Orang kata, "We will see the worse/good in people during their sickness". Sebagai seorang doktor, banyak pengajaran boleh diperolehi semasa merawat pesakit. Semoga, pengalaman yang dikongsikan, mengubah persepsi kita dan peribadi kita menjadi Hamba yang bertakwa.

Anda dibenarkan untuk mengkopi entri di blog ini, tetapi rujukan hendaklah dibuat kepada penulis dan URL blog diletakkan supaya pembaca mendapat manfaat daripada entri blog yg akan datang. Sebelum itu, niatkan apa yg dilakukan hanya kerana Allah, Tuhan semesta Alam.

Sudi-sudilah jadi followers, untuk mengutip ilmu dari entri akan datang:

Wednesday, April 7, 2010

Geletek Perut sikit.....

Kerjaya sebagai seorang doctor, tidak selalunya membosankan walaupun kami berurusan dengan perkara yang cukup penting iaitu kesihatan atau nyawa seseorang. Kadang-kadang ada juga semasa konsultasi, ada perkara- perkara yang kadang-kadang menceriakan proses konsultasi. Apabila terkenang semua tu, kadang-kadang tersenyum sendiri.

Saya akan cuba mencatitkan semua perkara-perkara tu sebaik mungkin setakat ingatan saya. (P- patient, D-doktor)

Situasi 1.

D – Pakcik sakit apa pakcik? Demam ke?
P - Tak adalah doctor, Pakcik tak demam cuma panas-panas badan je.
D- Samalah tu Pakcik, demam dan panas-panas badan
P – (Pakcik tu tersengih je).
Akupun senyum je dalam hati .

* Kadang-kadang apa yang ditanya oleh doktor, sebenarnya sama, tapi mungkin disebabkan  nervous ke/ stress ke nak jumpa, kadang-kadang akal patient boleh ‘keliru’ sikit. Antara perkataan yang selalu terjadi macam nie ialah cirit birit/najis cair, demam/panas badan,. Puncanya?....entahler, mungkin ada yang nak buat research? J

Situasi 2

D – sakit apa makcik?
P – demam, batuk sakit tekak doktor
D – berapa hari dah sakit makcik?
P – Sakit-sakit badan makcik doktor, susah rasa nak buat kerja.
D – berapa hari dah sakit makcik? (pelik makcik nie, tanya lain, jawab lain)
P – makan tak nak, tak ada seleralah doktor.
D- .berapa hari dah sakit makcik? (nie dah mula hilang sabar)
P – Ada juga makan ubat, tapi tak hilang demamnya doktor.
D – Makcik, berapa hari dah sakit? !!! (sedikit meninggi)
P – Entahlah doktor, makcik nie, banyaklah sakitnya.
D – (menggeleng kepala)
Anak patient – Doktor, mak nie, ada kurang sikit soundnya doktor.
D – patutler (dalam hati)

* Nie memang salah doktor, sebab tak tanya pengiringnya tentang keadaan makcik nie. Biasanya sebahagian history sakit pesakit yang berumur, perlu diambil daripada pengiringnya, kalau tak jadilah macam nie.

Situasi 3

D- awak sakit apa?
P – sakit-sakit badan doktor, demam , selsema
D- berapa lama dah?
P – lama dah doktor, sampai tak dapat buat kerja saya dibuatnya.
D – berapa hari dah?
P – Lama dah doktor.
D – Iye betul dah lama, tapi berapa hari dah? Lama awak tu tak sama dengan lama saya.
P – dah 5 hari dah. (kata patient sambil tersenyum.
D – ooo, ingatkan dah sebulan tadi (kata saya sambil tersenyum sendiri)

Duration atau tempoh masa berbeza bagi setiap orang. Mungkin 3 hari dah lama bagi pesakit, tapi bagi doktor/perubatan, ia masih pendek. Contohnya batuk dan demam berpanjangan melebihi 2 minggu baru dikira perlu penyiasatan lanjut seperti X-ray dada dan sebagainya. Jadi, bertanya tentang berapa hari itu penting, kerana istilah ‘lama’ itu, berbeza tempohnya bagi setiap orang.


p/s- lawak gini yang saya suka...sambil gelak, sambil memberi peringatan.

Thursday, March 25, 2010

Kasih Ibu VS Kasihnya Rasul.



Pagi nie, semasa menonton MHI, diperbincangkan bagaimana seorang Ibu yang sedang nazak begitu menyayangi anaknya. Seorang Ibu muda yang diserang kanser akhinya tunduk pada ketentuan Ilahi perlu berpisah awal dengan suami dan anaknya.

Namun pada akhir nafasnya, dia berpesan pada suaminya supaya menjaga baik-baik anak mereka. Pada masa dia menghembuskan nafas terakhirnya, anak yang baru sahaja berumur 2 tahun berada disisinya bersama suaminya.Begitulah sucinya kasih dan sayang seorang Ibu,malah dihujung nyawanyapun dia masih mengingati akan keadaan anaknya yang tercinta.

Mungkin kita merasa terharu dan sedih mendengar berita ini. Seperti yang dibincangkan dalam MHI, sampai terkeluar dari mulut saya “ Kasih Ibu membawa ke syurga”. Cuba kita bayangkan, wajah ibu kita, mungkin itu juga yang difikirkan oleh ibu kita jika nyawa mereka berada dipenghujungnya.

Cuba kita kenang kasih ibu dan bapa kita. Itulah kasih mereka, sepanjang hidup mereka, hanyalah untuk kita. Membanting tulang, menyediakan semua keperluan kita, malah kalau perlu berkorban nyawapun, saya pasti mereka sanggup.

Bagi yang sudah mempunyai anak, mungkin rasanya pernah memandang anak mereka semasa mereka tidur, sambil menitipkan sumpah didalam hati, untuk melindungi dan memelihara mereka sepenuh hati dan nyawa. Mungkin hati pernah tidak keruan jika anak belum balik/lambat balik dari sekolah. Anak itu jugalah yang boleh menyebabkan ibu dan bapanya menangis dan ketawa pada satu masa.

Jadi sebagai seorang anak, tentu kita PERLU membalas balik kasih ibu dan bapa.

Ada yang berniat, membawa ibunya ke Mekah menunaikan haji, ada yang mengorbankan duit gaji bulannannya untuk ibu dan bapa, ada yang menunaikan apa sahaja permintaan ibu dan bapa kerana kasih dan pengorbanan mereka membesarkan kita.  Tentu pelik, jika ada anak yang tidak mahu membalas kasih dan pengorbanan ibu dan ayahnya.

Tapi, sedar tak sedar, kita lupa untuk membalas kasih seorang yang lebih hebat kasihnya.

Lebih hebat daripada kasih seorang ibu, lebih hebat daripada kasih seorang bapa, lebih hebat daripada kasih gabungan keduanya. Lebih hebat dari kisah cinta di Bollywood, Hollywood, Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet. Malah, mungkin gabungan semua kasih sayang itu.

Kasihnya bukan untuk seorang, kasihnya untuk semua. Kasihnya bukan perlukan sentuhan fizikal, tetapi cukup sekadar sentuhan rohani dan Iman. Kasihnya bukan bertunjangkan dunia, tapi bertunjangkan dunia dan akhirat. Kasihnya itu adalah kasih kurniaan Ilahi.

Seluruh hidup, hartanya, pemikirannya, hubungannya semuanya adalah hasil pancaran kasih sayangnya. Dia memberi tanpa mengharapkan terima kasih, dia merintih dimalam hari sehingga bengkak kakinya memohon kebaikan untuk kita. Beberapa kali nyawanya hampir melayang, kerana kasihnya pada kita.

Dia sabar ketika dia dicerca, hanya kerana kita.
Dia sabar ketika dituduh orang gila, ahli sihir, tukang tenung kerana kita.
Dia pernah dilemparkan najis diatas kepala, tetapi tetap bersabar kerana kita.
Dia pernah dibaling batu sehingga berdarah badannya kerana kita.
Dia pernah dicekik orang, hanya kerana kita.
Dia terpaksa berlapar, hanya kerana kita.
Dia terpaksa menghabiskan segalanya hartanya kerana kita.
Dia terpaksa meninggalkan tanah airnya kerana kita.
Dia pernah hampir dibunuh, beribu kali diancam bunuh dan bersabar hanya kerana kita.

Diakhir nafasnya, ketika malaikatul maut mahu mencabut nyawanya, fikiran dan hatinya hanya mengingati kita. Air matanya mengalir mengenangkan kita yang akan ditinggalkannya. Bagimanakah nasib kita, selepas dia meninggalkan kita? 

Apa yang diucapkan diakhirnya hayatnya hanyalah nama kita “Ummati,Ummati” (umatku, umatku)

Dan bukankah kita Ummat kepada dia.
Bukankah kita Umat Nabi Muhamad ini?
Adakah lagi cinta yang lebih AGUNG daripada ini?

Rasulullah tidak pernah melihat kita, walaupun apa sahaja nama kita, namun kasihnya melimpah ruah untuk kita. Cuba kita bayangkan, bagaimana mungkin kita dapat menyayangi orang yang tidak pernah kita lihat? Adakah boleh kita menyayangi seorang Amerika yang bernama Abdullah, walaupun kita tidak pernah melihatnya.Mustahil! bukan?.

