anak pintar.”
Ketiga:
Sekumpulan orang lelaki kira-kira tak sampai sepuluh orang berpakat menyetubuhi seorang perempuan tertentu. Semua mereka melakukan persetubuhan itu (mengikut giliran masing-masing) lalu bila perempuan itu mengandung dan melahirkan anak, dan berlalu beberapa ketika selepas kelahiran anak itu, maka perempuan tadi pun menjemput setiap orang yang terlibat dalam pakatan menyetubuhinya itu dahulu, dan dalam hal ini tiada seorang pun yang dapat mengelak dan melepaskan diri. Setelah ahli-ahli pakatan itu berkumpul semuanya maka perempuan itu pun berkata: “wahai orang lelaki sekalian, kamu semua tentunya telah maklum tentang apa yang kalian lakukan. Nah ini dia aku telah melahirkan anak kalian. Ini anakmu wahai si fulan .... beri namalah anakmu ini
sesuka hatimu,” lalu diserahkannya anak itu kepada orang yang dipilihnya itu, dan orang itu tidak boleh menolak.
Keempat:
Orang ramai berkumpul untuk menyetubuhi seorang perempuan secara bergilir-gilir (tanpa apa-apa pakatan) dan perempuan itu tidak boleh menolak sesiapa sahaja yang ingin menyetubuhinya. Perempuan itu akan meletakkan secebis kain sebagai tanda di muka pintu rumahnya kalau ada seseorang yang sedang menyetubuhinya (siapa sahaja yang suka boleh menyetubuhinya). Bila perempuan lacur itu mengandung dan melahirkan anak, kumpulan lelaki tadi akan berkumpul dan membuat pakatan serta persetujuan sesama mereka tentang siapakah di antara mereka yang patut menjadi bapa kepada anak itu; dan orang yang dipilih itu- tidak boleh menolak keputusan ramai itu dan mesti sanggup menerima tanggungjawab sebagai ayah si anak itu.
(Hadis riwayat Bukhari di dalam Bab Al-Nikah)
Kalau kita lihat didada surat khabar, sudah ada mereka yang melakukan persetubuhan beramai-ramai seperti dikalangan mat rempit, mereka yang dijajakan tubuh badannya ini sebagai hadiah kemenangan berlumba haram, kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi seperti dizaman jahiliah dsbnya. Inilah tanda, bahawa Jahiliah telah begitu menebal dan gelap didalam hati sebahagian masyarakat kita. Mungkin lebih gelap dan pekat berbanding dengan zaman Rasulullah.
Begitu juga, ramai yang sudah tidak segan silu apabila melanggar perintah Allah. Mungkin ramai diantara kita yang pernah balik dari sembahyang Jumaat melihat anak-anak muda masih lagi melepak di tepi jalan (dimana hilangnya solat jumaat mereka), atau lelaki yang tengah berjalan-jalan di pusat membeli belah sedangkan azan solat Jumaat sedang berkumandang. Malah ada yang tidak mengendahkan langsung solat Maghrib walaupun sudah hampir luput waktunya. Mungkin juga anda pernah bercakap dengan rakan-rakan dan mereka mengaku tanpa segan silu yang mereka sudah lama tidak bersolat.
Inilah dia, begitu ramai yang tanpa segan silu mengumumkan keengkaran mereka dengan perintah Allah di hadapan umum. Ini belum lagi ibadat fardhu Ain yang tersembunyi seperti puasa, zakat dan lain-lain.
Yang ironinya, golongan yang menyeru kepada Islam menyeru dengan malu-malu malah tersembunyi dari tatapan umum. Siapa yang berani menegur mereka atau berceramah mengingatkan manusia di kedai-kedai kopi (seperti As-syahid Hasan al-Banna). Usaha dakwah dijalankan secara sembunyi-sembunyi sedangkan Jahiliah menerjah minda kita dari segenap penjuru melalui televisyen, iklan, ikon artis, internet, fesyen masyarakat dsbnya dari kita bangun tidur sehingga kita melelapkan mata.
Kalau ikut logiknya, siapakah yang akan menang?
Jika kita menyedarinya, adakah kita hanya mahu berpeluk tubuh sambil menuding jari? Atau sekadar syok sendiri sesama kita (golongan yang baik) sambil menafikan adanya golongan yang sesat dan bergelumang maksiat serta dosa?
Atau kita mahu menjadi segolongan mereka yang sedikit, yang menerobos kejahilan ini dengan dua kaedah, memisahkan diri dari Jahiliah, dan membuat hubungan dengan Jahiliah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah( Dakwah kepada manusia) dengan hanya mengharapkan balasan keredhaan dan syurgaNya?
Tepuk dada, Tanyalah Iman.
“ Ya Allah, umat ini semakin jauh daripadaMu, mereka menginjak-injak ajaran RasulMu, mereka berbangga apabila melanggar perintahMu, Mereka bersorak apabila melakukan laranganMu. Mereka lemas dalam tsunami Jahiliah yang melanda umat ini.
Kiniku mengerti kenapa Rasulmu menyendiri di Gua Hira’ memikirkan nasib masyarakat sekelilingnya. Membawa diri jauh dari kemaksiatan dan kejahilan. Kemudian apabila Engkau menyerunya, baginda bangkit dengan satu semangat jitu menerobos Jahiliah yang berada disekelilingnya.
Maka berikanlah kami semangat seperti RasulMu ketika pertama kali Engkau menyerunya untuk berdakwah. Kekalkanlah ia (semangat) sepanjang hidup kami hingga ke hembusan nafas terakhir kam. dan, jadikanlah akhiran hidup kami sepertimana yang engkau kurniakan kepada Sumayyah” Amin
No comments:
Post a Comment