Tapi, tidak bagi Rasulullah.

Walaupun dia tidak pernah melihat kita (umatnya dizaman ini), namun kasih sayangnya hanya untuk kita. Dia memberikan sesuatu yang lebih berharga daripada segala apa yang diberikan oleh Ibubapa kita, iaitu ISLAM. Dengan menjadi umat Islam inilah, kita boleh masuk ke syurga Allah walaupun setinggi Gunung Everet dosa kita.

Dan sebagaimana kita melihat kasih ibubapa kita, tentulah kita ingin membalas jasa-jasa dan kasih sayang mereka.Tapi, pernahkah kita membalas/merasa terhutang budi kepada Rasulullah? Rasulullah tak mengharapkan duit elaun bulanan kita, Rasulullah tak mengharapkan apa sahaja daripada kita. Cukuplah kita menurut segala ajarannya dan mengikut sunnahnya.

Tapi, cuba kita lihat sekeliling kita? Cuba kita lihat umat ini? Adakah nampak kita ingin membalas kasih sayangnya? Adakah nampak sunnah dan ajaran Rasulullah dipraktikkan dalam kehidupan harian kita?

Malah mungkin kita, adalah ummah yang jauh daripada mahu membalas jasa Rasulullah. Malah mungkin tidak mengenang kasih sayang dan jasa Rasulullah. Kita tidak mengikut sunnahnya, kita tidak mengikut ajarannya dalam Al-quran, malah kita melakukan segala kemaksiatan dari subuh sehingga kita menutup mata dimalam harinya.

Kita ada gelaran ANAK DERHAKA, bagi anak yang tidak mengikut kata-kata ibubapanya.
Mungkin kita boleh digelar UMAT DERHAKA, kerana tidak mengikut kata Rasul kita.

Tepuk dada, tanyalah Iman. - 

P/s - Ya Rasulullah, aku merinduimu, aku mengasihimu. Ingin sahaja aku memohon kepada Allah agar aku berada dizamanmu, Berjuang disampingmu di Perang Badar, Melindungimu ketika kamu dilontar batu di Thoif, berlapar bersamamu ketika muslimin diboikot. 
- Ketikaku melihat umat hari ini, mengalir air mataku kesedihan, kami semakin jauh daripada ajaranmu, kami bukan sahaja tak mampu melindungi saudara kami diseluruh dunia, malah tak mampu mempertahankan bumi suci Palestin.....Ya Rasulullah, Aku benar-benar merinduimu.......

Kawan-kwan..hayatilah video dibawah...lihatlah dengan mata hati, bukan mata dunia, rengungilah amalanmu selama ini dan renungilah Umat ini....


Friday, March 12, 2010

Reaksi terhadap musibah.....

“Kau ingat kisah Yusof A.S dan Zulaikha?”.
“Zulaikha menuduh Yusof telah memperkosanya. Padahal dia sendiri yang tidak tahan dengan ketampanan Yusof”
‘Fitnah! itu semua fitnah. Fahri!. Zulaikha memfitnah Yusof memperkosanya, hingga Yusof dipenjara”
“Adakah Yusof memberontak? Tidak Fahri!”
“Yusof tahu Allah sedang berbicara dengannya.
“Engkau mahu tahu apa yang dikatakan Yusof?!”
“Engkau mahu tahu apa yang dikatakan Yusof?!”
“Kata Yusof.. Ya Allah! jika memang kehidupan penjara lebih bererti bagiku daripada dunia luar, maka aku lebih memilih untuk hidup dipenjara tapi dekat denganmu, daripada aku hidup bersama manusia pendusta!

“ Allah sedang berbicara kepadamu tentang sabar dan ikhlas”.
“SABAR DAN IKHLAS, itu Islam Fahri!......”

Inilah dia antara skrip dalam movie Ayat-Ayat cinta. Yang dilantunkan oleh seorang banduan, kepada Fahri yang sedang putus asa dan marah kepada Allah atas musibah yang menimpanya. Kata-katanya begitu mantap dan tepat kepada sesiapa yang menghadapi musibah dan ditimpa kecelakaan.

Muslim apabila ditimpa musibah/kecelakaan.

Mungkin juga, apa yang dikatakannya betul. ALLAH SEDANG BERBICARA DENGANMU. Setiap kali kita ditimpa kesusahan atau kecelakaan, tentu kita kembali tunduk kepada Allah SWT. Ini menunjukkan, kita telah jauh dari jalannya, dan Allah sedang 'menegur' kita.

Setiap seorang daripada kita, tentu pernah ditimpa masalah. Ada masalah yang kita boleh kawal dan ada masalah yang diluar kawalan kita. Mungkin juga, keputusan orang lain, menentukan corak atau nasib kehidupan kita.

Bukan, masalah itu yang penting, tapi bagaimana REAKSI kita terhadap sesuatu masalah itu.

Seorang muslim, apabila ditimpa satu masalah yang diluar kawalannya, dia akan kembali kepada Yang Maha Berkuasa. Solatnya akan semakin khusyuk, Qurannya semakin terjaga dan maksiat akan dijauhinya. Dia yakin, Allah Maha Berkuasa, boleh mengubah hati-hati manusia dan pendapat seseorang.

Dia yakin, bahawa dalam setiap musibah pasti ada pengajaran kerana Allah sedang mengajarnya/bercakap dengannya. Mungkin musibah berlaku kerana kemaksiatan yang dilakukannya dan Allah ingin menegurnya. Atau mungkin juga musibah berlaku kerana Allah ingin meninggikan darjatnya disisiNya. Maka, seorang Muslim yang sejati, pasti merasa bersyukur kerana diberikan “teguran” didunia ini sebelum dia meninggalkan dunia ini. Ini kerana, masanya masih ada untuk membaiki timbangan pahala dan dosanya sebelum dia dipanggil mengadap Allah SWT.

Pengaduannya hanya diberikannya kepada yang paling berkuasa menentukan hala tuju hidupnya, iaitu Allah SWT. Dengan pengaduan begini, hatinya akan kembali tenang dan dia mampu untuk menyusun langkah seterusnya didalam mencari redha Ilahi.

Mereka akan bangkit semula dan menyusun semula strategi dan perancangan, kali ini dengan lebih mantap dan tersusun, keazaman yang lebih kuat, pergantungan yang lebih kepada Allah dan dengan sumpah janji yang baru. Mereka yang seperti ini, pasti akan bangkit dengan semangat yang jitu dan pasti akan dibantu oleh Allah SWT.

Orang Fasik (banyak melakukan dosa) apabila ditimpa musibah.

Orang fasik, apabila ditimpa musibah, mereka pasti mencari-cari puncanya. Ada yang menuduh  dia, itu, ketua malah kalau boleh kucing di tepi jalanpun ingin disalahkannya atas musibah yang menimpanya. Sedikitpun dia tidak akan mengatakan ini takdir Allah, ataupun Allah ingin mengajarnya.

Apabila dia sudah habis marah kepada orang itu dan ini, benda itu dan ini, maka diapun merasa letih dan putus asa. Syaitan laknatullah pasti akan mencuri peluang menghasut jiwa-jiwa yang lemah seperti ini. Kita akan lihat, mereka menjadi lemah, tidak bersemangat dalam hidup, tiada tujuan hidup dan malas untuk berfikir.

Mereka menjadi mayat yang hidup, degup jantungnya ada, pergerakannya ada, namun tiada motivasi dan semangat untuk meneruskan hidup. Hari-hari yang berlalu dirasakan terlalu menyeksakan dan akhirnya mereka tertekan/kemurungan.

Untuk mengelakkannya berlaku, mereka ingin melupakan masalah dan bukannya menghadapi masalah. Sebagai manusia, bukannya mudah untuk melupakan masalah. Akal manusia adalah satu organ yang sentiasa berfikir dan cerdas. Jadi untuk melupakannya atau melarikan diri daripadanya ada yang memilih pil khayal, terlibat dalam budaya yang merosakkan dan sebagainya lagi. Mungkin, mereka dapat melupakannya sekejap namun, komplikasi daripada memilih jalan ini cukup perit dan sebenarnya merumitkan lagi masalah yang ada. Maka, terjebaklah mereka dalam kes-kes peras ugut, kecurian, rompakan dan sebagainya.

Orang kafir apabila ditimpa musibah.  

Apabila di timpa musibah, mereka cuba mencari-cari sebabnya. Mesti ada salahnya dimana-mana. Samada salahnya pada orang lain, ataupun salahnya ada pada diri mereka sendiri. Sedikitpun mereka tidak menyedari takdir adalah diluar ketentuannya. Maka jadilah kes-kes bunuh diri, kes-kes jenayah dan sebagainya. Maka, jadilah mereka masyarakat yang hanya melihat kehidupan dunia sahaja dan bukannya kehidupan akhirat.

Maka, mana satukah anda?
Apakah reaksi anda apabila ditimpa musibah?



Monday, March 8, 2010

Masa EKSLUSIF mendidik anak-anak.


“Ya Nabi salam, alaika”,
“Ya Rasul salam alaika”
Begitu sedap Ayah mengalunkan salawat ke atas nabi. Aku hanya mendengar sahaja sambil memeluk erat badannya ketika membonceng motorsikalnya. Kesejukan menaiki motorsikal pada dinginnya pagi begitu mencengkam badan kecilku. Begitulah rutin harian kami, aku dan adikku akan dihantar dengan menaiki motorsikal ke sekolah rendah kami

Setiap pagi, pasti kami akan dihidangkan dengan zikir, solawat, tahmid dan kadang-kadang bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada mulut Ayah ketika kami dihantar ke sekolah.

“Ayah, Ayah baca apa tu?” tanyaku satu pagi
“ Nie namanya  surah Al-Ikhlas, salah satu tiga surah akhir” katanya.
“ Bagus dibaca ketika sembahyang”. Aku hanya mengganggukkan kepala. Ketika itu umurku baru sahaja 8 tahun. Usia sedang berjinak-jinak untuk mengerjakan solat.

Selepas itu, hampit setiap pagi, aku dihidangkan dengan bacaan surah Al-Ikhlas. Dan akhirnya, selepas sebulan kemudian, aku sendiri sudah menghafal Surah Al-Ikhlas tanpa kusedari. Begitulah kuatnya pendidikan yang didapati daripada seorang Ayah. Secara tidak sedar, dia sedang mendidik anak-anaknya.

Sebagai, seorang doktor dan bapa saya menyedari perkara sedemikian. Rutin harian diri yang sibuk menyebabkan kadang-kadang pendidikan anak-anak terabai. Ditambah pula dengan rutin harian pelajar sekarang, begitu memenatkan sekali. Kelas tambahan malam, waktu persekolahan yang semakin panjang, aktiviti ko-kurikulum, persediaan peperiksaan memang sungguh memenatkan.

Cuba kita fikirkan sejenak, berapa jam sahaja dalam sehari kita bersama/bercakap dengan anak-anak. Mungkin sejam atau dua sahaja sehari. Waktu paginya sudah bangun awal,sibuk dengan persediaan ke sekolah, hantar anak ke sekolah. Petang baru berjumpa dengan anak-anak. Itupun lepas habis kerja. Mungkin masa ini, anak-anak di sekolah rendah sedang bermain dengan rakan-rakan.

Di waktu malam pula, mereka perlu pergi ke kelas pengajian Al-Quran ataupun kelas tambahan. Apabila balik pula, mereka dah letih dan terus terlena.

Bilakah masanya kita akan mendidik mereka? 

Secara sedar tak sedar, mereka sebenarnya dididik oleh masyarakat, rakan-rakan dan sekolah. Mereka tertekan kerana Ibu dan bapa tidak mampu memberikan kasih sayang yang sebenar dan mengajar mereka. Sekarang bukannya disebabkan oleh kesibukan ibubapa, tetapi disebabkan rutin harian anak-anak yang begitu ketat.

Dulu di zaman saya kecil, sekolah habis pukul 12.35 pm, tetapi sekarang ada yang sampai pukul 2.30 pm, selepas tu disambung dengan aktiviti lain seperti KAFA dsbnya. Kita tak dapat menudingkan jari ke arah sistem pendidikan, atau suasana atau apa-apa je. Tapi yang perlu ialah, kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang.

Untuk itu, perlunya kita mencuri waktu mereka! 

Masa yang terbaik ialah masa kita menghantar anak-anak ini ke sekolah. Masa inilah mindanya masih segar menyerap apa sahaja di waktu pagi, mereka terkurung didalam suasana (kereta) yang kita mahu dan mereka duduk diam mendengar sahaja.

Alunkanlah ayat-ayat Al-Quran didalam kaset/CD untuk menyegarkan minda mereka.
Perdengarkanlah Zikir, Tasbih dan Tahmid untuk menyucikan jiwa mereka. 
Dengarkanlah ceramah-ceramah dan sebagainya sebagai pengisi ilmu mereka.
Dengarkan lagu Nasyid untuk halwa telinga mereka.

Tapi, malangnya……

Ada ibubapa yang menyumbatkan radio muzik FM, Hot FM dan sebagainya,
Ada yang mengalunkan lagu-lagu jiwang malah Rock ke dalam telinga anak-anak mereka.
Ada yang mendendangkan celoteh “panggilan hangit” (dari Hot FM) untuk anak-anak mereka.

Jika inilah yang mereka dengar setiap hari, tak hairanlah mereka menjadi peminat muzik Rock satu ketika nanti, menjadi peminat lagu-lagu sentimental yang memainkan perasaan ketika remaja malah mungkin peminat artis luar negara seperti Lady Gaga yang menampakkan auratnya ketika menari dan menyanyi.

Bayangkan, selama 10-15 minit setiap hari kita boleh mendidik mereka, jika satu minggu sudah hampir satu jam, jika satu bulan sudah hampir 4-5 jam. Kalau setahun mungkin sudah 48-72 jam. Ini sudah menyamai jam kursus yang diperlukan di Universiti. Ini jika masa yang diperlukan untuk menghantar mereka selama 10-15 minit, bayangkan jika perjalanan ke sekolah memerlukan setengah jam, atau sejam (seperti di Kuala Lumpur bersama traffic jamnya lagi), berapa banyak masa yang boleh kita gunakan untuk menddidik mereka.

Jadi, jangan hanya menyalahkan traffic jam sahaja, tapi gunakan waktu EKSKLUSIF yang dikurniakan Allah kepada anda sekeluarga untuk mendidik mereka dan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Lengkapkan kenderaan anda dengan VCD player, TV player atau apa-apa sahaja, dan carilah bahan-bahan untuk pendidikan anak-anak. Tutuplah radio, tapi pilihlah bahan-bahan yang sesuai untuk mendidik mereka. Semoga pendidikan selama beberapa minit ini, dapat membentuk peribadi mereka menjadi peribadi yang soleh dan salehah, penyejuk mata Ayah dan bonda.

“Ya Allah, terima kasih diatas masa EKSKLUSIF yang Engkau kurniakan kepadaku untuk bersama keluargaku. Akan kupergunakan waktunya dengan sebaik-baiknya. Amin.


Thursday, March 4, 2010

Cinta Kurniaan Ilahi Untukku......2

Bertemu Cinta Kurniaan Ilahi.

Hampir sebulan berlalu, aku sudah makin gelisah. Bila ditanya Naqibku,dia hanya kata sabar. Akan ada orang yang akan menghubungi.
Suatu hari, selepas selesai bermain bola di padang, Ustaz Zaid duduk sebelahku, sambil meminta aku datang kerumahnya malam itu. Katanya berkenaan calon isteriku. Hatiku semakin berdebar-debar. Debaran sebulan yang lepas kembali semula hari tu.

Kedatanganku ke rumahnya malam itu disambut ramah. Perbincangan kami bermula dengan sedikit tazkirah darinya tentang bait muslim. Bermula dengan calon isteri, pendidikan anak-anak, pembentukan masyarakat dan menghidupkan dakwah dalam rumahtangga.
Selepas itu, diapun mula menerangkan proses mencari calon yang sesuai. Bermula dengan berbincang dengan Naqib, konsultasi dengan ketua muslimah untuk mencari siapa yang sesuai, tahajud malamnya untuk memastikan calon yang dicadangkan diredhai Allah. Memang prosesnya teliti untuk memastikan calon yang dicadangkan sesuai.

Pada masa yang sama, diterangkan juga proses taaruf, melihat calon isteri, proses menyatakan pada calon isteri dan memberitahu keluarga. Semuanya memang proses yang panjang. Disamping itu, diterangkan juga persediaan hati jika lamaran ditolak. Mengeluh panjang juga rasanya. Selain itu, diberikan beberapa contoh sebelum ini, sebagai pengajaran tanpa memberitahu nama pihak yang terlibat.

“Anta dah sedia ke?”
“Sedia apa?” tanyaku kebingungan. Cetek betul pengalamanku.
“ Melihat gambar muka calon isteri Anta?”. Dup! Dap! Dup Dap!.jantungku berdegup. Kutelan air liurku sambil menganggukkan kepala. Diapun beredar ke bilik sebentar dan berbunyi sedikit perbualan antara dia dan isteri.

Dia kembali dengan sekeping foto saiz passport lalu menunjukkannya kepadaku. Aku melihatnya seminit dua dan kemudian memberikannya balik kepadanya.
“Takpe, gambar tu Anta boleh simpan. Kembalikan gambar tu, bila Anta dah tiada ikatan dengan dia lagi” berbunga rasanya hati, terus gambar tu kumasukkan ke dalam dompet. Gambar perempuan pertama yang dimasukkan ke dalam dompetku selain daripada gambar ibuku.

Selepas diterangkan serba sedikit maklumat tentangnya, barulah aku merasa tenang, Tapi, Ustaz Zaid tidak mahu aku memberikan keputusan lagi, kerana dia mahu aku melihat sendiri calonnya. Aku dijemput pergi ke Iskandariah 2 minggu lagi untuk membantu seorang Akh yang akan berpindah dan pada masa yang sama melihat calon isteriku.

“Anta kena melihatnya nanti dengan mata hati, bukannya mata nafsu. Ketika Anta melihatnya, hati Anta akan tenang dan seronok. Masa itu Anta takkan nampak dah Akhawat/wanita disekelilingnya kecuali dia. Itulah dia cinta kurniaan Ilahi untuk Anta” katanya memberikan nasihat akhir sebelum aku beredar dari rumahnya.     

Melihat bidadari dunia untukku..

Hari yang ditunggu-tunggupun tiba. Aku berangkat ke Iskandariah yang kira-kira 3 jam perjalanan keretapi dari Iskandariah bersama seorang sahabat yang lain. Kami ditugaskan untuk membantu Ustaz Ismail berpindah dari Iskandariah ke Kaherah dengan menaiki dua buah van. Malam itu, kami bermalam dirumahnya dan dijangka mengangkat barang keesokan paginya.

Malam itu, ustaz Ismail telah berpesan, calon isteriku akan duduk sebelah isterinya sepanjang perjalanan, kerana ditakuti aku akan salah orang, maklumlah belum pernah melihat wajahnya.

Pagi tu, memang memenatkan. Barang Ustaz Ismail memang banyak. Semasa mengangkat barang ke dalam Van, ternampak sekumpulah akhawat pergi ke rumahnya. Rasanya aku ternampak kelibatnya, tapi entahlah, mungkin aku tersilap orang.

Selepas selesai mengangkat barang, akupun duduk dikerusi hadapan bersama pemandu dan Ustaz Ismail duduk disebelahku. Isterinya duduk dibelakang bersama calon isteriku. Ustaz Ismail ada berbisik padaku, dah nampak ke? Aku hanya menggelengkan kepala.

“Ana duduk dihadapan dan dia dibelakang, bagaiman mungkin Ana nampak?” bisikku pula.
Dia hanya tersenyum sambil berkata,
“Kita akan berhenti makan sebentar dalam perjalanan, cuba-cubalah tengok”, Aku hanya mengangguk sambil tersenyum malu.

Sejam kemudian kami berhenti di tepi jalan untuk menjamu selera sedikit. Kulihat Ustaz Ismail bercakap-cakap dengan isterinya dan kemudian duduk bersama bersebelahan mejaku bersama sahabatku. Tak lama selepas itu, isterinya memanggil Akhawat seorang untuk duduk bersama. Mereka berbual dimeja bersebelahanku. Aku hanya menundukkan kepalaku.

Apabila aku mengangkat kepalaku, aku lihat Ustaz Ismail tersenyum kepadaku sambil menunjuk kepada Ukthi yang duduk semeja dengannya. Aku memandang kepadanya, namun dia memalingkan kepalanya ke arah lain.

Selepas beberapa ketika, Ustaz Ismailpun duduk disebelahku. Sambil berbisik dia bertanya sudah melihat ke belum. Aku mengaku belum lagi, sebab dia selalu berpaling ke arah lain.

“Da, tolong hulurkan ta’miyah(sejenis makanan Arab) tu” kata Ustaz Ismail.
Akhirnya ukhti tu memalingkan kepalanya ke arahku Ketika itulah, mata kami bertemu. Ketika itu, aku hanya terdiam. Dunia terasakan sepi seketika. Pandanganku hanya nampak dia, dan bukannya akhawat yang lain. Hati terasa tenang dan bukannya gelisah. Jantung terasakan terhenti seketika dan bukannya berdegup kencang. Pandangan yang seketika, terasakan sudah lama kenal.

Dia tersenyum, sambil memberikan ta’miyah  tersebut kepadaku sebab aku yang paling hampir dengannya. Aku mengambilnya dan masing-masing terus memalingkan pandangan. Kupejamkan mata, kuselami hati ini. Aku beristighfar berterusan didalam hati. Kuperiksa adakah ia bisikan hati daripada Allah atau bisikan syaitan.  Istighfar terusku panjatkan sambil meminta Allah melindungi hati ini daripada hasutan syaitan.

“ Kalau hati Anta terhenti seketika tadi, itulah tandanya dia jodoh Anta” kata Ustaz Ismail berbisik. Aku hanya tersenyum dan mengiyakan katanya. Hatiku terus berbunga. Jiwaku tenang.
“Dialah bidadari duniaku, Dialah cinta kurniaan Allah untukku” bisikku didalam hati menguatkan azamku.

Sepanjang perjalanan seterusnya, aku asyik cuba melihat-lihat wajah bidadariku melalui cermin. Perjalanan yang berbaki lagi 2 jam, terasakan terlalu cepat berlalu dan akhirnya kami sampai ke Kaherah. Ketika mengangkat barang-barang, aku cuba mencuri pandang kepada bidadariku, namun dia dengan cepat menghilangkan diri bersama rakan-rakannya ke dalam apartment.

Ketika habis semua barang diangkat ke dalam rumah, kakiku terasa lemah untuk berangkat pergi. Bilakah lagi aku akan bertemu dengan bidadariku. Ustaz Ismail hanya tersenyum semasa membenarkan aku dan sahabatku pergi, sambil berpesan, lakukan solat Istikharah. Kalau hati masih tenang, itulah jodohku.

Malam itu, aku melakukan solat Istikharah sepanjang malam. Fotonya ku tatapi berkali-kali, malah beratus-ratus kali. Quran kubaca memohon petunjuk Ilahi. Akhirnya, kutetapkan azam untuk melamarnya, kerana ku yakin, dialah cinta kurniaan Allah buatku. Aku tidur dengan tenang malam tu dan keesokannya menyatakan hasratku untuk melamarnya kepada Ustaz Zaid sebagai wakilku.

Kini, dia sudah menjadi isteriku. Apatah lagi kini ia diserikan lagi dengan kehadiran 3 orang penyeri bait muslim kami. Walaupun sudah 9 tahun kami berkahwin, namun dia tetap bidadariku. Cinta kurniaan Allah dahulu, semakin berkembang mekar dan kukuh, tak luak dimamah usia, tak lekang dihempas dugaan dunia. Semoga ia berkekalan selamanya.        

"Ya Allah, hati-hati kami adalah milikMu, Cinta-cinta kami adalah milikMu. Kami bersama kerana kehendakMu, maka kekalkanlah nikmat cinta yang Engkau kurniakan kami. Amin"



Monday, March 1, 2010

Cinta Kurniaan Ilahi Untukku......

Pencarian bermula....

Hatiku gundah, pergerakanku terasa kaku. Aku menghidupkan enjin motorsikalku, tapi aku rasa, macam melihat tayangan filem, dimana pelakonnya ialah aku. Selepas memakai topi keledar, aku menunggang motorsikalku ke rumah Naqibku.

Suasana pagi begitu tenang sekali. Tiada debu di rumah pelajar Malaysia Haiyu Asyir. Kedinginan sejuk mencengkam tulang-tulangku. Tapi, ku gagahi juga kerana tujuan yang satu.


Aku mesti teruskan!. Aku nekad
Aku mesti teruskan! Aku nekad.
Tapi, walaupun begitu, ada suara halus berkata, Keluargamu akan setuju tak? Engkau masih belajar, tumpukan pada pelajaran. Engkau harapan keluarga! Aku cuba menghapuskan bisikan-bisikan itu.

Selepas solat subuh pagi tu, aku berdoa kepada Allah
“ Ya Allah, betulkah apa yang kulakukan ini Ya Allah. Aku ingin mendapat redhamu Allah. Aku ingin terus tetap di bathera dakwahMU. Bantulah aku, Bantulah aku Ya Allah” tanpa kusedari, air mata mengalir dipipiku dan aku menangis teresak-esak di atas sejadah.

Tanpa sedar aku sudah sampai ke rumah Naqibku. Selepas membuka topi keledar, aku menghembus nafasku, tanda menetapkan niat kedatangaku. Langkah demi langkah aku menaiki tangga menuju ke rumahnya. Dengan lafaz Bismillah aku menekan loceng rumahnya.

Ding ! Dong!. Ding! Dong!
Masa tu, aku rasa nak lari je menuruni tangga cepat-cepat. Kupandang ke kiri, Kupandang ke kanan.
 “AH! Esok sajalah.” Jerit hatiku sambil mula melangkah mahu menuruni tangga. Tak sampai separuh tangga, tiba-tiba sahaja pintu dibuka.

“Ha!, Khairol, masuklah” kata Naqibku sambil mempersilakan aku masuk. Akupun tersenyum dan melangkah menaiki tangga apartment itu semula. Selepas masuk, akupun duduk dan bertanyakan khabar sedikit dengannya.

“Apa yang boleh Ana Bantu?” katanya memulakan bicara. Mungkin dia perasan perasaan resah gelisahku.
“ Ana nak minta bantuan Ustaz sikit”. Dia kelihtan menganggukkan kepalanya sambil bersedia menerima apa yang ingin dikatakan.

“Begini!...Ana tak lama lagi akan habis belajar, dan akan balik ke Malaysia. Selepas tu, akan mula bekerja….jadi…jadi”, kataku tersekat-sekat. Dia hanya menunggu dengan sabar.
“ Ana….Ana ingin minta bantuan Ustaz untuk mencari calon pasangan hidup Ana.” terasa macam satu batu besar yang menekan dada telah diangkat. Nafaskupun kembali tenang sambil aku menghembus nafas lega.

Dia hanya tersenyum, sambil bertanya;
“Kenapa Anta nak mencari calon semasa belajar lagi? tanyanya pula.
“ Ana tak yakin, Ana boleh membawa dakwah nie seorang diri jika Ana bersendirian di tanah air nanti. Lagipun, peribadi Ana sendiri, kesibukan kerja Ana nanti sebagai seorang doktor, dan suasana dakwah di tempat Ana, cukup mencabar.
 “ Tak ada ciri-ciri/ syarat yang Anta nak tetapkan ke?” tak terfikir pula tentang perkara tu, kataku dalam hati.    
“ Ana rasa tak ada syarat ustaz. Asalkan baik pada ustaz, baiklah buat Ana. Ana perlukan seorang teman yang mampu menyokong Ana ketika Ana tersadung dalam dakwah, yang menegur Ana ketika Ana membuat silap dan mampu memapah Ana kembali berdiri jika Ana terjatuh.” kataku meluahkan segalanya yang bermain dikepalaku semenjak hampir seminggu yang lepas.

Selepas berbincang lebih lanjut, akhirnya aku diminta untuk menunggu seseorang yang akan menghubungi aku kembali berkenaan perkara tersebut.
“Selepas ini, Anta kena berhati-hati. Akan datang bisikan-bisikan halus yang cuba mengganggu hati Anta. Ana minta Anta banyakkan solat, berpuasa sunat dan betulkan niat Anta melakukan ini” nasihat akhir Naqibku. 

Hari-hari yang berlalu, sungguh memeritkan. Hari demi hari, aku mempersoalkan, betul ke keputusan aku nie!. Tapi, semua bisikan-bisikan itu kupendamkan, kerana ia hanyalah bisikan-bisikan syaitan yang ingin menganggu hatiku. 

bersambung.........

Monday, February 1, 2010

Aku benci rokok 7


Pernah satu ketika, saya membawa keluarga makan di sebuah restoran. Inilah pengalaman pertama kami mengunjungi restoran berkenaan. Restorannya adalah sebuah rumah yang diubah menjadi restoran.
            Punyalah ramainya orang dari luar. Kami pun mencari-cari tempat duduk dan ternampak satu meja yang sesuai. Berlari-larilah anak-anak nak berebutkan tempat duduk.
            Tak lama selepas itu, pelayanpun datang mengambil tempahan makanan kami.
“ Tu apa benda atas meja tu Abi?” tanya anak saya sambil menunjuk ke arah bekas puntung rokok yang ada diatas meja.
“ Tu tempat perokok memadamkan rokok mereka” kata saya menjawab sambil mengisyaratkan kepada pelayan restoran untuk mengambil ‘ashtray’ tersebut. Bukannya satu, tapi sampai tiga sekali diatas meja kami. Saya lihat sekeliling, meja berdekatan tak adapun ashtray. Mungkin ashtray yang ada di meja mereka diletakkan di meja ini sebab mereka tak mahu adanya ashtray diatas meja mereka.
           
Pelanggan yang lainpun tak suka ada ashtray di meja mereka, tapi pemilik restoran meletakkan ashtray hampir semua meja…semata-mata untuk meraikan perokok. Bagi saya, ia tidak sepatutnya. Masyarakat kita terlalu meraikan perokok sampai banyak kemudahan yang disediakan untuk perokok supaya merokok sedangkan kerajaan berkempen untuk berhenti merokok.

Contohnya didalam kereta kita, setiap kereta baru mahupun lama, mesti ada pencucuh rokok dan ashtraynya….walaupun pemandu atau pemilik kereta bukan perokok. Malah perokokpun tak menggunakan ashtray didalam kereta, sebab selalu je kita tengok perokok membuka tingkap kereta sambil memandu dan membuang abu rokok diluar.

PELIKKAN?

Kenapa tidak setiap kereta yang baru, disediakan pilihan kepada pembeli untuk memilih yang ada ashtray/pencucuh ataupun tidak mahu. Kalau yang tiada pencucuh/ashtray, maka kurangkan sedikit harganya daripada yang ada. Saya rasa, pengurangan RM50 pun memadai malah ramai akan memilihnya.

Kalau di restoran, pemilik restoran menyediakan ashtray diatas setiap meja supaya kedainya tak kotor disebabkan abu rokok. Tapi, kalau kita fikirkan, kalau ada orang yang merokok dimeja sebelah, bukankah ia akan menganggu pelanggan-pelanggan yang lain yang sama-sama makan direstoran tersebut.

PELIKKAN?

Pemilik restoran sanggup menggadaikan keselesaan ramai pelanggan restorannya untuk meraikan seorang pelanggan yang merokok. Kenapa tidak, jangan disediakan ashtray, tetapi sesiapa yang ingin merokok, boleh keluar sebentar untuk merokok.

Begitu juga di tempat-tempat seperti lapangan terbang,mesti ada tempat untuk merokok, di dalam kapal terbang, mesti ada kerusi untuk perokok (bagi penerbangan jarak jauh) yang biasanya dibelakang. Malah. tempat-tempat perokok ini bergaya dan mempunyai kerusi yang cantik. Kemudahan-kemudah ini disediakan untuk orang merokok, sedangkan kerajaan berkempen untuk berhenti merokok.

PELIKKAN?

Kenapa tak hapuskan sahaja tempat-tempat BOLEH merokok ini dan buatlah kawasan permainan seperti di KLIA (balai berlepas). Paling kurangpun ibubapa yang kepenatan yang membawa anak-anak boleh membiarkan sahaja anak-anak mereka bermain-main sambil berehat menunggu menaiki kapal terbang daripada membiarkan anak-anak mereka berlari ke sana ke mari tak tentu hala sebab kebosanan.

Masyarakat kita terlalu meraikan perokok malah menghormati hak mereka untuk merokok walaupun kita tahu tentang ‘perokok pasif’ iaitu mereka yang terkena komplikasi disebabkan terhidu asap rokok perokok berdekatan.Malah ‘perokok pasif’ dikatakan lebih mudah terkena kanser paru-paru berbanding perokok kerana rokok direct’ masuk ke paru-paru tanpa penapis.

TAPI, KENAPA?

Tapi, kenapa perokok tak pernahpun memikirkan kesihatan atau keselesaan orang disekelilingnya sebelum menyalakan rokok. Tentu anda pernah terlihat situasi dimana orang sekeliling perokok menunjukkan muka cemuh dengan asap rokoknya, tetapi perokok tetap juga merokok tanpa mempedulikan ‘protes senyap’ tersebut.

JADI KENAPA KITA PERLU ‘BERI MUKA’ SANGAT DENGAN PEROKOK?

Kalau merekapun tak memberi muka dengan orang yang disekelilingnya. Inilah persoalan yang perlu kita fikirkan. Jika ada orang yang meminum arak disebelah kita, tentulah kita marah, tetapi jika ada orang yang merokok di sebelah kita dalam komuter, kenapa kita tak marah? Ataupun hanya menunjukkan protes senyap sambil mencemuh muka.?

BILAKAH KALI TERAKHIR ANDA MENYURUH PEROKOK MEMADAMKAN ROKOK?

Mungkin sudah lama dahulu, ataupun tidak pernah? Tepuk dada, tanyalah Iman.

" Ya Allah, Yang menguasai hati-hati kami, bukakanlah hati-hati perokok untuk berhenti merokok, bantulah perokok yang mahu berhenti merokok, bukakanlah hati-hati kami untuk menegur dan menasihati perokok dan tutupkanlah hati mereka yang tidak merokok daripada mula merokok, Amin"
  


Monday, January 18, 2010

CINTA KURNIAAN ILAHI, cinta yang sejati.



Pernah seorang makcik telah pergi berjumpa dengan saya mengadu berkenaan sakit kepalanya. Selepas diperiksa, tiada apa-apa yang serius, mungkin sakit kepala biasa sahaja. Tapi, walaupun begitu, tekanan/stress perlu diselidiki sebagai salah satu sebabnya juga.

Makcik tu pun menceritakan tentang suaminya yang baru meninggal dunia kira-kira sebulan yang lepas. Malah sekarang masih lagi mengadakan kenduri arwah. Perbualan yang ringkas menjadi panjang hampir setengah jam.

Satu demi satu makcik tu menceritakan pengalamannya bersama suami daripada mereka mula berkahwin, sehinggalah saat kematiannya. Saya rasakan macam mendengar flash back seluruh kehidupan mereka suami-isteri.

“ Pakcik seorang yang baik, tak pernah dia nak marah dengan anak-anak. Kalau dia marah sangatpun, dia akan pergi masuk ke bilik atau ke masjid. Tak pernah dia nak marah, apa lagi nak marah di depan orang lain.”

“ Kami kahwin dahulupun atas pilihan keluarga,cinta berputik selepas perkahwinan. Walaupun gajinya kecik, namun segala keperluan keluarga semuanya tertunai, mungkin rezeki berkat kot”

“Kalau makcik balik dari kerja, mesti dia tanya apa yang makcik bawa balik…macam budak kecil je dia walaupun hanya kuih 2-3 keping, mesti dimakannya sampai habis”

“Kalau ada jemputan kahwin atau kenduri, dia mesti akan cuba hadirkan diri. Kalau 2-3 jemputan pada hujung minggu tu, dia akan bahagi-bahagikan saya atau anak-anak untuk pergi setiap satu kenduri kerana menunaikan jemputan daripada orang”

“ Masa dia belum sakitpun, dia selalu minta, kalau dia dah nak meninggal, dia tak mahu menyusahkan keluarga. Dan memang benar, dia meninggal di ICU selepas 2 hari je diserang stroke. Tak sempat makcik nak menjaganya”

“Makcik rasa, sepanjang makcik berkahwin dengan dia, jiwa makcik tenang dan tak resah gelisah kerana makcik tahu dia akan menunaikan tanggungjawabnya dan mendidik keluarganya dengan baik”

Itulah dia cinta sejati, cinta yang dilindungi oleh institusi perkahwinan yang dihalalkan oleh Allah SWT.
Dalam cinta ini, tiada rasa resah gelisah, tiada rasa merajuk dan tiada rasa bersempit dada.

Cinta ini datang daripada Allah SWT. Yang dikurniakan oleh Allah SWT bersama ketenangan jiwa didalam perhubungan. Disana ada bertolak ansur, saling memahami dan sayang menyayangi. Disana ada tanggungjawab, ada kasih sayang, ada anak pengikat cinta ada dan syariah menjaga keharmonian.

“Entahlah doktor, pening saya fikirkan boyfriend saya nie. Sekejap-sekejap merajuk. Kuat cemburu dia nie. Tengok lelaki lain callpun, dia dah tarik muka merajuk. Kalau ajak keluarpun, saya juga yang kena keluar belanja. Lepas tu, asyik tak ada duit je. Entah mana gaji dia pergi tiap-tiap bulan” aduan seorang pesakit ketika dia menerangkan mengapa dia mengidap migraine yang teruk.

Bila orang lain bercouple, diapun teringin nak bercouple-couple juga. Maka, cinta ini bukan dikurniakan oleh Allah.

Ini Bukan cinta yang menenangkan tetapi cinta yang menyesakkan hasil hasutan syaitan.

Mungkin ramai yang pernah mengalami perkara ini. Apabila sesak dengan cinta teman ini, PUTUS, pergi cari cinta dengan teman yang lain pula, dengan harapan cinta baru itu akan membawa ketenangan jiwa.

Tapi, lain yang berlaku, cinta baru rupanya sama dengan cinta yang lama, kedua-duanya sama-sama menyesakkan jiwa, Cuma mungkin tahapnya sahaja berbeza. Tapi, CINTA yang dilindungi oleh institusi perkahwinan, adalah cinta yang diredhai Allah, maka Allahlah yang akan menjaga rasa CINTA itu.

Dan siapalah sebaik-baiknya yang mampu menjaga cinta selain daripada Allah SWT, Yang Maha Penyayang?

Tapi, malang sekali….ramai yang mengejar cinta HASUTAN SYAITAN, bukannya mengejar cinta KURNIAAN TUHAN. Ramai yang bercouple sebelum berkahwin, kononnya ia satu kemestian dizaman sekarang. Namun, cinta hasil hasutan syaitan pasti ramai yang kecundang, sebelum sampai ke gerbang perkahwinan.

Maka lahirlah kes-kes seperti dirogol oleh teman lelaki, mengandung diluar nikah, gambar bogel disebarkan di internet, tekanan perasaan kerana teman merajuk etc. Maka, hasilnya nanti, jadilah generasi yang penuh dengan masalah jiwa dan akhlak yang membimbangkan.

Disini, saya ingin menyeru pembaca, terutamanya pembaca golongan remaja/muda, carilah CINTA KURNIAAN ILAHI, bukannya CINTA HASUTAN SYAITAN. Jika dirasakan sudah sampai seruan untuk mendirikan rumahtangga, rancanglah sebaik-baiknya, janganlah dilambat-lambatkan. InsyaAllah, CINTA KURNIAAN ILAHI  akan menjelma dalam hubungan yang dilindungi ikatan(perkahwinan) yang suci ini. Amin.

“ Ya Rahim, Engkau maha Penyayang, terima kasih kerana mengurniakan CINTA KURNIAAN ILAHI dalam perkahwinanku, kekalkanlah ia, lindungilah ia dalam menempuh dugaan dunia, dan kekalkanlah ia selama-lamanya. Semoga CINTA ini mendapat redha daripadaMu. Amin”

 P/S - Nasyid buat isteri tercinta - "Hasmida Hasan, Engkau melengkapkan hidupku"





Thursday, January 14, 2010

Pendidikan sekolah VS Pendidikan rumah


Seminggu dua nie, minggu persekolahan telah bermula. Saya sebagai seorang ayah, juga tercabar dengan perubahan suasana ini. Lagipun, tahun ini anak sulong saya sudah memasuki alam persekolahan baru iaitu alam persekolahan sekolah rendah.

Alam sekolah rendah, maknanya anak-anak sudah mula memasuki alam pembelajaran secara formal dimana guru akan mengajar mengikut silibus pelajaran dan undang-undang tertentu perlu dipatuhi.

Pelbagai ragam anak-anak dan ibubapa boleh dilihat. Anak saya disekolahkan di sebuah sekolah rendah agama dibandaraya Kuching. Agak jauh juga dari rumah. Tapi, bila memikirkan hanya masa inilah sahaja kita dapat mendisiplinkan anak-anak, maka pengorbanan perlu diberikan.

Kadang-kadang apabila memikirkan sikap atau apa yang ibubapa buat, jika dibandingkan dengan apa yang diajar didalam sekolah, agak berbeza sekali malah kadang-kadang bertentangan.

Sekolah mengajar pelajar supaya menutup aurat dan memakai tudung, tapi ada ibu yang dating tidak memakai tudung malah memakai baju yang ketat menampakkan susuk badan.

Sekolah mengajar pelajar supaya mematuhi peraturan, tapi ada juga si bapa yang semasa menghantar anaknya melanggar lampu merah dan melanggar peraturan lalulintas.

Sekolah mengajar anak-anak supaya  bersabar dan beratur menunggu giliran semasa makan di kantin atau di dewan, tapi ada juga si bapa yang memotong barisan kenderaan untuk memasuki pintu sekolah tanpa segan silu lagi

Sekolah mengajar anak-anak supaya bersopan santun dan tidak meninggikan suara, tapi ada juga pemandu/si bapa yang menjerit kepada pemandu lain dan membunyikan hon kereta menandakan kemarahan semasa kesesakan dihadapan sekolah.


Mungkin apa yang diajar di sekolah dengan apa yang diajar di rumah sungguh berbeza dan bertentangan. Mangsanya ialah anak-anak itu sendiri. Mereka akan terkeliru dan tidak tahu apa yang  patut diikuti. Biasanya, mereka akan mengikut pendidikan di rumah kerana mereka lebih lama berada di rumah daripada di sekolah.

Bagaimana seorang anak akan memakai tudung/menjaga auratnya jika si Ibu tidak memakai tudung dan menutup aurat.Maka jadilah mereka pelajar yang bila keluar dari sekolah je, terus membuka tudungnya tanpa segan silu.

Ibubapa adalah contoh bagi anak-anak. Mereka mengenal ibubapa dahulu sebelum mengenal guru.

Apabila anak-anak memasuki pendidikan sekolah rendah, mereka juga memasuki 7 tahun seterusnya didalam pendidikan Islam iaitu fasa dimana disiplin perlu diperkenalkan. Pada masa inilah solat perlu diajar, puasa perlu diajar dsbnya. Semua ini adalah bentuk-bentuk disiplin yang akan membantu pembentukan peribadi mereka.

TAPI, BERAPA RAMAI IBUBAPA YANG MENYEDARI PERKARA INI?

Ibubapa sanggup menghabiskan duit menghantar anak ke tuisyen, memarahi anak-anak yang lemah pelajarannya, memujuk anaknya supaya belajar dengan pelbagai cara.

Tapi, berapa ramai ibubapa yang sanggup memukul anaknya jika dia belum sembahyang semasa berumur 10 tahun? Mengajar anaknya sembahyang semenjak mereka berumur 7 tahun?Memastikan mereka sudah mampu membaca Al-Quran sejak kecil dan semua ajaran-ajaran Islam yang lain.

Tapi, ramai ibubapa yang sanggup memukul anak jika mereka mendapat kedudukan tercorot, mengherdik anak jika mereka malas dan sebagainya. Semua itu adalah uikuran duniawi tapi ukuran akhirat diabaikan.

INILAH UKURAN KECEMERLANGAN ANAK-ANAK SEKARANG

Kecemerlangan dikira jika pelajarannya bagus, mendapat nombor teratas saban tahun. Siapa lagi yang meletakkannya selain daripada ibubapa itu sendiri. Anak dipuji jika pandai, anak dijanjikan hadiah, jika mendapat tempat pertama.

Tapi, berapa orang yang menjanjikan hadiah jika anak khatan Al-Quran, memuji anak jika anak sudah sembahyang 5 waktu, memberi hadiah jika cukup puasa sebulan Ramadhan.

Tepuk dada, tanyalah Iman

“ Ya Rahman, aku sedar anak-anak adalah saham untukku jika menghadapMu nanti, doa-doa mereka akan menjadi penyejuk jasadku di alam kubur. Maka jadikanlah mereka Qurratu Ain (penyejuk mataku) didunia ini. Amin”   


Monday, December 14, 2009

Aku benci rokok 6



Begitulah kuatnya pengaruh iklan didalam kehidupan kita. Mereka yang terpengaruh dengan iklan, akan memandang rokok sebagai perkara biasa. Tetapi, mereka yang memandang rokok sebagai HARAM, akan memandang rokok seperti BABI dan ANJING atau seumpamanya.


Mungkin kita ada kawan yang merokok.
Mungkin kita ada Abang yang merokok.
Mungkin kita ada Ayah yang merokok.
Mungkin kita ada suami yang merokok
Mungkin kita ada adik yang merokok?

APA PERASAAN KITA BILA MELIHAT MEREKA MEROKOK? JIJIK? MELUAT?

-Kalau itulah perasaannya, Alhamdulillah.
- Sepatutnya apabila kita melihat mereka menghisap rokok, samalah seperti mereka meminum arak yang telah diharamkan.
- Apabila mereka membawa rokok kedalam rumah, samalah seperti mereka membawa anjing dan babi ke dalam rumah.
- Kalau mereka membeli rokok, samalah seperti mereka membeli racun untuk diminum di rumah atau di tempat kerja.

APA TINDAKAN ANDA BILA MEREKA MEROKOK DIHADAPAN ANDA?

-Mungkin ada yang mengatakan mereka senyap je, asalkan asap rokok tak kena mereka.
- Mungkin yang menunjukkan wajah tak senang, dengan mengharapkan dia akan berhenti merokok dihadapan mereka.
- Mungkin ada yang menegur dan mengatakan rokok tak bagus, merekapun berhenti mereokok atas alasan menghormatinya.
- Mungkin ada yang terus merampas rokok, dan memberikan nasihat demi nasihat, mengatakan rokok haram dan ….mungkin lepas tu dia tak kontek anda dah.


JAWAPANNYA “Tepuk dada, tanya Iman”


APA TINDAKAN ANDA BILA ADA KAWAN ANDA BERKATA “ Kamu tak kisahkan saya merokok?”, sambil mengeluarkan sebatang rokok untuk dinyalakan.

A. Mengatakan tak kisah, dan membenarkan dia merokok.
B    Mengatakan tak kisah tapi dalam hati tak suka Cuma dibenarkan juga kerana ingin menjaga hati kawan yang merokok.
C   Mengatakan aku tak suka dia merokok dihadapannya dan mahu dia berhenti sekarang.

Saya rasa, ramai yang akan memilih A/B. Mungkin sedikit yang memilih C. Tapi, persoalannya kenapa kita perlu menjaga hati perokok, sedangkan kita tahu dia melakukan perkara yang haram? Kita tentu akan marah bila ada orang yang kata” Kamu tak kisahkan kalau saya minum arak?”, sambil membuka botol arak. Tetapi, kenapa apabila seorang membuka kotak rokok reaksi kita boleh menjadi berbeza sedangkan HUKUMnya sama?

Inilah dia The power of pengiklanan. Kalau semua industri pengiklanan berkempen mengatakan bahawa najis lembu boleh dimakan, rasanya selepas 1-2 generasi, orang pasti akan makan najis lembu. (perumpamaan sahaja)

Jadi, cubalah fikirkan, apa pendirian kita tentang isu rokok?. Adakah kita juga tepengaruh dengan kempen demi kempen yang dipaparkan oleh syarikat rokok.? Kenapakah orang boleh menyeludup rokok sampai satu kontena ke dalam negara? Mungkinkah syarikat rokok sendiri yang menggalakkan penyeludupan rokok supaya mereka tidak kekurangan bekalan perokok yang baru?




Thursday, December 10, 2009

Aku benci rokok 5

Pengalaman 6.



Pernah satu ketika saya terserempak dengan satu presentation yang menceritakan tentang komplot syarikat rokok nie. Rupa-rupanya daripada sejarah syarikat rokok telah lama mengetahui keburukan rokok tapi menyembunyikan kenyataan itu.

Mereka telah mengaut berjuta-juta dolar diatas nyawa-nyawa mereka yang tidak berdosa. Begitulah dia, betapa kuatnya pengaruh iklan. Sebab itulah, mana-mana syarikat sanggup membelanjakan berjuta-juta dolar untuk mengiklankan produk mereka.

Lihatlah cerita movies 2012. Kos pengiklanan sahaja mencecah 20-30% daripada kos yang dikeluarkan untuk pembikinan filem tersebut. Bayangkan, berapa yang telah dibelanjakan oleh syarikat-syarikat rokok. Memang busuk betul hati mereka.

Terdapat 1.5 billion perokok didunia(3 daripada 10 penduduk dunia ialah perokok), 5 juta di Malaysia( 1 daripada 4 rakyat Malaysia merokok),  Kematian akibat rokok (4 juta setahun didunia dan 10 ribu setahun di Malaysia). Trend merokok didunia stabil tapi trend merokok di Malaysia semakin meningkat.

Pada tahun 1988, di Minnesota, USA, satu saman telah dibicarakan disana dan hasilnya, industri rokok terpaksa mendedahkan kajian-kajian yang telah mereka jalankan semenjak dahulu berkenaan rokok. Pendedahan kajian itu begitu mengejutkan. Industri rokok telah tahu sejak 50 tahun yang lalu berkenaan ketagihan rokok dan kesannya yang boleh membawa kematian tetapi didiamkan sahaja. Target mereka bukannya mereka yang dah tua, tetapi golongan muda lelaki dan perempuan.

The problem is, how do you sell death (kematian)? How do you sell a poison that kills 350,000 people per year, 1000 people per day? You do it with great open spaces …. the mountains, the open spaces, the lakes coming up to the shore. They do it with healthy young people. They do it with athletes. How could a whiff of a cigarette be of any harm in a situation like that? It couldn’t be – there’s too much fresh air, too much health – too much absolute exuding of youth and vitality – that’s the way to do it.”
Fritz Gahagan, Marketing Consultant

Mungkin sebab itulah kotak rokok ada gambar pemandangan yang cantik, lelaki yang gagah, para atlit dan sebagainya. Menunjukkan lambang status yang tinggi dan lambang kemachoan seorang lelaki.(walaupun rokok boleh menyebabkan mati pucuk dan kemandulan he!!!)




Saturday, December 5, 2009

Aku benci rokok 4

Pengalaman 5.

Suatu hari seorang pelajar datang berjumpaku. Datangnya seorang je. Pelik juga, biasanya pelajar dihantar oleh orang tuanya.
"Saya batuk-batuk doktor", katanya memulakan kata.
" Dah hampir 2 minggu dah batuk-batuk. Ada beli ubat di farmasi, namun tak hilang juga"katanya.


Selepas membuat pemeriksaan, kudapati dia tidak mempunyai simptom lain, selain daripada batuk sahaja. Tu pun makin teruk pada waktu malam.
"Awak ada asma ke?
"Tak" jawabnya
" Awak merokok ke?",dia tersengih menganggukkan kepala.
" Berapa batang sehari", kataku cuba mencungkin rahsia.
" Adalah 3-4 batang sehari"
"3-4 batang ke atau sekotak?", kata saya bergurau.
" Setengah atau kadang-kadang sekotak doktor". Terkejut aku dibuatnya.
" Mana awak dapat duit?"
" Mak bapak bagi" katanya teragak-agak.
" Berapa sehari mak bapak bagi, sampai dapat beli sekotak rokok sehari".
" Oh!saya pintar doktor, mak bagi RM5, lepas tu saya mintak kat bapak RM5 lagi, kalau dah sepuluh ringgit, dapatlah beli rokok doktor". terkejut aku dibuatnya.
" Habis tu tak makan ke kat sekolah? "
" Kadang-kadang bekal, kadang-kadang kawan bagi".


Terkedu aku dibuatnya. Apa yang sanggup dikorbankan oleh seorang pelajar berumur 16 tahun untuk mendapatkan rokok.

Gejala merokok dikalangan pelajar sekolah memang susah untuk dibendung. Sedih rasanya bila melihat ada pelajar yang merokok dan merasakan dirinya betul apabila dia merokok. Ini mungkin kesan daripada pengiklanan merokok yang dipaparkan semasa kita kecil dahulu.

Rokok dikaitkan dengan prestij, kedudukan dan macho. Malah tindakan syarikat-syarikat rokok yang menaja sukan adalah untuk membolehkan fikiran kita secara tak sedar mengaitkan rokok dengan kesihatan yang baik padahal perkara yang sebenarnya adalah sebaiknya.

Teringat lagi iklan rokok Dunhill yang menaja Piala Malaysia semasa saya kecil. Sampai sekarang, kalau melihat bola, mesti saya teringat rokok Dunhill. Betapa kuatnya kesan iklan kepada minda bawah sedar kita.

Saya memuji tindakan kerajaan yang mengharamkan rokok diiklankan dimana-mana media. Malah penajaan Piala Malaysia telah dihentikan walaupun risikonya sukan bola sepak kehilangan separuh jumlah penajaan yang mencecah jutaan ringgit.

Tapi saya cukup sedih apabila pihak berkuasa agama tidak mengambil tindakan yang proaktif untuk membanteras gejala rokok nie. Malah fatwa bahawa rokok itu haram tidak diuar-uarkan walaupun ia adalah satu fatwa yang telah diwartakan.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya kenapa fatwa rokok sekejap makruh sekejap haram? Kenapa ada perbezaan dikalangan ulamak lama dan ulamak sekarang ini? Ini disebabkan oleh perkembangan teknologi yang mula dapat mengesan kesan rokok kepada kesihatan. Pada mulanya rokok dikaitkan dengan petai, durian dan makanan berbau lain yang dikira sebagai makruh. Inilah jawapan yang biasa kita dengar.

Tapi, bila difikirkan, takkan tak ada satu kajianpun yang dibuat semenjak perang dunia kedua sampai sekarang yang boleh mengesan kesan buruk rokok? Mestilah saintis atau pengkaji perubatan telah mempunyai teknologi untuk memastikan rokok itu selamat atau tidak kerana teknologi mengkaji kesan ubat telah lama dibangunkan semenjak 50an lagi?

Inilah kekeliruan yang kadang-kadang bermain difikiran saya sehinggalah saya terjumpa dengan satu powerpoint presentation oleh…..

-> -> -> -.> bersambung pada entri Aku benci Rokok 5.

Thursday, December 3, 2009

Aku benci rokok 3

Pengalaman 4

Pernah satu ketika seorang pesakit yang berumur dalam lingkungan 30an berjumpa denganku. Dia menghidap darah tinggi dan kencing manis. Memang bau rokok dari mulutnya agak kuat.

Selepas memeriksa tekanan darah dan memberikan sedikit pemeriksaan dan masalah yang dihadapinya,akupun cuba untuk merungkai masalah tabiat merokoknya. Dia sudah merokok agak lama, semenjak sekolah menengah lagi.Pernah cuba berhenti merokok beberapa kali,tetapi menghisap semula selepas sebulan dua.

Alasan yang diberikan kerana ajakan kawan-kawan. Susah untuk berhenti kerana bila berhenti je kawan-kawan ajak balik. Mungkin kerana perokok akan berkawan dengan perokok juga. Jika, mahu berhenti, kena cari kawan yang tidak merokok. Rasanya mereka yang tidak merokok lebih ramai dari yang merokok. 

“Selepas tu ada pernah cuba berhenti tak?”
“ Susahlah doktor, tak ada motivasi dah, berhenti je, kawan-kawan ejek” katanya mengadu nasib.
“ Keluarga camna?”, ada suruh berhenti tak? “,
Ada juga, tapi sikit-sikit je” terangnya.
“ Berapa lama dah kahwin?” kata saya cuba mengumpan.
“ Baru 5 tahun, anak 2, Yang paling kecilpun baru setahun setengah” Diapun terus menceritakan tentang keluarganya dengan panjang lebar. Isterinya tidak bekerja, dia cuba menyara keluarga dan menyayangi mereka sebaik yang mungkin. Dari situ saya mendapat idea.
“ Saya nak cerita sikitlah, pasal COAD”, kata saya sambil melukis graf kaitan Fungsi Paru-Paru dengan tabiat merokok dan pembentukan COAD (biasanya orang panggil asma orang tua). Kamipun sama-sama meneliti graf yang saya buat.
“ Cuba awak bayangkan awak terkena COAD, pada umur 50 tahun, anak yang paling kecil sekarang baru berumur 16 tahun dan tak dapat bekerja? Awak rasa apa akan berlaku pada anak awak? Masa itu awak perlu selalu ulang alik hospital, mengambil ubat dan susah untuk bekerja..”Dia nampak macam terkejut. Dia tak pernah terfikir sejauh itu.
Cuba awak bayangkan, bagaimana isteri awak nak menyara mereka?. Bagaimana pelajaran anak-anak terjejas, bagaimana mereka akan terjebak dalam perkara yang tidak baik?. Adakah isteri akan dapat menyara awak juga?” ternampak sedikit rasa kerisauan di mukanya.
“ Adakah kerana rokok, awak sanggup mengambil risiko perkara ini akan terjadi? Bagaimana nasib anak-anak jika benar ia berlaku pada awak? Mana nak perolehi wang untuk menyara mereka? “kata saya memulakan bicara.
“ Itupun jika ia berlaku umur awak 50 an, Tetapi bagi perokok, risiko terkena stroke menjadi double berbanding dengan orang yang tidak merokok. Bayangkan awak terkena stroke pada minggu ini, bagaimana nasib keluarga awak? Bagaimana isteri akan menerimanya. ? Siapa yang akan menjaga mereka?  Yang paling utama, sanggupkah awak membebankan lagi keluarga kerana mereka sekarang perlu menjaga awak” masa nie matannya sudah mula merah bergenangkan air.
“ Apabila awak merokok, sebenarnya awak adalah time bomb!!! Ditambah dengan darah tinggi, risikonya memang meningkat tinggi. Bila-bila masa sahaja awak boleh terkena stroke dan cuba fikirkan kesannya kepada orang yang awak sayangi. Cuba fikirkan beban yang terpaksa mereka tanggung menjaga awak jika ia berlaku” kata  saya menambah lagi.
“ Kalau awak kena stroke terus meninggal, mungkin ok lagi, tak menyusahkan keluarga, tapi kalau awak kena stroke dan tak boleh bergerak, bagaimana isteri awak nak menguruskan makan minum, berak kencing awak?” kata saya menambahkan ‘perisa’
“ Kalau awak nak merokok, nak memulakan menyalakan sebatang rokok tu, cuba awak fikirkan keluarga awak, anak-anak awak. Jadikan mereka sebagai motivasi. “
“ Apabila kawan-kawan mengajak merokok, tanya mereka adakah mereka sayangkan keluarga mereka? “ kata saya mengakhiri bicara saya.

Saya tengok, matanya sudah mula merah. Dia tidak terfikir sejauh itu dan seserius itu akan perbuatannya yang ‘kecil’. Sebelum keluar dari bilik konsultasi, dia mengucapkan terima kasih atas ‘leteran berapi’ saya itu. Saya berdoa, semoga dia berjaya berhenti merokok dan mengubah nasib hidupnya.

Apabila kita bercakap tentang perokok, sudut pandangan mereka berbeza. Ada yang mementingkan kesihatan, ada yang jenis ‘family man’ (mengutamakan keluarga), ada yang jenis beragama dan ada yang jenis suka disukai orang ramai

Mengenali pesakit dan melihat kepada apa yang mereka sayangi, kadang-kadang boleh menyentuh perasaan mereka dan mereka akan berterima kasih kepada kita kerana melihat isu rokok nie pada pandangan yang sama dengan mereka dan bukannya dari sudut kesihatan sahaja.. (seperti sudut agama dalam entri sebelum ini)

Begitu juga, apabila kita menasihati kawan-kawan kita, kita perlu menyentuh isu yang mereka sayangi samada keluarga, harta, agama dan sebagainya. Jarang perokok yang mengambil berat tentang kesihatan mereka sendiri, kerana mereka telah mengetahui rokok boleh merosakkan kesihatan.

Jadi kempen anti merokok yang memfokus kesan rokok kepada kesihatan semata-mata adalah satu kempen yang tidak lengkap dan tidak menyentuh peribadi perokok(seperti gambar kesan rokok di kotak rokok). Tetapi, kempen yang juga menyentuh kesan kepada orang disekitarnya(keluarga) dan agama adalah lebih efektif. (seperti iklan video pada entri aku benci rokok 1 dan yang ditonton dibawah entri ini, begitu menyentuh hati-betulkan?))

Tetapi, kebanyakan kempen anti merokok, tidak berani menyentuh isu rokok itu haram. Sayapun tak tahu kenapa. Kenapa tidak disentuh isu rokok dari sudut pandangan agama?  Malah mungkin ada ustaz-ustaz yang tidak tahu hukum merokok itu sudah haram. Maka, kita yang membaca inilah yang perlu menyebarkannya kepada orang-orang islam yang lain.    

Tetapi, apabila kita menyentuh isu merokok dikalangan pelajar sekolah ataupun remaja, maka cara untuk menyedarkan mereka menjadi sukar. Dari sudut kesihatan, mereka sihat sahaja, dari sudut keluarga, mereka belum ada keluarga yang perlu ditanggung, dari sudut kewangan, mereka belum memahami erti duit kerana diberikan duit oleh ibubapa, dari sudut masyarakat, masyarakat mereka kecil disekolah atau kampong sahaja, dari segi agama…entahlah no komen.

Pengalaman 5

Teringat aku satu ketika seorang pelajar datang berjumpaku. Datangnya seorang je. Pelik juga, biasanya pelajar dihantar oleh orang tuanya….

->->-> bersambung di entri aku benci rokok 4